Tuesday, October 7, 2008

DIRGARHAYU DIRIKU.....

menara berkembar kat belakang tu tak ada kena mengena dengan entri di bawah ini
Hepi besdey to me… hepi besdey to me… hepi besdey to myself… hepi besdey to me… Dirgahayu cikgu Moh Azam….
Tak sangka, panjang juga umur saya ek? Dah 29 dah. Dah kertu. Tidak……!!!! Bila fikir-fikir balik, banyak juga yang dah saya buat. Dan banyak juga yang belum sempat saya buat. Dan lebih menyedihkan, banyak sangat yang tak sempat saya buat, yang telah berlalu dah tak mungkin dapat berpatah balik. Tak mengapalah, hidup mesti diteruskan. Mana yang terlepas jadikan pengajaran, mana yang masih ada perlu direbut seadanya.
Bumi Tawau banyak mengajar aku erti kehidupan, kedewasaan dan cinta. Cinta sesama manusia, cinta sesama umat. Terima kasih Tawau. Terima kasih kerana baik denganku.
Kata kakakku dulu (Tengku Cahaya), hari lahir adalah sebaik-baik hari untuk kita mengingati kematian. Sejak Ramadhan lalu, saya belasungkawa dengan pemergian arwah ayahanda Pn. Juriah (pengetua SMK Tawau). 4 hari sebelum raya pula, kawan cikgu Azmi Hasan pergi mengadap Ilahi setelah terkorban di Jalan Kuhara (xcdnt motor – Hilux), raya keempat, Cikgu di Pasir Putih pula meninggal dunia, pada hari arwah menjemput teman-teman untuk datang ke rumah terbuka di rumahnya pada jam 10 pagi (arwah pulang ke Rahmatullah pada jam 8 pagi). Semalam, kami di SMK Tawau dikejutkan dengan pemergian Allahyarhamah Puan Beche Peong sekitar jam 5:30ptg akibat barah payudara. Arwah Ckg Beche yang juga bekas guru Pend Seni di SMK Tawau begitu disayangi oleh kami semua. Pelajar-pelajar juga memanggil arwah dengan panggilan Bonda. Kami memanggilnya Kak Ceng. Dan pagi tadi kira-kira jam 5:30 pagi, seorang lagi guru iaitu Allahyarham Cikgu Abdullah dari SM Teknik pula pergi menyahut seruan Ilahi. Innalillahiwaiinnailaihirojiun…
Bila berturut-turut orang sekeliling pergi, tertanya-tanya juga, bila agaknya giliran saya? Jika sampai giliran saya nanti, akan adakah yang akan merindui saya? Akan adakah yang akan mendoakan saya?
Teringat pula, saya pernah menulis sebuah puisi yang panjang berjela sewaktu usia saya 21 tahun. Waktu itu, saya masih tinggal di Kampung Pasir Wardieburn Setapak KL. Rumah yang saya rindui. Kini rumah itu telah tidak wujud lagi. Setiap kali saya pulang, ibu sering mencadangkan saya melawat tapak rumah lama sebelum tapak itu dimajukan. Tapi, saya sering mengelak. Ada banyak nostalgia di sana yang ingin saya lupakan. Benar-benar ingin saya lupakan. Di sini sajak saya.

SETAPAK DARI TANAH HARAM
Waktu aku dilahirkan
kata mereka
ibu meneran bagai putus nyawa
kerana aku si degil yang besar kepala
terlalu pemalas
dan tembel pula
hingga akhirnya aku keluar juga
setelah bidan
menyekeh-nyekeh umbun-umbunku
kerana enggan bersabar lagi
dengan apa yang mereka gelarkan
kedegilan.

Itulah kata mereka
entah...
mana bisa aku ingat.

Setelah aku dihadiahi
sebuah kotak kayu
yang terkandung sebuah otak
pada ulangtahun kelahiranku
yang kelima
barulah aku mula membenci
berapung di alam fantasi
dan mula menanam minat
bermain-main dengan hadiah
di dalam kotak kayu
yang berupa sebuah otak.

Bila semakin besar
aku baru teringat
bahawa bapaku
tidak pernah pulang-pulang
sejak bertempur dengan naga
di Gunung Lara
(itu menurut kata ibu).

Beberapa kali kutanya ibu
di mana bapa ?

Ibu yang berani
dan petah bicara
berjaya menerangkan
dengan lancar
(biarpun ibu terdiam agak lama di pertengahan cerita kerana mungkin untuk mencari ilham bicara atau mengumpul nafas sehela)
bahawa bapaku
yang berjuang di medan naga
di Gunung Lara
telah pun berjaya
memancung kepala naga
dan menyincang tubuhnya.

Aku menjerit gembira
namun terdiam pula
dan teresak menangis
mendengar ibu menyambung kisah
bahawa bapaku
telah menerima ganjaran
kerana kejayaannya itu
dan dihadiahi
segunung nikmat
dan selaut rahmat
dan membuat keputusan
untuk tinggal di daerah Bahgia
dan enggan pulang-pulang lagi.

Aku diberitahu
setelah beberapa tahun
aku asyik leka
bermain dengan hadiah
di dalam kotak kayu
berupa sebuah otak
(kerana sejak itu, aku tidak lagi menerima apa-apa di setiap ulangtahun kelahiranku)
bahawa sebenarnya
daerah yang aku duduki
juga ibu
juga opah dan sepupu
juga anak sepupu dan jiran-jiranku
adalah daerah yang bernama
Tanah Haram.

Aku baru sedar
rupa-rupanya
aku hanya duduk
dan baring
dan tidur
dan bersembunyi
di sebuah pondok
di sebuah daerah
bergelar Tanah Haram.

Sewaktu aku sudah masuk sekolah
aku sudah pandai jadi jahat
(itupun jika suka menggeladah itu dikatakan jahat)
dan pada satu malam
waktu ibu pergi mengait bintang
aku memulakan kelekaan baru
menggeladah kotak kayu
yang lebih besar dari kotak kayu
yang pernah kuterima dulu
malah kotak kayu yang ini
berwarna agak kelabu
tidak seperti kotak kayu yang kuterima dulu
nan lebih ke arah warna ungu.

Dengan sedikit ketakutan
dan seribu rasa bersalah
aku mula membuka kotak kayu
milik ibu
seiring lafaz Bismillah...
dan alangkah aku terkejut
apabila mendapati
di dalam kotak kayu kelabu
tidak berisi otak ibu
(sepertimana kotak kayu ungu yang berisi otakku)
sebaliknya berisi sebuah buku
yang dililit riben putih dan hitam.

Dadaku tambah bergelodak
bila membaca kulit buku yang bertulis;
“sebuah kisahku’
dan tanpa hati-hati
kuleraikan lilit buku
dan mula menyelak helaian pertama
dan menanam cita-cita pula
untuk habiskan membaca
namun aku tersentak
dengan isi perenggan pertama
bunyinya;
“Bacalah, anakku
coretan ini benar-benar buatmu
sebuah kisah ibu bernada pilu
nan penuh dengan lagu-lagu mendayu
walaupun begitu, anakku
sebelum kau meneliti isi tulisanku
pastikan usiamu telah melangkah garisan 21
seiring kedewasaanmu....”

Entah mengapa aku yang tadi begitu bernafsu
tiba-tiba menjadi begitu patuh
dan baik hati
hingga kusimpan kembali kotak kelabu
yang terkandung buku berlilit riben putih-hitam
ke tempat asalnya
dan menanam azam
untuk sabar menanti waktu
ibu menyerahkannya kepadaku
dan pada waktu itu
aku akan berpura-pura
menerima kejutan hadiah
sebuah kotak kayu
berwarna kelabu
yang konon tidak pernah aku lihat
sepanjang umurku.

Maka bermulalah detik
di usia semuda ini
aku mendapat pekerjaan tetap
dan lebih kejam lagi
ianya tidak bergaji
dengan tekun setiap hari tanpa cuti
aku bekerja sebagai penghitung waktu
yang paling penyabar
menanti usia 21.

