Wednesday, March 4, 2009

ARTIKEL YANG TAK PERNAH DIHANTAR DAN DISIARKAN DI MANA-MANA

MANA SILAPNYA SASTERA TERPINGGIR
Oleh : Moh Azam Rezali

Suatu masa dulu, sastera begitu gah. Sastera dan kesusasteraan. ‘Su’ itu indah, ‘sastra’ itu kitab. Jangan pernah kita terlupa, kitab suci Al-Quran diturunkan dalam bentuk puisi di mana ketika itu, manusia ‘majnun’ dengan syair. Malah, karya-karya sastera dibacakan sebelum sesuatu angkatan perang itu pergi bertempur bagi membakar semangat waja. Sastera menjadi katalis kebangkitan semangat juang. Malah, Rasulullah S.A.W sendiri menggalakkan penyair Islam menulis puisi menyaingi penyair jahiliah dan menyalurkan perasaan bersemangat jihad serta nilai-nilai Islam.

Tidak terhad dengan itu, di dalam karya kesusasteraan Parsi dan Urdu, syair yang disebut na’t yang ditulis dalam pelbagai gaya bahasa seperti rubai, masnawi dan ghazal, merupakan saluran puji-pujian kepada Rasulullah S.A.W. Malah, Imam Syafie sendiri menghasilkan karya-karya sastera berlandaskan Islam dan gemar mengembara untuk mendapat ilham dan meningkatkan kecintaan kepada Allah S.W.T. Jelas, karya-karya sastera telah lama mendidik kita sejak akar umbi lagi. Masyarakat Melayu sendiri dipandang tinggi kerana nilai budi yang pada dasarnya terdidik oleh asas sastera yang kuat.

Jangan pertikaikan bahawa syair, pantun dan lagu-lagu dodoi pernah mencanting kehidupan masyarakat Melayu desa. Cerita-cerita rakyat dan hikayat, pernah menjadi dendang hiburan Awang Batil, pelipurlara. Cerita-cerita hantu dan binatang, pernah menghiasi seputar hari-hari indah zaman trzadisional kanak-kanak. Semua ini menjadi agen mendidik anak-anak muda secara tidak formal satu ketika dulu. Malah, lebih daripada itu, karya garapan sang pujangga pernah mengangkat maruah satu-satu bangsa. Tidak harus dipertikaikan bahawa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pernah terhutang budi dengan pujangga yang menggarap karya, menonjolkan Melaka ditunjangi tiang-tiang yang gagah perkasa daripada kelahiran sultannya, panglimanya, senjatanya dan kerajaan yang bukan calang-calang, hasil intuisi pujangga bestari.

Jika disingkap kembali sejarah kesusasteraan Malaysia, tidak seharusnya ia menjadi begitu terpinggir dan dipandang sepi. Entah di mana silapnya, tiba-tiba kita terhakis segala keperibadian yang pernah dicambahkan oleh benih sastera. Pandang saja sekeliling kita. Anak-anak muda begitu kasar dan menakutkan. Jati diri mereka begitu rapuh hingga mudah memakai apa saja budaya luar yang hinggap di bahu mereka. Dan sastera, terus dipandang dengan ekor mata sahaja. Di manakah silapnya ? Siapakah yang harus bertanggung jawab ? Apakah kita ingin menunggu semakin ramai remaja membunuh diri kerana kekosongan nilai di dalam jiwa mereka ? Haruskah kita mengakui, masanya hanya akan tiba setelah makin ramai remaja yang tercedera akhlaknya ? Zaman kita mengejar kemajuan, adalah zaman parah para remaja yang lali dan leka melayan nafsu berkiblatkan Barat. Remaja-remaja inikah yang akan menggantikan pucuk kepimpinan negara ?

Beberapa negara maju pernah melupakan sastera seketika di kala mengejar kemajuan. Lalu, apabila mereka mula tersedar yang mereka telah berdosa mengabaikan kemanusiaan hingga mengheret anak-anak muda ke jurang yang canggih tetapi busuk, mereka berpatah kembali. Mula mencari semula sisa-sisa sastera yang masih tinggal. Apakah kita ingin mencontohi mereka ? Contoh sudah di depan mata. Tidak perlu menunggu kita mengalaminya sendiri.

