Sunday, December 30, 2007

DEDIKASI BUAT ANAK-ANAK YANG BERMATA CANTIK

Di sini saya tukil cerpen-cerpen yang saya hasilkan waktu cuti untuk anak-anak saya…

1) Untuk anak sulung yang entah bila nak matang, Aliff.
Cerpen ‘Kisah Mereka di Taman Merdeka’

Tok Wan tidak kelihatan di sekitar Taman Merdeka. Apabila mereka terlihat akan kasut Tok Wan di bawah pondok, barulah mereka tahu yang Tok Wan sedang berehat di dalam pondok. Ranjini dan Colin memanggil Tok Wan, tetapi tiada jawapan. Foo Zi Yang dan Alif memanjat tangga untuk menggerakkan Tok Wan.
“Mungkin Tok Wan tidur,” kata Alif.
Kelihatan, di sisi Tok Wan adalah pingat yang diceritakan di dalam berita malam tadi. Di tangan Tok Wan, adalah gambar-gambar yang dikatakan oleh Kak Susanti. Alif perlahan-lahan menghampiri Tok Wan. Dia tidak mahu Tok Wan terkejut daripada tidurnya. Foo Zi Yang pula, mengumpul gambar-gambar yang bersisa di lantai pondok.
“Tok Wan… bangun…. Kami dan sampai ni….” Alif menggerakkan tangan Tok Wan. “Tok Wan… bangun….” Panggilan Alif masih tidak berjawab.
Alif menggoyang-goyangkan badan Tok Wan pula. Dia mulai risau. Suara Alif tambah kuat memanggil nama Tok Wan. Foo Zi Yang memegang telapak kaki Tok Wan. Sejuk. Tok Wan bukan lagi tidur.
Dari atas pondok, terdengar raungan Alif dan Foo Zi Yang. Ranjini dan Colin turut bergegas memanjat tangga pondok untuk mendapatkan Tok Wan diikuti anak-anak Tok Wan, wartawan dan jurugambar. Ruang pondok di atas pokok yang sempit itu dipenuhi dengan kesemua mereka, raungan, dan air mata penyesalan. Apa yang mereka ratapi adalah sekujur tubuh seorang pejuang yang pernah bermatian memperjuangkan maruah tanah air.
Muka depan akhbar keesokan harinya, memaparkan kisah Tok Wan. Arwah Tok Wan. Dan kisah itu dibaca oleh Alif, Foo Zi Yang, Ranjini, dan Colin dengan linangan air mata. Kisah itu, kisah mereka di Taman Merdeka.

2) Untuk anak saya yang ganas dan selalu kena marah, Fazir.
Cerpen ‘Lima Hari untuk Selamanya’.