Aku perlu menyusun
seketul batu setelapak tangan kanan
(tapak tangan kiriku lebih kecil. Namun, kelihatan ianya seperti semakin membesar dan makin ingin menyamai saiz tapak tangan kananku)
dan batu itu
perlu batu dari Tanah Haram
yang kususun setiap hari
membawa erti
jumlah hari penantianku.

Itulah kerja tidak bergajiku
sehari satu batu
sehari satu batu
satu batu sehari
satu batu sehari
sehari satu batu
satu batu sehari
sehari satu batu
satu batu sehari
batu sehari satu
batu sehari satu...
kususun di belakang rumahku.

Tiba-tiba pada suatu hari
aku menjadi remaja
apabila pada waktu itu
aku menerima sebuah kotak kayu
berwarna hijau pucuk pisang
di ulangtahun lahirku.

Pada muka kotak kayu hijau pucuk pisang itu
tertera pemberinya
adalah bapaku
dan dia menungguku
di sebuah perhentian bas
jauh dari Tanah Haram.

Entah mengapa aku begitu berhasrat bertemu bapa
biarpun tanpa rasa rindu.

Dengan wajah biasa
seperti waktu dulu
tanpa kumis
tanpa jambang
dengan sedikit daging tambahan
di perut, dada dan pinggang
bapa menghulur tangan
dan aku mencium tangan itu
lalu tanpa bermukhadimah
bapa bercerita
tentang kehidupannya
dan pertarungannya dengan naga di Gunung Lara
yang pernah kusifatkan sebagai berita gembira
sebenarnya tidaklah segembira mana.

Benar naga tertewas di tangan bapa.
tetapi sebenarnya bapa tetap tercedera.
naga perkasa di Gunung Lara
mati
dan meninggalkan pada bapa
saki-baki dosa
dan noda
apabila kuku jari hantu tangan kiri naga itu
terbenam di tumit kaki kanan bapaku
dan kekallah ia di situ
selamanya
lalu bapa terpaksa berjalan
terhincut-hincut
akibat kuku jari hantu tangan kiri naga perkasa di Gunung Lara itu
malah lebih celaka
apabila bapa menerima sumpahan
dari naga perkasa di Gunung Lara
berupa satu pengharaman
untuk menjejak Tanah Haram
dan satu pengharaman lagi
untuk meninggalkan daerah Bahgia.

Bapa lalu mengajakku
untuk mengikutnya
ke daerah Bahgia
dan tinggal dengannya
untuk beberapa hari.

Aku menolak
kerana aku harus menyusun
sehari satu batu
sebagai tanda menghitung usia
menuju ke 21.

Dan bapa mencadangkan
aku mengikutnya beberapa malam
dan bila pulang nanti
aku boleh menyusun beberapa batu lagi
sebagai ganti hari-hari
yang tidak kususun batunya.

Aku kagum dengan pendapat bapa
yang terlalu bijak itu
dan apabila kubertanya
dari siapakah dia mewarisi kebijaksanaan itu
dia cuma tersenyum dan menunding
kepada kotak kayu berwarna hijau pucuk pisang
di tanganku
lalu barulah timbul ghairah
untuk membuka kotak kayu hijau pucuk pisang itu
dan di dalamnya
berupa sebuah otak
seperti dulu
cuma saiznya lebih besar
dan warnanya lebih merah
dan suhunya lebih panas
dari otak yang pernah kumiliki
dari kotak kayu berwarna ungu
pemberian ibu.

Selama empat hari
daku di daerah Bahgia
bersama bapa
dan pesannya kepadaku
agar aku satu masa nanti
tidak kecut
cuba mendaki Gunung Lara
tetapi jangan pula
pergi mencari naga
biar naga datang sendiri
menyerah kepala
yang bercabang tujuh
yang bertanduk tiga
yang berlidah merah
dan geliga di tengahnya
asal jangan sesekali
aku menanam tekad
mendaki Gunung Lara
semata-mata kerana naga
dan geliga.

Di Tanah Haram
aku menambah masa
menyusun batu
lima biji
dan sejak itulah
aku selalu kemana-mana
berhari-hari lamanya
adakala berminggu-minggu
adakala berbulan-bulan
dengan izin ibu
dan bila pulang ke Tanah Haram
aku mula menyusun batu
adakala 4-5 biji
adakala 7-12 biji
adakala 30-40 biji
begitulah aku
saban hari
saban minggu
saban bulan
saban thaun
hingga pada satu malam minggu
waktu pulang dari menikmati
malam berdosa
aku baru sedar
bahawa sebenarnya
aku sudah lupa
tujuan sebenar aku menyusun batu-batu
yang kini sudahpun menjadi menara
yang begitu sayup tinggi
yang begitu gah perkasa.

Beberapa malam aku tidak boleh tidur
memikirkan
mengapa aku
memilih untuk menyusun batu-batu itu
sebagai kerjaya
sedangkan teman-teman yang lain
tidak begitu.

Aku bertanya ibu
mana tahu jika-jika aku pernah memberitahunya
tentang batu-batu itu.

Ibu sebaliknya terpegun
dan menyatakan
kekagumannya
yang tidak pernah menyangka
akulah penyusun batu-batu itu
yang telah mula menjadi perbualan
jiran-jiranku
sejak beberapa menggu lalu
dan ibu menyatakan
mungkin aku sedang membina menara
untuk memetik bintang
sebagaimana yang pernah
ibu lakukan
di zaman kecilnya dulu
dan aku agak bersetuju
kerana pendapat ibu
paling tidak lebih baik
dari pendapat bapa
yang menyatakan
bahawa menyusun batu
sebenarnya sekadar hobiku
yang hampir sama dengan hobinya
iaitu mengumpul setem dunia.

Atas nasihat keduanya
aku meneruskan pekerjaan itu
sehari satu batu
sehari satu batu
satu batu sehari
satu batu sehari
sehari satu batu
satu batu sehari
sehari satu batu
satu batu sehari
batu sehari satu
batu sehari satu...
kususun di belakang rumahku.

Tiba-tiba
tinggal satu lagi batu
yang kuperlukan
untuk aku dapat sampai
mencapai bintang
dan tiba-tiba juga
baru aku sedar
bahawa Tanah Haram
sudah kehabisan batu
puas kucari
tidak juga bertemu
cuma satu lagi batu.

Aku yang gusar
dan rundum hati
berdoa kepada Tuhan
agar diselesaikan jalan
lalu turunlah
hujan batu dengan lebatnya
dan setelah berhenti
aku memilih
batu yang paling cantik
dan berkilauan pula
sebagai batu terakhir
di puncak menara.

Malam itu juga
selepas tengah malam
aku mendaki menara
untuk meletakkan batu terakhir
dan seterusnya memetik bintang.

Tiba-tiba
sewaktu mendaki
aku mendengar suara ibu
menyanyikan lagu
‘Selamat Hari Jadi’
buatku
dan baru kusedar
aku sudah 21
dari sayup-sayup
kulihat ibu
menyala lilin pada kek
dan di sisinya
sebuah kotak kayu berwarna kelabu
yang pernah kudambakan dulu
dan mengingatkanku kembali
tujuan sebenar kumenyusun batu.

Aku serba-salah
untuk menamatkan pendakian
atau turun dahulu
membaca buku di dalam kotak kayu berwarna kelabu
dan setelah berfikir panjang
(aku berhenti selama 30 minit di tengah pendakian untuk berfikir)
aku memutuskan
untuk mendaki dulu
dan memetik bintang
yang nantinya
akan kuhadiahkan kepada ibu pula.

Akhirnya kusampai di puncak
dan dengan lafaz Bismillah...
aku berjaya memetik
sebiji bintang
paling gemilang
untuk ibu
dan waktu aku mula ingin turun
angin pula bertiup kencang
dan menggegar menara batuku
yang kemudian sedikit demi sedikit
runtuh
dan menghempap rumahku
hingga hancur lebur.

Ibu tidak pula marah
kerana katanya
kita akan membuat beberapa kesilapan
yang akan mendewasakan
dan inilah satu-satunya.