Sebenarnya, pucuk pimpinan negara kita telah lama sedar akan perihal ini. Jika tidak, masakan mata pelajaran sastera masih bertapak di sekolah-sekolah. Malah, lebih daripada itu, sastera mula dijawibkan untuk diajar di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000. Malah, terawal daripada itu, cerpen, novel dan pelbagai karya klasik telah diperkenalkan kepada para pelajar sedari 1987. Namun, sebagaimana diperkatakan tadi, entah di mana silapnya, sastera masih tersisih dan belum mampu mendidik sahsiah pelajar dalam erti kata sebenarnya.

Segala-galanya dimulakan dengan mentaliti di bangku sekolah. Sejak berbelas tahun dahulu (atau mungkin lebih dari itu) masyarakat Malaysia telah melabelkan kelas sastera sebagai ‘kelas hujung’ atau kelas pelajar lemah. Dalam konteks tersebut, pelajar-pelajar yang terpaksa memilih aliran selepas menamatkan tingkatan tiga dan akan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat, harus menerima hakikat bahawa jika diri mereka lemah, jangan ada impian untuk belajar sains tulen atau akaun walau pun itu telah menjadi minat mereka. Dan jika ada pelajar cemerlang, walau pun amat meminati sastera, sudah tentu tidak mahu memasuki ‘kelas hujung’, malah tidak akan digalakkan oleh guru dan pihak pentadbir sekolah juga. Maka hasilnya, para pelajar calon SPM yang berada di tingkatan empat akan dipecah-pecahkan tanpa demokrasi.

Tinggallah pelajar-pelajar malang yang kurang berjaya dalam PMR untuk meneruskan perjuangan di kelas sastera. Malangnya, ada yang langsung tidak minat membaca atau masih merangkak pembacaan mereka. Cuba kita bayangkan, bagaimana pelajar yang tidak meminati sastera harus mempelajari mata pelajaran ini ? Malah, ada pelajar yang terlalu lemah dan kurang mampu membaca, atau berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu turut ‘dicampakkan’ ke kelas sastera. Bagaimana pelajar yang lemah membaca, ingin menamatkan sesebuah novel dan antologi ? Maka terhasillah pelajar-pelajar gagal dalam SPM yang asalnya belajar di kelas sastera. Kemudian, beramai-ramai pula masyarakat melabel sastera sebagai ‘tidak ada masa depan’ ekoran penilaian awal terhadap pelajar-pelajar yang gagal dalam SPM ini. Salah siapa ?

Tidak keterlaluan jika disifatkan ‘orang-orang kuat sastera’ sebagai kurang kuat mempertahankan sastera. Cuba kita lihat bagaimana ‘orang-orang kuat sains’ menjaga kualiti mereka. Hanya pelajar terbaik dapat merasa menjadi pelajar sains. Begitu juga ‘orang-orang kuat matematik’. Jika tidak, masakan perjuangan mereka untuk menyerapkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan matematik dan sains diterimapakai di seluruh negara. Lihat bagaimana perjuangan mereka. Guru-guru yang mengajar matematik dan sains dibekalkan dengan komputer bimbit dan LCD serta elaun khas kerana mengajar dalam Bahasa Inggeris. Sepatutnya, mata pelajaran sastera amat memerlukan alat bantu belajar bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dari sudut penyampaiannya. Sastera bukan setakat perlu dibaca. Malah perlu didengar, dilihat dan dirasa. Perlu praktikal dan penghasilan. Lihat bagaimana mata pelajaran sains dan matematik tidak lagi menjadi mata pelajaran yang membosankan hasil dari kecanggihan teknologi yang digunakan. Itu semua hanya terhasil dengan perjuangan ‘orang-orang kuat sains dan matematik’. Ke mana perginya perjuangan ‘orang-orang kuat sastera’ ? Kenapa mereka tidak memperjuangkan, hanya pelajar yang berbakat dan benar-benar berminat saja untuk berada di aliran sastera. Siapakah yang harus memperjuangkan perkara ini ? Siapakah ‘orang-orang kuat sastera’ ? Atau tidak pernah ada ‘orang kuat’ dalam dunia sastera ?