Pulang ke rumah, seperti biasa ayah dan emak telah tidur. Fazir terus merebahkan dirinya ke tilam. Dia tersenyum. Puas. Tidak perlu lagi mengemas buku-buku. Tidak perlu lagi menyiapkan kerja sekolah hingga lewat malam. Tidak perlu lari risaukan sebarang denda di sekolah. Dia boleh tidur sepuas-puasnya. Tidur tanpa diganggu sesiapa. Fazir bermimpi indah malam itu. Dia bermimpi bermain layang-layang di padang ilalang. Dia berlari sekuat hati menaikkan layang-layangnya. Dia berlari sepuas-puasnya di padang yang luas itu. Layang-layangnya terbang tinggi. Tinggi… dan tinggi. Tiba-tiba, hujan !!!
“Bangun…!!!” Emak telah berdiri di depan Fazir.
Di tangan emak, gayung merah dari bilik air. Baju dan kain pelikat Fazir habis basah. Tentu saja emak baru lepas menyiramnya. Tentu telah beberapa kali emak mengejutkan Fazir. Fazir melihat jam di dindingnya. Masih terlalu awal. Apakah emak terlupa yang Fazir sudah tidak bersekolah lagi ?
“Mandi cepat. Ayah kau dah tunggu. Pergi toreh getah.” Emak memberi arahan.
Fazir akur. Seperti biasa, menggeletar dia kesejukan disiram air perigi. Fazir mengantuk sangat. Naik saja ke rumah selepas mandi, ayah telah menghidupkan enjin motornya. Bergegas Fazir bersiap. Menyarung kemeja-t dan seluar jeans lusuhnya. Dia sempat mencapai topinya sebelum turun ke tanah dan duduk di belakang ayah. Ayah membonceng Fazir melalui denai yang masih berkabus. Fazir mengacip giginya. Sejuk. Sejuk betul. Kesejukan menusuk hingga ke tulang. Sampai di kawasan estet, bau busuk getah menyucuk-nyucuk hidungnya.
Setelah ayah mematikan enjin motornya, dia menyuruh Fazir memakai lampu picit khas bertali getah yang dipasang di dahi. Lampu picit itu tak perlu dipegang lagi. Ini memudahkan dia menyuluh batang pokok getah sewaktu menoreh nanti. Fazir mengekori ayah melalui lorong di antara pokok-pokok getah. Agak jauh mereka berjalan. Fazir berhati-hati ketika melangkah. Takut-takut terpijak ular atau kala jengking. Akhirnya, sampai juga mereka. Fazir mula menoreh. Sesekali kelihatan dia menapar-nampar lengan dan mukanya. Nyamuk banyak betul. Dan nyamuk di sini sangat berbisa. Ayah hanya memerhati.
“Elok juga kamu berminat nak berhenti sekolah dan jadi penoreh. Aku pun dan dekat 30 tahun menoreh. Dah penat betul aku rasa. Badan tua aku ni dah tak berdaya lagi. Badan aku dah mula rasa sakit-sakit. Dah tak berapa sihat macam masa muda-muda dulu. Elok sangatlah kalau kamu gantikan aku. Kamu pun tak minat nak kerja yang lebih bagus nampaknya. Kerja yang lebih bagus kena ada kelayakan. Kamu teruslah menoreh. Aku nak balik berehat dulu. Nanti aku datang ambil kamu bila kamu dah selesai menoreh.” Ayah memberi arahan.
Ayah berlalu. Meninggalkan Fazir sendirian di situ. Fazir terus menoreh. Macam-macam di fikirannya kini. Kalau terjadi apa-apa, siapa yang tahu ? Bagaimana kalau ada harimau menerkam atau ular sawa sebesar peha membelit dirinya ? Beginilah rupanya kehidupan ayah sejak 30 tahun lalu. Seksa dan sengsara.

3) Untuk Najib yang cukup berdikari dan misteri.
Cerpen ‘Satria’