Aku menerima pemberian ibu
sebuah kotak kayu berwarna kelabu
yang berisi sebuah buku
yang berlilit riben putih dan hitam
yang tertulis “Sebuah kisahku”.

Aku membaca buku itu
sebuah kisah ibu
secara itu aku diberitahu
bahawa ibu sebenarnya dulu
seorang bidadari kayangan
(patutlah sejak mula dulu kurasakan begitu)
yang mengikut peraturan
untuk turun ke bumi
untuk berkahwin
dan punya anak
iaitu aku
dan setelah usiaku 21
akulah yang akan
membuat keputusan
untuk membawa ibu
menjadi bidadari semula di kayangan
atau terus tinggal di bumi
tetapi bukan di daerah bernama
Tanah Haram
jika pilihan kedua kupilih
aku harus keluar dari Tanah Haram
dan mencipta hidup baru.

Aku meminta pendapat ibu
seorang bidadari
dan ibu menyerahkan kepadaku
kerana katanya
hidupnya selepas ini
adalah kehidupanku
dan aku memutuskan
untuk tidak mewarisi takhta
di kayangan
tetapi membina rumah baru
setapak dari Tanah Haram
dengan batu-batu
yang pernah kukumpul dulu
dan ibu mengizinkan aku
setelah siap rumah baru
setapak dari Tanah Haram
aku boleh ke Gunung Lara
dan menunggu naga menyerah kepala
tetapi aku berjanji kepadanya
bahawa aku tidak akan
menetap di daerah Bahgia
sebaliknya akan pulang semula
ke rumahku
setapak dari Tanah Haram
dan ibu
begitu bahagia
kuhadiahi
sebutir bintang yang kupetik sendiri.

Sampai masa
aku ingin berangkat
ke Gunung Lara
yang pernah dijejaki bapa
dan melupakan hasrat
untuk tinggal di kayangan
yang pernah didiami ibu.

Aku pergi untuk sementara
dan sementara itu
ibu berdoa untukku
dari rumah yang terang menderang
oleh cahaya bintang
dan tegaknya rumah itu
setapak dari Tanah Haram.

Monday, October 6, 2008

1001 RAYA....

Ada 1001 sebab kenapa raya kali ini cukup best untuk saya. Ianya bermula dengan praraya, diikuti 1 Syawal dan pascaraya:-

1] Sebelum puasa iaitu malam 31 Ogos lalu, saya dapat tempat ke-2 pertandingan lagu patriotik Radio Malaysia Tawau (RMT) dan dapat persembahan terbaik lagi. Apa yang best bukanlah kemenangan itu. Tapi persembahan malam tu. Tapi beberapa perkara yang terdapat dalam persembahan tu;

i) Sebab buat kat pentas terbuka di dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT). Kiranya kalau kat Tawau ni, dataran MPT ni adalah tempat berkumpulnya warga Tawau yang hendak membawa keluarga untuk countdown 31 Ogos dan tahun baru. Kalau kat KL tu, macam kat kat Dataran Merdeka la lebih kurang. Memang dah lama saya teringin nak perform kat situ. Ala-ala malam tu saya buat pentas tu macam pentas mak bapak saya ler. (dasar jantan keberet la lu bai…)Memang tak ingat dunia la saya malam tu. Saya suka sangat perform kat open-air macam tu. Sebelum ni kalau kat Tawau ni, saya pernah perform kat auditorium library (Pertandingan Dwi-Pilihan RMT, dapat no 3) dan teater Topeng. Kat Dewan Masyarakat Tawau pun selalu gak (Konsert Merdeka PPG Tawau dan mengacarakan beberapa siri Pertandingan Battle of The Dance) (poyo la lu ni bai…)

ini di cikgu yang berangan artis tu...

ii) Sebab dapat nyanyi lagu yang paling saya minat kat dalam dunia ni iaitu Mentera Semerah Padi. Saya suka sangat lagi tu tak kira apa versi sekalipun. Versi asal+video klip M.Nasir yang bersilat bagai tu, versi sifu duet dengan Tam, dan versi Mawi. Dah banyak kali juga saya nyanyi lagu tu. So, dah jadi makanan saya. Saya pernah menyanyikan lagu tu waktu Saringan Sinaran Pertiwi TV3 (2002), masa Konsert Merdeka PPG Tawau (2005 kalau tak silap), masa Pertandingan Akhir Dwi-Pilihan RMT (2008) dan sekarang pun lagu ni jugak. Dirgarhayu M. Nasir……

iii) Saya juga dapat selitkan elemen theaterical dalam persembahan dengan mengangkut bebudak 4A (saya guru kelas mereka) iaitu Wong Vui Cheung, Azman, Aifan dan tak lupa budak pantun saya, Azlan (yang puasa sunat time tu. Tapi tak tau la kalau2 puasa ganti. Heheheee…Hai, Lan…). Azlan tu memang la dah biasa naik stage. Tapi bebudak 3 orang tu yang saya nak biasakan. Yelah, anak2 saya yang dulu bukannya sudi nak naik pentas dengan saya lagi…sot…sot…sot…. Budak2 tu bukan setakat sebagai back-up singer. Tapi turut saya dera berlakon lengkap berpakaian tradisional merah (mentang-mentang lagu Semerah Pagi, perlu la pakai baju merah…klise…)dengan berlembing, berkeris bagai. Kena berlakon lagi.

padan muka korang disuruh berlakon

iv) Nyanyi dengan live band….yeeehaaa… tu yang saya tunggu-tunggu. Sebelum ni time orang kawin jer dapat nyanyi dengan live band. Kalau tidak, jangan nak mimpi la. Banyak keghairahannya menyanyi dengan live band berbanding karaoke. Pukulan dram betul-betul rasa memukul tenaga dalaman saya. Gorengan gitar yang memang best giler macam goreng ayam KFC (asyik ingat makan, patot pun kembang. Relevan ke, bunyi gitar pun nak kait dengan makanan ?)dan tentunya bunyi gitar bass yang menjentik2 rasa.

v) Dapat nyanyi dua kali. Sekali waktu bertanding, dan sekali lagi lepas diumumkan result. Yang penting, persembahan kedua tu adalah request daripada bebudak band tu. So guyz, bila kita nak masuk studio buat album ala-ala Sheila on Seven versi montok ?

vi) Ini kali kedua saya melaungkan Merdeka !!!! Dari atas pentas, Kali pertama waktu Konsert Ambang Merdeka di UPSI dulu. Waktu tu saya nyanyi lagu Samrah Mentari. Berbeza rasanya melaungkan Merdeka !!!!!! Dari atas pentas. Lebih menusuk dan terbungkam syahdunya.

2] Puasa jatuh pada 01hb September. Bukan apa, jarang sangat dapat selari begini. 01 September, 01 Ramadhan… Senang la nak ingat berapa hari dah puasa, Berapa hari lagi nak raya etc… Dah tu, jatuh pulak pada hari Isnin, permulaan hari. Cuti pulak time tu sebab ganti cuti Hari Kemerdekaan yang jatuh pada hari Ahad. Sempat pulak ke masjid walaupun solat terawih sebelum tarikh puasa diumumkan. Yelah, Tawau ni kan cepat sejam. Jadi, Isya’nya sekitar 7:15 malam. Pengumumankan dalam jam 8:00 malam. Kiranya, kalau diumumkan tu tak jadi puasa esok, secara automatiknya terawih itu akan dibatalkan. Tak ramai dah dapat peluang buat terawih pada hari pertama. Tak ramai orang. Syukurlah, Tuhan pilih saya.