Adalah lebih baik sebenarnya jika pelajar dibenarkan membuat pilihan mereka sendiri. Pelajar adalah pelanggan utama Kementerian Pelajaran. Mereka membayar yuran sekolah dan peperiksaan awam. Oleh itu, bebaskanlah mereka membuat pilihan mengikut minat dan kemahuan mereka. Mana mungkin seseorang yang aktif himisfera orang kirinya dipaksa belajar menggunakan himisfera otak kanan. Boleh jadi, pelajar yang lemah membaca dan kurang berjaya dalam peperiksaan kerana subjek-subjek membaca, lebih memihati dan berdaya mempelajari matematik. Mungkin mereka lebih berpotensi dan meminati ‘dunia angka’. Maka seharusnya, pelajar-pelajar ini dilatih dan diajar dalam aliran yang sepatutnya untuk membentuk masa depan mereka daripada memaksa mereka membuat apa yang mereka tidak mampu.

Sukatan pelajaran sastera khususnya KOMSAS juga harus dianalisis semula. Tidak salah malah sangat baik bagi semua pelajar mempelajari sastera demi melahirkan anak bangsa yang berjati diri. Namun, jika KOMSAS ini sekadar menjadi penyeri dalam pembelajaran, maka ianya kelihatan agak kurang praktikal. Adalah lebih baik sekiranya KOMSAS dikeluarkan daripada mata pelajaran Bahasa Melayu dan menjadi mata pelajaran wajib tunggal. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu tidak boleh dicampuradukkan kerana ianya adalah dua elemen yang berbeza dan ada percanggahannya. Universiti Pendidikan Sultan Idris pernah tidak membenarkan pelajar-pelajar dari kursus Pendidikan Kesusasteraan Melayu mengambil minor bagi subjek Bahasa Melayu dan begitu juga sebaliknya.

Jika difikirkan, tindakan itu sememangnya relevan. Malah, sepatutnya kursus Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu berada dalam dua fakulti yang berbeza. Sastera adalah seni. Sastera tidak mempelajari bahasa. Apa yang dipelajari adalah keindahannya. Sama seperti pelajaran seni visual yang mempelajari arca, lukisan, kolaj, alatan melukis dan bermain dengan warna. Sama seperti pelajaran muzik yang mempelajari notasi, harmoni, ensamble, vokal dan bermain dengan alat muzik. Sastera juga begitu. Mempelajari puisi, cerpen, novel, drama, kritkan dan bermain dengan bahasa. Paling tidak, para pelajar tidak lagi keliru dengan hukum sastera dan Bahasa Melayu. Benda yang salah dan tidak dibenarkan dalam Bahasa Melayu, adakalanya menjadi satu gaya bahasa yang tinggi nilai estetikanya dalam sastera. Maka jika dua pelajaran ini dipecahkan dan diajar oleh dua guru yang berbeza, tidak akan wujud lagi kekeliruan di pihak pelajar mahu pun guru.

Sebenarnya, tidak mudah mengajar sastera. Tetapi apa yang berlaku di sesetengah sekolah, ianya menjadi mudah setelah guru yang mengajar mata pelajar sastera mempermudahkan dan mengambil mudah proses pengajaran dan pembelajaran bagi subjek tersebut. Tidak boleh dipersalahkan guru seratus peratus, sebenarnya. Terdapat guru sastera yang bukan dari opsyen sastera, diminta mengajar mata pelajaran tersebut oleh pihak pentadbir sekolah. Alasan mereka mudah; sastera bukan susah untuk diajar. Apa yang menyedihkan, perkara ini bukan untuk sementara. Biar pun pada mulanya guru yang bukan opsyen tersebut cuma menjadi ‘bidan terjun’. Akhirnya ada yang menjadi ‘bidan sepenuh masa’. Biar pun ada guru dengan opsyen sastera masuk mengajar di sekolah tersebut, mereka hanya diminta mengajar subjek yang kekurangan guru. Perkara ini akan terus berlarutan jika pihak pentadbir tidak peka akan perihal ini. Maka, wujudlah guru sastera alias ‘pengejar sukatan pelajaran’ tanpa tahu apa yang dipelajari.