“Ajiblah Satria. Ajib kuat. Kuat belajar, kuat bersukan, dan kuat macam-macam lagi. Masa kita berpindah dulu, Ajib tidak penat menolong papa dan mama mengangkat barang. Ajib memang kuat.” Papa menerangkan.
Ajib mengingat kembali setiap apa yang papa katakan.
“Ajib juga baik. Baik hati. Ajib selalu menolong kawan-kawan dalam pelajaran, Ajib pernah menolong anak kucing yang takut nak turut dari tempat tinggi, dan papa cukup berbangga bila minggu lalu dalam LRT, Ajib sanggup berdiri dan memberikan tempat duduk Ajib kepada orang yang sedang mengandung.” Papa menyambung.
Ajib tersenyum.
“Ajib juga berani. Bila Ajib masuk pertandingan bercerita tempoh hari, papa dan mama cukup kagum dengan keberanian Ajib. Ajib juga berani bertanya kepada cikgu kalau ada perkara yang Ajib tidak faham. Itu adalah keberanian yang sebenar.” Papa menarik Ajib untuk duduk di pangkuannya.
Ajib bersandar di badan papa dan papa memeluk Ajib erat-erat.
“Ajiblah satria kami. Papa dan mama bangga dengan Ajib. Jadi, Ajib mesti terus jadi Satria. Satria kena terus hidup dalam hati Ajib.” Papa mengucup dahi Ajib.
Ajib mula faham kini. Dia kembali mengangkat muka dan wajahnya kembali bersinar.
“Jadi, Ajib jangan sedih lagi sebab Satria dalam televisyen tu dah terkorban. Sebabnya, Satria yang sebenar-benarnya, ada di sini. Ajib… Ajiblah Satria yang sebenar-benarnya.” Papa menarik hidung Ajib.
“Papa pun satria Ajib. Sebab, papa pun kuat, baik dan berani…” Ajib menyambung.
Papa memeluk Ajib dengan lebih erat. Mama masuk membawakan air coklat untuk Ajib. Ajib kembali gembira. Menjadi satria untuk papa dan mama lebih bermakna bagi Ajib. Malam itu, Ajib menukar rancangannya Ajib tidak menulis karangan tentang Satria sebagai idola. Tetapi, Ajib menulis tentang papa. Papa yang dikaguminya.
Ajib memulakan karangannya dengan menyatakan sebab dia memilih papa sebagai idola. Papa seorang bapa yang baik. Amat baik dan penyayang. Papa sentiasa mendidik Ajib agar menjadi anak yang baik. Papa juga seorang suami yang baik. Mama sentiasa disayangi oleh papa. Papa menyintai mama dengan sepenuh hatinya. Papa tidak pernah memarahi mama. Malah, papa selalu berbincang dengan mama sekiranya terdapat sebarang masalah dalam keluarga.
Selain itu, papa juga merupakan seorang anak yang baik. Setiap bulan, papa pasti akan pulang ke kampung mengunjungi datuk dan nenek untuk memberikan duit belanja. Adakalanya jika cuti sekolah, kami sekeluarga akan pulang ke kampung bersama papa. Datuk dan nenek sangat menyayangi papa. Nenek Ajib sebelah mama, iaitu emak kepada mama juga sangat menyayangi papa. Bapa mama sudah meninggal dunia. Tetapi sewaktu datuk masih hidup, dia juga rapat dengan papa. Papa selalu mengurut kakinya sewaktu datuk sakit dulu.
Di kawasan perumahan mereka, papa juga disenangi jiran-jiran. Papa sentiasa sudi membantu sesiapa saja yang perlukan bantuan. Pernah pada satu malam, ada jiran yang mengetuk pintu rumah Ajib kerana isterinya hendak bersalin. Papa tidak merungut walaupun waktu itu telah jauh malam dan papa telah lena tidur. Tentu ada sebab mengapa jiran tersebut memilih papa untuk meminta bantuan. Tentulah sebab jiran tersebut yakin yang papa sudi membantu dengan ikhlas.
Sebelum menutup karangannya, Ajib melahirkan rasa kasih sayangnya kepada papa. Papa adalah bapa yang terbaik di dunia. Ajib sangat sayangkan papa dan tidak mahu kehilangan papa walau sehari. Apabila Ajib besar nanti, Ajib mahu menjadi seperti papa. Menjadi orang dewasa yang baik kepada semua orang. Menjadi orang yang disayang semua.
‘Papa menganggap saya sebagai satrianya. Saya juga menganggap papa sebagai satria hati saya.’ Ajib mengakhiri karangannya. Malam itu, Ajib dapat tidur dengan lena.