3] Pada hari ketiga puasa, berlakunya gerhana matahari. Cantik sangat. Macam mata yang bulat kat atas awan.

hadiah di awal Ramadhan dari langit Tawau

4] Sebenarnya, waktu ni juga saya baru declair dapat teman baru. Mulanya begini, laptop Toshiba saya yang lari setting gara-gara bebudak asyik main game jer memanjang dan tak dapat pula disettlekan oleh Ahya (adik angkat saya – IT UPSI), telah saya bawa ke kilang Korea kat Tanjung Batu Laut sebagaimana yang dicadangkan oleh Abg Ardi untuk dibaiki oleh Abg Heru, kawannya. Abg Heru pulak, Cuma pandai dari segi repair-merepair. Program2 ni tak berapa. Jadi, dia serahkan kepada Abg Rizal. Abg Rizal ni pulak, sebatang kara senasib saya la. Kerja secara kontrak sampai bulan Disember ni. Bini dan anak2nya kat Johor. Sembang punya sembang, rupanya orang Sumatera. Sekampung la pulak. Datuk saya pun Sumatera. Bahasa pun sama iaitu bahasa Minang. Dari dia saya tahu banyak tentang adat keturunan saya sendiri yang langsung tak pernah saya kenal. Yang penting, best sangat member dengan dia walau asyik melalui sms.

5] Dekat2 nak raya, ada cikgu2 bercerita tentang budaya budak2 Tawau yang kurang dari segi memberi kad raya atau hadiah time Hari Guru. Berbeza dengan budak2 daerah lain. Saya pun mulanya join jugak la sesi ala2 menganyam ketupat tu. Tapi, bila time masuk kelas, ada kejutan untuk saya. Jeng-jeng-jeng… Bila saya masuk kelas 4A, tetiba semua senyap macam kena tampar malaikat. Saya pun curiga la. Yelah, sebelum ni, kalau saya masuk saja mesti macam kapal karam. Bising nak rak sampai beberapa kali Ckg Yab (Pen Kanan 1) geleng kepala. Saya pun serba salah. Terfikir jugak. Dorang ni baru lepas kena marah ke mende? Tapi, bila saya angkat jer borang semak kelas, rupanya ada kad raya sebesar alam kat situ. Semua bebudak tepuk tangan dan suruh saya baca. Handmade yang cukup kemas dan menarik. 4 muka kad raya. Semua student bekerjasama buat kad tu. Saya baca sikit-sikit jer. Nak meleleh jugak air mata sebenarnya. Tapi saya tahan2 jugak. Maintain cool la konon.

ini la kad yang mengambil masa 45 minit untuk dibaca

memang kelakau giler sampai nak putus urat kentut

Nain paling banyak kena kutuk dalam ni. korang minta maaf balik,,,

6] Ahad, 28 Sept, lepas saya hantar Zamani (housemate) ke airport untuk balik raya, (waaaaa…. saya kini betul2 perantau sebatang kara…) saya pergi beli gelang magnet, ambik Alif & Fazir, then pergi berurut dgn Mas Yono. Jam 5 am baru saya tidur. Sambil chatting, sambil masukkan duit raya dalam sampul. Tak tahulah, kenapa betul2 tak mengantuk. Saya tidur jam 5-8am sebelum bangun, cirit-birit, muntah2, sakit sendi2, sakit perut, sakit kepala, mata panas, kaki sejuk. So, tak puasalah jawabnya. Mujur ada lagi yang sayang kat saya. Fazir dan Jun datang rumah jaga saya. Fazir terpaksa ke kedai belikan saya makanan. Jun pulak terpaksa melayan macam2 kerenah saya. Saya ni kalau sakit memang manja sikit. Ibu saya dulu selalu picit kepala. Sekarang Jun la jadi mangsa. Saya dah anggap Jun dan Fazir ni pun memang dan macam anak sendiri. Kesian dorang. Petangnya, lepas balik keje, abang Ardi pulak datang jenguk saya. Terpaksa berbuka di rumah walau cuma ada kuih. Tau jelah, dekat nak raya ni, mana ada orang nak jual makanan berat untuk berbuka.

7] Malam raya, berkali2 saya hubungi abg Rizal. Tak pernah dapat. Bukan apa, dia janji nak beraya sama saya. Yelah, kamikan sama-sama perantau. Sudahnya, raya ketiga baru dia sms saya setelah berpuluh kali saya cuba call dan sms dia. Sedih juga la, tapi nak buat macam mana. Saya tak kesunyian. Malam raya, Romie dan Richard datang temankan saya. Tak apalah walau dorang tak bermalam. Saya sempat masak sphagetti untuk sapa2 yang nak datang esok. Bestnya, Wong, Sharon dan Dullah sudi beraya dengan saya. Tengahari, Baba join sama. Bestkan…?

post istimewa dengan tema lepak kat tangga dgn Sharon (t-shirt hitam) dan Dullah (mamat songkok)


kat rumah Baba, dapat juga jumpa nasi di Aidilfitri

8] Raya ke-4, budak2 saya sewa bas untuk pergi beraya. Walau cuma 20 orang yang pergi (termasuk budak2 yang dah sambung belajar kat tempat lain – Asman, Hairi dan Yusuf), itupun dah cukup baik sebab kira lebih dari separuh kelas. Saya digelar Ketua Geng Bas Sekolah. Hehehee….

kamilah Geng Bas Sekolah SMKT

9] Setelah melangkah ke usia agak kertu ni, saya dah lupa macamana rasanya dapat duit raya. Yelah, asyik keluar duit raya sajakan… Tapi tahun ni, saya dapat duit raya. Heheheeee… sama dengan Geng2 Bas Sekolah yang lain. Malu juga mulanya. Tapi, teemer kacih cikgu Alina…hehehe…

kalau jumpa bebudak ni, cepat tutut pintu... (poyo jer yang kat depan tu)

* Tapi ada jugak yang tak best lepas raya ni. Sebabnya, yelah, saya ni kan jenis tak berapa berjenis sangat. Main redah jer nak ke mana2 pun, termasuklah ke rumah orang, bilik orang, lubang cacing orang, jamban orang… tapi saya dah insaf sebab saya salah redah. Saya termasuk ke bilik member yang sedang beromen dengan girlfriend dia. Astagafirullah… semoga Tuhan mengampunkan dosa mereka. Saya sempat menasihati mereka setakat mana termampu. Semoga Tuhan membukakan pintu hati mereka untuk bertaubat. Saya cukup kesal kerana waktu saya melihat mereka, mereka belum sempat berpakaian dengan sempurna. Maka kelihatanlah bra gadis itu yang terlalu sunti bagi saya. Ya Allah, jauhkanlah kami dari bencanamu… lindungilah kami dari segala dosa dan dugaanmu. Itu yang terlalu sunti bagi saya. Ya Allah, jauhkanlah kami dari bencanaMu… lindungilah kami dari segala dosa dan dugaanMu. Kurniakanlah kami cuma dengan nikmatMu yang halal bagi kami. Kami bermohon ya Allah…

budak2 yang mendapat cahaya dari tingkap


Saturday, October 4, 2008

AYUH MULAKAN SEMULA

Mulanya saya terfikir untuk melupakan saja blog ini. Sedangkan menulis diari pun saya tak pernah sampai lebih dari bulan Februari, inikan pula blog. Namun, beberapa pelajar baru-baru ini bertanya, “cikgu, blog cikgu bila nak update? Dah setahun dah”. Dan ada seorang yang mulutnya lebih selabeh pun pernah memberitahu saya, “cikgu, cuba buka blog cikgu. Saya tengok hari tu dah bercendawan”.