Pelajar sastera tentu mengaku pernah belajar sastera, tetapi tidak pernah mendengar cara membaca syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya. Seharusnya, guru sastera perlu berilmu dan berbakat dalam bidang sastera untuk mengajar sastera. Sama seperti guru muzik harus berbakat muzik untuk mengajar muzik. Mengajar sastera bukan sekadar ‘chalk and talk’. Malah lebih dari itu. Teks drama harus dipentaskan atau setidak-tidaknya dilakonkan di dalam kelas. Mengajar sastera tidak semudah menelaah buku ulasan. Mengajar karya SN Noordin Hassan bukan semudah membaca buku rujukan. Malah apa yang menyedihkan, ada guru sastera yang tidak pernah membaca novel yang diajar kerana tidak berminat membaca novel. Tidak kurang ada yang pening dengan ‘Jangan Bunuh Rama-rama’ dan ‘Malam Ini Penyu Menangis’ kerana gagal menafsif setiap yang tersirat. Perkara ini tetap akan terus berlaku sekiranya bukan guru yang selayaknya mengajar sastera, terpaksa mengajar sastera. Ramailah pelajar sastera yang akan tersesat kerana ‘ajaran sesat’ yang diajar kepada mereka.

Seperkara lagi yang menyebabkan sastera dipandang rendah adalah potensi untuk lulus amat mudah. Mungkin kerana tahap pelajar yang mengambil mata pelajar sastera itu sendiri menyebabkan soalan yang digubal hanya ‘setakat mampu’ dijawab sahaja. Seharusnya, standard soalan perlu dipertingkatkan. Percayakan anda sekiranya diberitahu, anda tidak perlu membaca teks-teks sastera untuk lulus. Apa yang perlu cuma buku rujukan yang melambak di pasaran. Ada guru sastera sendiri yang mengakui, soalan sastera untuk STPM sama mudahnya dengan soalan sastera SPM. Apa yang ditanya hanyalah perkara-perkara dasar yang bersifat luaran dan tidak memerlukan kreativiti sastera. Seharusnya, STPM setaraf diploma.

Amat wajar sekali bagi calon-calon beraliran sastera STPM, untuk mahir membuat ulasan atau kritikan terhadap sesuatu karya berdasarkan aliran dan teori kesusasteraan yang telah dipelajari. Tetapi ini tidak berlaku bagi calon-calon sastera STPM. Akibatnya, apabila mereka melangkah ke universiti dan terpaksa bersaing pula dengan pelajar-pelajar lepasan diploma yang telah lebih jauh ilmunya, pasti menjadi satu persaingan yang sukar. Paling tidak, pelajar diploma sastera, didedahkan dengan praktikal. Begitulah seharusnya juga bagi STPM demi menyamatarafkan level mereka. Seharusnya peratus subjek sastera bagi peperiksaan awam tidak kira SPM mahu pun STPM turut dipecahkan bagi praktikal. Sekurang-kurangnya, pelajar akan punya lebih inisiatif untuk melibatkan diri dalam aktiviti sastera, tidak kiralah dari segi penghasilan karya sastera, pementasan drama, kritikan atau pun persembahan puisi sama ada tradisional mahu pun moden. Barulah pelajar sastera mampu menjadi pelajar berkualiti yang mampu menjadi pelapis bagi sasterawan yang sedia ada. Lalu, bolehlah kita memasang kembali angan-angan untuk memenangi Anugerah Nobel dalam bidang sastera.

Lihat bagaimana negara jiran kita memartabatkan sastera. Didikan secara tidak formal seperti kewujudan filem popular remaja ‘Ada Apa Dengan Cinta’ dan ‘Tentang Dia’ telah sedikit sebanyak menarik minat pelajar memesrai sastera. Orang-orang sastera di sana juga nampaknya bukan calang-calang berjuang dan mempertahankan sastera. Karyawan mereka bukan setakat melahirkan karya untuk kelompok mereka sendiri saja. Malah turut terjun ke dunia sosial anak muda. Barangkali, apa yang diutarakan di sini lebih kepada perkara-perkara yang nampak remeh. Namun, perkara inilah sebenarnya yang menjadikan sastera begitu terpinggir. Memang tidak boleh dipertikaikan, kita mempunyai barisan sasterawan yang berbakat dan hebat. Namun, kita harus melihat dari perspektif awal yang menjadi akar umbi. Sastera harus dipelihara dan disemai sedari di bangku sekolah agar nanti akan ada penyambung warisan sastera dan tidaklah sastera terus terpinggir.