Rupanya, ada juga orang yang suka baca blog, ya. Saya ingatkan, saya sendiri saja. Saya memang mengikuti perkembangan blog Siti Raihani, teman saya sejak mula dia menjemput saya membaca blognya. Baiklah, MARI MULAKAN SEMULA…

Saya mungkin tidak akan menjadi penulis blog yang prolifik. Mustahil. Novel yang telah siap saya tulis pun, kini telah berusia dua tahun dalam pc saya. Nak mengedit kononnya. Tak siap-siap pun. Entahlah, harapnya saya akan hantar ke publisher hujung tahun ini. Tapi, bukan untuk dipublish oleh KAKINOVEL. Saya sudah malu dengan mereka. Pernah saya hantar 4 bab pertama untuk dinilai dan mereka bersetuju untuk menerbitkan novel tersebut. Namun, itu cerita setahun lalu. Bila ditelefon beberapa kali, saya akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menjawab. Entahlah, terlalu sibuk untuk siap mengedit. Mungkin saya patut melupakan cita-cita sebagai SASTERAWAN NEGARA. Hehehehee (amboi bai… lu biar betol. Cite2 kemain tinggi tak ingat…)

Nampaknya, mungkin blog saya akan ada banyak flashback. Mungkin. Sebab banyak sangat yang say rasa menarik untuk diceritakan, tetapi telah jauh berlalu. Semuanya sebab sibuk. Sibuk, sibuk dan sibuk. (Hekeleh, orang lain pun keje jugak. Orang lain pun cikgu jugak…) Memanglah sebenarnya masa tu ada. Tapi, banyak pula digunakan untuk benda lain seperti berehat, lepak, lepak, dan lepak…

Sunday, December 30, 2007

DEDIKASI BUAT ANAK-ANAK YANG BERMATA CANTIK

Di sini saya tukil cerpen-cerpen yang saya hasilkan waktu cuti untuk anak-anak saya…

1) Untuk anak sulung yang entah bila nak matang, Aliff.
Cerpen ‘Kisah Mereka di Taman Merdeka’

Tok Wan tidak kelihatan di sekitar Taman Merdeka. Apabila mereka terlihat akan kasut Tok Wan di bawah pondok, barulah mereka tahu yang Tok Wan sedang berehat di dalam pondok. Ranjini dan Colin memanggil Tok Wan, tetapi tiada jawapan. Foo Zi Yang dan Alif memanjat tangga untuk menggerakkan Tok Wan.
“Mungkin Tok Wan tidur,” kata Alif.
Kelihatan, di sisi Tok Wan adalah pingat yang diceritakan di dalam berita malam tadi. Di tangan Tok Wan, adalah gambar-gambar yang dikatakan oleh Kak Susanti. Alif perlahan-lahan menghampiri Tok Wan. Dia tidak mahu Tok Wan terkejut daripada tidurnya. Foo Zi Yang pula, mengumpul gambar-gambar yang bersisa di lantai pondok.
“Tok Wan… bangun…. Kami dan sampai ni….” Alif menggerakkan tangan Tok Wan. “Tok Wan… bangun….” Panggilan Alif masih tidak berjawab.
Alif menggoyang-goyangkan badan Tok Wan pula. Dia mulai risau. Suara Alif tambah kuat memanggil nama Tok Wan. Foo Zi Yang memegang telapak kaki Tok Wan. Sejuk. Tok Wan bukan lagi tidur.
Dari atas pondok, terdengar raungan Alif dan Foo Zi Yang. Ranjini dan Colin turut bergegas memanjat tangga pondok untuk mendapatkan Tok Wan diikuti anak-anak Tok Wan, wartawan dan jurugambar. Ruang pondok di atas pokok yang sempit itu dipenuhi dengan kesemua mereka, raungan, dan air mata penyesalan. Apa yang mereka ratapi adalah sekujur tubuh seorang pejuang yang pernah bermatian memperjuangkan maruah tanah air.
Muka depan akhbar keesokan harinya, memaparkan kisah Tok Wan. Arwah Tok Wan. Dan kisah itu dibaca oleh Alif, Foo Zi Yang, Ranjini, dan Colin dengan linangan air mata. Kisah itu, kisah mereka di Taman Merdeka.

2) Untuk anak saya yang ganas dan selalu kena marah, Fazir.
Cerpen ‘Lima Hari untuk Selamanya’.

Pulang ke rumah, seperti biasa ayah dan emak telah tidur. Fazir terus merebahkan dirinya ke tilam. Dia tersenyum. Puas. Tidak perlu lagi mengemas buku-buku. Tidak perlu lagi menyiapkan kerja sekolah hingga lewat malam. Tidak perlu lari risaukan sebarang denda di sekolah. Dia boleh tidur sepuas-puasnya. Tidur tanpa diganggu sesiapa. Fazir bermimpi indah malam itu. Dia bermimpi bermain layang-layang di padang ilalang. Dia berlari sekuat hati menaikkan layang-layangnya. Dia berlari sepuas-puasnya di padang yang luas itu. Layang-layangnya terbang tinggi. Tinggi… dan tinggi. Tiba-tiba, hujan !!!
“Bangun…!!!” Emak telah berdiri di depan Fazir.
Di tangan emak, gayung merah dari bilik air. Baju dan kain pelikat Fazir habis basah. Tentu saja emak baru lepas menyiramnya. Tentu telah beberapa kali emak mengejutkan Fazir. Fazir melihat jam di dindingnya. Masih terlalu awal. Apakah emak terlupa yang Fazir sudah tidak bersekolah lagi ?
“Mandi cepat. Ayah kau dah tunggu. Pergi toreh getah.” Emak memberi arahan.
Fazir akur. Seperti biasa, menggeletar dia kesejukan disiram air perigi. Fazir mengantuk sangat. Naik saja ke rumah selepas mandi, ayah telah menghidupkan enjin motornya. Bergegas Fazir bersiap. Menyarung kemeja-t dan seluar jeans lusuhnya. Dia sempat mencapai topinya sebelum turun ke tanah dan duduk di belakang ayah. Ayah membonceng Fazir melalui denai yang masih berkabus. Fazir mengacip giginya. Sejuk. Sejuk betul. Kesejukan menusuk hingga ke tulang. Sampai di kawasan estet, bau busuk getah menyucuk-nyucuk hidungnya.
Setelah ayah mematikan enjin motornya, dia menyuruh Fazir memakai lampu picit khas bertali getah yang dipasang di dahi. Lampu picit itu tak perlu dipegang lagi. Ini memudahkan dia menyuluh batang pokok getah sewaktu menoreh nanti. Fazir mengekori ayah melalui lorong di antara pokok-pokok getah. Agak jauh mereka berjalan. Fazir berhati-hati ketika melangkah. Takut-takut terpijak ular atau kala jengking. Akhirnya, sampai juga mereka. Fazir mula menoreh. Sesekali kelihatan dia menapar-nampar lengan dan mukanya. Nyamuk banyak betul. Dan nyamuk di sini sangat berbisa. Ayah hanya memerhati.
“Elok juga kamu berminat nak berhenti sekolah dan jadi penoreh. Aku pun dan dekat 30 tahun menoreh. Dah penat betul aku rasa. Badan tua aku ni dah tak berdaya lagi. Badan aku dah mula rasa sakit-sakit. Dah tak berapa sihat macam masa muda-muda dulu. Elok sangatlah kalau kamu gantikan aku. Kamu pun tak minat nak kerja yang lebih bagus nampaknya. Kerja yang lebih bagus kena ada kelayakan. Kamu teruslah menoreh. Aku nak balik berehat dulu. Nanti aku datang ambil kamu bila kamu dah selesai menoreh.” Ayah memberi arahan.
Ayah berlalu. Meninggalkan Fazir sendirian di situ. Fazir terus menoreh. Macam-macam di fikirannya kini. Kalau terjadi apa-apa, siapa yang tahu ? Bagaimana kalau ada harimau menerkam atau ular sawa sebesar peha membelit dirinya ? Beginilah rupanya kehidupan ayah sejak 30 tahun lalu. Seksa dan sengsara.

3) Untuk Najib yang cukup berdikari dan misteri.
Cerpen ‘Satria’

“Ajiblah Satria. Ajib kuat. Kuat belajar, kuat bersukan, dan kuat macam-macam lagi. Masa kita berpindah dulu, Ajib tidak penat menolong papa dan mama mengangkat barang. Ajib memang kuat.” Papa menerangkan.
Ajib mengingat kembali setiap apa yang papa katakan.
“Ajib juga baik. Baik hati. Ajib selalu menolong kawan-kawan dalam pelajaran, Ajib pernah menolong anak kucing yang takut nak turut dari tempat tinggi, dan papa cukup berbangga bila minggu lalu dalam LRT, Ajib sanggup berdiri dan memberikan tempat duduk Ajib kepada orang yang sedang mengandung.” Papa menyambung.
Ajib tersenyum.
“Ajib juga berani. Bila Ajib masuk pertandingan bercerita tempoh hari, papa dan mama cukup kagum dengan keberanian Ajib. Ajib juga berani bertanya kepada cikgu kalau ada perkara yang Ajib tidak faham. Itu adalah keberanian yang sebenar.” Papa menarik Ajib untuk duduk di pangkuannya.
Ajib bersandar di badan papa dan papa memeluk Ajib erat-erat.
“Ajiblah satria kami. Papa dan mama bangga dengan Ajib. Jadi, Ajib mesti terus jadi Satria. Satria kena terus hidup dalam hati Ajib.” Papa mengucup dahi Ajib.
Ajib mula faham kini. Dia kembali mengangkat muka dan wajahnya kembali bersinar.
“Jadi, Ajib jangan sedih lagi sebab Satria dalam televisyen tu dah terkorban. Sebabnya, Satria yang sebenar-benarnya, ada di sini. Ajib… Ajiblah Satria yang sebenar-benarnya.” Papa menarik hidung Ajib.
“Papa pun satria Ajib. Sebab, papa pun kuat, baik dan berani…” Ajib menyambung.
Papa memeluk Ajib dengan lebih erat. Mama masuk membawakan air coklat untuk Ajib. Ajib kembali gembira. Menjadi satria untuk papa dan mama lebih bermakna bagi Ajib. Malam itu, Ajib menukar rancangannya Ajib tidak menulis karangan tentang Satria sebagai idola. Tetapi, Ajib menulis tentang papa. Papa yang dikaguminya.
Ajib memulakan karangannya dengan menyatakan sebab dia memilih papa sebagai idola. Papa seorang bapa yang baik. Amat baik dan penyayang. Papa sentiasa mendidik Ajib agar menjadi anak yang baik. Papa juga seorang suami yang baik. Mama sentiasa disayangi oleh papa. Papa menyintai mama dengan sepenuh hatinya. Papa tidak pernah memarahi mama. Malah, papa selalu berbincang dengan mama sekiranya terdapat sebarang masalah dalam keluarga.
Selain itu, papa juga merupakan seorang anak yang baik. Setiap bulan, papa pasti akan pulang ke kampung mengunjungi datuk dan nenek untuk memberikan duit belanja. Adakalanya jika cuti sekolah, kami sekeluarga akan pulang ke kampung bersama papa. Datuk dan nenek sangat menyayangi papa. Nenek Ajib sebelah mama, iaitu emak kepada mama juga sangat menyayangi papa. Bapa mama sudah meninggal dunia. Tetapi sewaktu datuk masih hidup, dia juga rapat dengan papa. Papa selalu mengurut kakinya sewaktu datuk sakit dulu.
Di kawasan perumahan mereka, papa juga disenangi jiran-jiran. Papa sentiasa sudi membantu sesiapa saja yang perlukan bantuan. Pernah pada satu malam, ada jiran yang mengetuk pintu rumah Ajib kerana isterinya hendak bersalin. Papa tidak merungut walaupun waktu itu telah jauh malam dan papa telah lena tidur. Tentu ada sebab mengapa jiran tersebut memilih papa untuk meminta bantuan. Tentulah sebab jiran tersebut yakin yang papa sudi membantu dengan ikhlas.
Sebelum menutup karangannya, Ajib melahirkan rasa kasih sayangnya kepada papa. Papa adalah bapa yang terbaik di dunia. Ajib sangat sayangkan papa dan tidak mahu kehilangan papa walau sehari. Apabila Ajib besar nanti, Ajib mahu menjadi seperti papa. Menjadi orang dewasa yang baik kepada semua orang. Menjadi orang yang disayang semua.
‘Papa menganggap saya sebagai satrianya. Saya juga menganggap papa sebagai satria hati saya.’ Ajib mengakhiri karangannya. Malam itu, Ajib dapat tidur dengan lena.

4) Untuk anak bongsu bernama Adriansyah yang nakal. Sangat nakal….
Cerpen ‘Cahaya Ilham’.
“Langit ibarat sebuah buku. Kita membacanya setiap hari,” kata Linda Crocket, cuba mengganggu konsentrasi Adriansyah yang tekun membelek langit.
“Kau terlalu penting buat aku sekarang, Linda. Meramal tempat turunnya puting beliung memerlukan pengetahuan dan pengalaman.” Adriansyah terus mebaca langit.
“Juga, nasib.” Linda menyambung.
Mereka melangkah ke dalam jip. Tugas di hari pertama ini, tentu saja penuh debaran bagi Adriansyah. Tambahan pula, dia cuma ditemani seorang gadis muda yang merahsiakan umurnya. Adriansyah tahu, dia banyak pengalaman. Tambahan pula, guru Linda adalah Tim Marshall, pemburu ribut yang cukup terkenal.
Jip dipandu laju oleh Linda Crocket. Adriansyah disebelahnya masih menilik langit. Gadis berambut perang paras bahu yang murah dengan senyuman itu, kerap menoleh kepada Adriansyah. Dia masih ingat, begitulah juga keadaannya sewaktu mula-mula bertugas empat tahun lalu. Jip dipacu ke laluan puting beliung. Laluan inilah yang kerap dilalui Linda setiap kali penghujung musim bunga dan awal musim panas. Puting beliung yang bermaharaja di laluan ini, tidak pernah menggerunkan Linda.
“Seluruh warga Oklahoma akan berterima kasih kepada kita. Sekurang-kurangnya, kita berbakti kepada mereka dengan menyelamatkan nyawa mereka 20 minit lebih awal sebelum puting beliung yang lapar itu membaham mereka. Itulah keseronokan kerja kita.” Adriansyah menyahut kata-kata itu dengan senyuman.
Adriansyah dalam debaran, sebenarnya. Dia menunggu saat bertentang mata dengan puting beliung itu. Puting beliung terbentuk melalui perlanggaran dari arah bertentangan. Udara sejuk yang kering dari Barat bertemu dengan udara lembab dari Teluk Mexico. Entah bagaimanalah saiz puting beliung pertama yang akan berkenalan dengannya nanti.
“Sebelum puting beliung datang, ada 9mukadimahnya. Ribut hujan batu akan hadir dulu. Saiznya tak diketahui. Yang penting, hujan batu yang besar tidak kena pada antena atas jip. Apabila titisan air hujan biasa dinaikkan ke atas oleh angin sejuk yang kuat, ia boleh menjadi bebola ais sebesar buah limau sebelum jatuh ke bumi. Kau bayangkan jika bebola ais sebesar itu, jatuh tepat ke ubun-ubun kepala kita pada kelajuan 90 batu sejam. Tentu seronok, kan ?” Linda ketawa diikuti Adriansyah.
“Jadi, kenapa kau memilih kerjaya ini ?” Adriansyah mempersoal.
Linda ketawa lagi. Kemudian, berfikir sejenak.
“Puting beliung adalah musuh tradisi aku. Sejak kecil aku menggeruninya hinggalah kemudian bertukar menjadi dendam. Pada Jun 1995, rumah aku musnah tanpa belas kasihan, biar pun aku puas berdoa. Sejak itu aku bertekad memburunya. Aku tak akan memaafkannya. Lalu, kau pun terjunlah ke dalam bidang kerjaya yang bodoh ini. Walaubagaimana pun, aku taklah sebodoh kau.” Linda senyum sinis.
“Apa maksud kau, sebodoh aku ?” Adriansyah tidak mengerti.
“Kau dari sebuah negara yang cukup selesa. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Malah, kau mewarisi Istana 14 Balai yang diidamkan banyak pihak. Tapi kau… bodoh. Ramai penduduk di sini yang takut dengan pekerjaan ini. Malah, ada yang sanggup berpindah ke tempat yang lebih aman. Kau pula, sengaja mencari musibah.” Linda memperlekeh sambil terus memandu laju.
“Kau tak faham. Semua orang tak faham. Aku mahukan kepuasan hidup.” Adriansyah menyatakan pendapatnya.
Linda ketawa kuat dan berdekah-dekah.
“Bayangkan, waktu puting beliung datang mengganas, semua orang lari ke bilik bawah tanah mereka yang berpintu keluli. Kau pula, terhegeh-hegeh menyerah diri. Apa yang kau gelarkan itu ? Adventure ? Tekanan angin yang kuat terasa hingga gegendang telinga hampir nak pecah. Aku kadangkala menangis. Dan kau mencari semua itu ?” Linda mempersoalkan keputusan Adriansyah pula.
“Kau takkan faham.” Adriansyah putus asa.
Kehangatan perbualan mereka diganggu dengan panggilan dari pengkalan National Oceanic And Atmospheric Administration. Linda kelam kabut memecut jip. Adriansyah memikirkan perbualan mereka tadi.
Setiba di Bandar Kansas, terdengar bunyi yang menakutkan. Ia adalah raungan siren amaran puting beliung. Semua penduduk telah menyelamatkan diri masing-masing. Linda tiba-tiba berhenti di tengah jalan, lalu menarik brek tangan. Dia berpaling kepada Adriansyah. Wajahnya serius. Senyumannya yang begitu murah, hilang entah ke mana.
“Apa kau buat ni Linda ? Puting beliung itu sedang menuju ke arah kita !” Adriansyah cemas.
“Kau inginkan kepuasan, bukan ? Keseronokan ? So, enjoy yourself.” Linda ketawa melihat Adriansyah yang cemas.
“Kau dah gila, Linda….” Adriansyah semakin kelam-kabut melihat Linda yang cukup tenang.

5) Untuk anak dara saya Suhana yang ramah dan ringan tulang.
Cerpen ‘Cinta di Hati Berlian’
“Umi kamu tak sanggup menyatakannya. Dia tidak sampai hati. Biarlah makcik yang beritahu Su. Sebenarnya, makcik juga tidak sampai hati. Tapi, makcik perlu juga memberitahu Su. Semuanya demi masa depan Su. Su sekarang sepatutnya sudah bersekolah. Sepatutnya Su sudah masuk darjah satu. Jadi, Su mesti bersekolah.” Makcik Lisa memberitahu keadaan sebenar.
“Saya tidak kisah. Saya memang mahu bersekolah. Saya mahu masuk ke darjah satu. Saya suka belajar.” Saya menyatakan pendirian saya kepada makcik Lisa.
“Bukan itu saja. Su kena pindah. Su tidak boleh tinggal di sini lagi. Hati Berlian untuk mereka yang berumur 6 tahun dan ke bawah saja. Su kena pindah ke rumah anak yatim yang satu lagi.” Makin risau saya mendengar kata-kata makcik Lisa.
“Kenapa pula saya mesti pindah ? Saya tinggal sini sebab umi kerja di sini. Saya bukan penghuni tetap Hati Berlian. Saya anak umi. Saya ikut umi bekerja di sini. Sebab itu saya di sini.” Saya menerangkan kepada makcik Lisa.
Makcik Lisa diam seketika. Dia membetulkan rambut saya. Air matanya bergenang. Saya tambah keliru.
“Su… Su memang penghuni Hati Berlian. Su bukan anak umi. Umi tak pernah berkahwin. Su cuma anak angkat umi. Su anak yatim. Ibu dan bapa Su meninggal dalam satu kemalangan jalanraya sewaktu Su masih berusia dua bulan. Su penghuni paling muda di sini waktu itu.” Makcik Lisa tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menangis teresak-esak.
Saya tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh makcik Lisa itu. Saya mahu mendengar penjelasan dari mulut umi sendiri. Saya berlari keliling Hati Berlian mencari umi. Saya melaung nama umi sekuat hati. Saya mencari di segenap ruang dan sudut. Di mana umi bersembunyi ? Akhirnya, saya letih dan terduduk. Saya meraung sekuat hati saya.
Seharian saya tidak melihat umi dan Cinta. Daripada siang saya menunggu, hingga ke malam. Makcik Lisa tidur di Hati Berlian malam itu. Makcik Lisa tidur bersama saya. Dia juga tadinya membantu saya mengemaskan semua barang-barang saya. Makcik Lisa juga memeluk saya sambil tidur. Saya tidak juga kesejukan malam itu.
Pagi esoknya, umi dan Cinta masih tidak pulang. Pakcik Kadok sudah menunggu dengan keretanya. Setelah bersedia, saya masih tidak naik kereta. Saya masih menunggu umi dan Cinta. Tapi menurut makcik Lisa, umi tidak akan muncul selagi saya tidak pergi. Umi tidak sanggup melihat saya pergi. Jadi, rupa-rupanya malam itulah kali terakhir saya bertemu umi. Malam itulah kali terakhir umi mengucup saya. Malam itulah kali terakhir saya tidur dalam kehangatan kasih sayang umi. Saya faham. Saya bersalaman dengan semua penghuni Hati Berlian. Sheila dan Syafiq menangis teresak-esak. Makcik Lisa cuba menahan tangisannya. Bibirnya terketar-ketar. Matanya merah berair.
“Su, belajar rajin-rajin. Biar Su jadi anak umi yang mampu membanggakannya.” Makcik Lisa mencium dan memeluk saya erat-erat.
Saya cuma mengangguk-angguk dan tersenyum. Tidak setitispun air mata saya jatuh. Saya cukup tenang pagi itu. Pakcik Kadok membantu saya menyimpan beg pakaian saya. Apabila kereta mula berjalan, makcik Lisa berlari ke dalam rumah Hati Berlian. Dia tidak sanggup melihat pemergian saya. Anak-anak Hati Berlian lainnya, berpelukan sesama mereka. Kereta Pak Kadok keluar dari kawasan Hati Berlian. Di luar kawasan rumah itu, terpampang papan tanda ‘Rumah Anak-Anak Yatim Hati Berlian’ yang kali pertama saya lihat. Saya juga mendapat tahu daripada pakcik Kadok, sebab rumah itu dinamakan dengan nama ‘Hati Berlian’. Sebenarnya, itu adalah nama pengasas rumah itu iaitu Hatimah dan Haji Berlian. Keduanya telah meninggal dunia. Merekalah ibu dan bapa umi.

6) Untuk anak saya, Jun yang cukup cemerlang dan baik budi.
Cerpen ‘Misteri Banglo Yamamoto’

Sepanjang perjalanan, Ziman masih kelihatan mengantuk. Dia berjalan lambat-lambat. Egie pula, hanya memeluk lengan Jun. Ternyata dia sangat takut melalui jalan itu. Dengan bantuan sinar bulan, Jun dapat melihat jarum jamnya. Sudah jam 11:35 malam. Di tangan kanannya, tergenggam erat kameranya. Apabila melalui jalan berhampiran hadapan banglo Yamamoto, Jun memperlahankan langkah. Egie menariknya agar terus berjalan pantas. Hanya Jun yang memerhati banglo tersebut.
Terdapat banyak tingkap pada banglo tersebut. Jun meneka-neka, tingkap yang dimaksudkan oleh Azarin. Mungkinkah tingkap terakhir, ataukah yang pertama ? Atau mungkin juga, tingkap yang di tengah-tengah. Jun sesekali berhenti dan Egie terus menariknya. Barulah Jun perasan yang banglo Yamamoto kelihatan sangat indah di waktu malam. Bulan purnama seakan-akan berada betul-betul di atas bumbungnya. Cahaya purnama yang melatari banglo Yamamoto memberikan kesan keindahan yang tersendiri. Namun, bagi sesetengah orang, pemandangan tersebut sebenarnya amat menakutkan.
Mereka terus berjalan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tangisan yang agak kuat. Begitu panjang dan meleret-leret. Ianya merupakan suara perempuan yang sedang merintih kesedihan. Semua terdiam dan berhenti berjalan. Mereka menoleh ke arah tingkap paling hujung di tingkat atas banglo Yamamoto. Tiada sebarang objek kelihatan. Tidak lama, muncul susuk tubuh seseorang di hadapan tingkap. Lengkap berpakaian serba putih dan berselendang. Mereka menjerit dan berlari sekuat hati.
Setelah beberapa meter berlari, Azarin meminta semua berhenti kerana Jun tidak bersama mereka. Azarin menoleh ke belakang. Kelihatan Jun masih berdiri memerhati objek di tingkap banglo Yamamoto. Azarin segera berpatah balik, menarik tangan Jun dan berlari. Mereka semua kelam-kabut berlari pulang ke rumah nenek.
Sesampai di rumah nenek, mereka masih menjerit-jerit. Egie sudah mula menangis. Cuma Jun yang kelihatan bersahaja. Datuk menyuruh mereka segera mandi. Menurut datuk, jika tidak mereka akan keteguran. Jun mulanya enggan kerana terlalu sejuk. Namun, setelah didesak, Jun mandi sedikit. Cuma tiga gayung. Mereka mengeletar kesejukan, ditambah dengan rasa takut kerana melihat sendiri hantu Melati di banglo Yamamoto. Setelah semua selesai mandi, mereka segera tidur.
Keesokan paginya, Jun segera melihat kembali gambar-gambar yang dirakamnya semalam. Bukan gambar perkelahan mereka di air terjun, tetapi gambar hantu Melati yang sempat dirakamnya sewaktu sepupu-sepupunya melarikan diri. Egie terjerit melihat gambar yang dirakamkan. Azarin dan Ziman menyertai Jun membelek gambar tersebut. Jun membesarkan objek dengan menekan butang zoom in.

CUTI NAN PANJANG...

Sekolah akan dibuka tak lama lagi. Sekarang, masa untuk menghabiskan sisa-sisa cuti. Bosannya bila berada di minggu terakhir ni. Kadang-kadang terfikir juga, perlukah cuti yang begitu lama ? Adalah lebih bagus jika cuti akhir tahun cukup untuk 3 minggu. 2 minggu yang selebihnya, dibuat pada waktu yang lain. Lebih baik cuti selalu daripada cuti yang terlalu panjang.
Cuti ini, saya agak prolifik menulis. Selain bertugas mengawas SPM (jarak sekolah yang saya jaga, 45 km daripada rumah. Fuh, saya terbayang claim yang akan masuk nanti), saya tergerak untuk menulis apabila ada seseorang dari syarikat publisher yang mahukan cerpen-cerpen saya untuk dinilai. Cerpen-cerpen yang dimaksudkan pula, haruslah sesuai untuk pembacaan remaja sekolah rendah hingga tingkatan 3. Dia meminta saya mengirimkan sebuah cerpen sebelum cuti, dan lima cerpen lagi pada waktu cuti. Dia memberi saya tempoh seminggu untuk mengirim lima cerpen setelah dia menilai cerpen pertama.
Mulanya, saya memaki di dalam hati… (Apa, kau ingat idea tu macam air sungai ?) Tapi, kemudiannya saya ambil sebagai satu cabaran. Akhirnya, siap juga kesemuanya setelah saya mengusahakannya selama 4 minggu. Heheheee….Terlajak 3 minggu. Cerpen-cerpen tersebut sarat dengan nama anak-anak saya (students) sebagai watak-wataknya. Memandangkan saya menghasilkan 6 cerpen remaja (kanak-kanak sebenarnya), lalu saya dedikasikan untuk enam anak kesayangan saya dengan menggunakan nama mereka sebagai watak utama (sebenarnya, saya juga menjadikan perwatakan mereka sebagai rujukan biarpun semuanya telah tamat tingkatan 5). Cerpen ‘Kisah Mereka di Taman Merdeka’ untuk Aliff, cerpen ‘Satria’ untuk Najib, ‘Cinta di Hati Berlian’ untuk Suhana, ‘Lima Hari untuk Selamanya’ untuk Fazir, ‘Cahaya Ilham’ untuk Adriansyah, dan ‘Misteri Banglo Yamamoto’ untuk Jun.
Saya dan anak-anak saya

Selain daripada menulis, saya turut mengisi cuti dengan mejelajah Sabah. Saya dikunjungi beberapa teman dari semenenjung, sebenarnya. Mereka teman-teman sewaktu saya di UPSI dulu. Mereka adalah Faizal, Shahrul, Shamsul, Zamri dan Hazril Kami menyewa Avanza selama 7 hari. Dari Tawau, kami ke Ranau dan bermalam di sana. Kami mandi-manda di kolam air panas dan cuci mata di Kundasang. Kemudian, terus ke Kudat. Bermalam juga di sana. Kami menikmati keindahan Simpang Mengayau. Kemudian ke Kota Kinabalu. Kebetulan (dirancang sebenarnya) sewaktu di sini, gaji masuk pula. Apa lagi, semua bershopping sakan tak ingat dunia di Pasar Philipine. Dua hari kami ke Kota Kinabalu, sempat juga kami snockling di Pulau Manukan. Cantik. Memang cantik. Seolah berenang di akuarium yang sangat besar. Kami sempat bertegur sapa dengan ikan-ikan yang cantik-cantik dan jinak pula, mengacip setiap roti yang kami hulurkan.
Simpang Mengayau (Tip of Borneo)


Pulau Manukan

Perancangan kami, selepas ke Kota Kinabalu, kami mahu ke Sandakan. Namun, kerana terlalu penat setelah setiap malam tidak cukup tidur, kami memutuskan untuk pulang ke Tawau. Di Tawau, kami sempat ke Semporna, menjelajah ke Pulau Mabul. Teman saya Cikgu Sedein, membawa kami mengelilingi Pulau Mabul. Ada sedikir rasa terkilan dalam hati saya. Pulau ini sepatutnya lebih indah jika tiada perkampungan di sini. Keadaan sangat kotor dan adakala kami tertanggu oleh anak-anak kecil yang meminta dihulurkan wang kecil. Kami terfikir, jika dengan pelancong asing, bagaimana pula ? Kami hendak mandi di sana pada mulanya. Namun, kami lupakan hasrat itu kerana tiada tempat membilas dan menukar pakaian.
Pulau Mabul

Sewaktu pulang, kami singgah di Tampi-Tampi Resort. Juga tenang dan indah. Namun, keindahan cuma di tahap minimum. Resort ini juga kotor lautnya. Saya terfikir, jika Semporna dijaga dan dibersihkan, pastinya tempat ini bakal menjadi tempat tarikan utama Malaysia. Namun, entah di mana silapnya, daerah yang memiliki taman air tercantik di dunia (Pulau Sipadan) yang pernah direbut daripada Indonesia ini, kelihatan begitu mundur.
Kami tinggalkan Semporna dengan 1001 rasa. Di Tawau, teman-teman saya masih punya wang yang banyak rupanya. Mereka sempat membeli sekali lagi di Pasar Gantung. Tumpuan mereka, tentulah mutiara. Saya juga sempat membawa mereka ke pasar ikan. Mereka rambang mata jadinya. Masakan tidak, makanan laut di sini sangat murah dan segar pula. Akhirnya, mereka membeli seperti ingin membuat kenduri. Malam itu, kami memasak sakan. Saya terpaksa memanggil anak-anak saya untuk membantu menghabiskan makanan. Namun, masih banyak juga yang dibuang.
Sebelum cuti tamat ini, saya sempat juga menghabiskan penulisan novel remaja saya. Biarpun kisahnya lebih condong kepada kisah peribadi, namun, saya berhasrat juga untuk menjajanya kepada penerbit. Namun, saya perlu memikirkannya semula. Saya belum membuat keputusan.

Thursday, December 27, 2007

DARI TITIK PERTAMA...

Assalamualaikum.
Bila ramai sangat tanya pasai bila aku nak ada blog, aku pun mula la creat memacam cerita. Tak ada masa, la... malas la... yang sebenornya, aku pun tak tahu, apa ke bendanya blog tu ? Maklum la... orang kampung (Kampung Pasir, Setapak). Akhirnya, bila students aku sendiri dah melambak yang ada blog, rasa malu la juga. Jadi, aku mulakan la blog kali ini, setelah puas memerhati dan mencari di internet. Harapnya, aku dapat menajdi penulis blog yang prolifik...