4) Untuk anak bongsu bernama Adriansyah yang nakal. Sangat nakal….
Cerpen ‘Cahaya Ilham’.
“Langit ibarat sebuah buku. Kita membacanya setiap hari,” kata Linda Crocket, cuba mengganggu konsentrasi Adriansyah yang tekun membelek langit.
“Kau terlalu penting buat aku sekarang, Linda. Meramal tempat turunnya puting beliung memerlukan pengetahuan dan pengalaman.” Adriansyah terus mebaca langit.
“Juga, nasib.” Linda menyambung.
Mereka melangkah ke dalam jip. Tugas di hari pertama ini, tentu saja penuh debaran bagi Adriansyah. Tambahan pula, dia cuma ditemani seorang gadis muda yang merahsiakan umurnya. Adriansyah tahu, dia banyak pengalaman. Tambahan pula, guru Linda adalah Tim Marshall, pemburu ribut yang cukup terkenal.
Jip dipandu laju oleh Linda Crocket. Adriansyah disebelahnya masih menilik langit. Gadis berambut perang paras bahu yang murah dengan senyuman itu, kerap menoleh kepada Adriansyah. Dia masih ingat, begitulah juga keadaannya sewaktu mula-mula bertugas empat tahun lalu. Jip dipacu ke laluan puting beliung. Laluan inilah yang kerap dilalui Linda setiap kali penghujung musim bunga dan awal musim panas. Puting beliung yang bermaharaja di laluan ini, tidak pernah menggerunkan Linda.
“Seluruh warga Oklahoma akan berterima kasih kepada kita. Sekurang-kurangnya, kita berbakti kepada mereka dengan menyelamatkan nyawa mereka 20 minit lebih awal sebelum puting beliung yang lapar itu membaham mereka. Itulah keseronokan kerja kita.” Adriansyah menyahut kata-kata itu dengan senyuman.
Adriansyah dalam debaran, sebenarnya. Dia menunggu saat bertentang mata dengan puting beliung itu. Puting beliung terbentuk melalui perlanggaran dari arah bertentangan. Udara sejuk yang kering dari Barat bertemu dengan udara lembab dari Teluk Mexico. Entah bagaimanalah saiz puting beliung pertama yang akan berkenalan dengannya nanti.
“Sebelum puting beliung datang, ada 9mukadimahnya. Ribut hujan batu akan hadir dulu. Saiznya tak diketahui. Yang penting, hujan batu yang besar tidak kena pada antena atas jip. Apabila titisan air hujan biasa dinaikkan ke atas oleh angin sejuk yang kuat, ia boleh menjadi bebola ais sebesar buah limau sebelum jatuh ke bumi. Kau bayangkan jika bebola ais sebesar itu, jatuh tepat ke ubun-ubun kepala kita pada kelajuan 90 batu sejam. Tentu seronok, kan ?” Linda ketawa diikuti Adriansyah.
“Jadi, kenapa kau memilih kerjaya ini ?” Adriansyah mempersoal.
Linda ketawa lagi. Kemudian, berfikir sejenak.
“Puting beliung adalah musuh tradisi aku. Sejak kecil aku menggeruninya hinggalah kemudian bertukar menjadi dendam. Pada Jun 1995, rumah aku musnah tanpa belas kasihan, biar pun aku puas berdoa. Sejak itu aku bertekad memburunya. Aku tak akan memaafkannya. Lalu, kau pun terjunlah ke dalam bidang kerjaya yang bodoh ini. Walaubagaimana pun, aku taklah sebodoh kau.” Linda senyum sinis.
“Apa maksud kau, sebodoh aku ?” Adriansyah tidak mengerti.
“Kau dari sebuah negara yang cukup selesa. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Malah, kau mewarisi Istana 14 Balai yang diidamkan banyak pihak. Tapi kau… bodoh. Ramai penduduk di sini yang takut dengan pekerjaan ini. Malah, ada yang sanggup berpindah ke tempat yang lebih aman. Kau pula, sengaja mencari musibah.” Linda memperlekeh sambil terus memandu laju.
“Kau tak faham. Semua orang tak faham. Aku mahukan kepuasan hidup.” Adriansyah menyatakan pendapatnya.
Linda ketawa kuat dan berdekah-dekah.
“Bayangkan, waktu puting beliung datang mengganas, semua orang lari ke bilik bawah tanah mereka yang berpintu keluli. Kau pula, terhegeh-hegeh menyerah diri. Apa yang kau gelarkan itu ? Adventure ? Tekanan angin yang kuat terasa hingga gegendang telinga hampir nak pecah. Aku kadangkala menangis. Dan kau mencari semua itu ?” Linda mempersoalkan keputusan Adriansyah pula.
“Kau takkan faham.” Adriansyah putus asa.
Kehangatan perbualan mereka diganggu dengan panggilan dari pengkalan National Oceanic And Atmospheric Administration. Linda kelam kabut memecut jip. Adriansyah memikirkan perbualan mereka tadi.
Setiba di Bandar Kansas, terdengar bunyi yang menakutkan. Ia adalah raungan siren amaran puting beliung. Semua penduduk telah menyelamatkan diri masing-masing. Linda tiba-tiba berhenti di tengah jalan, lalu menarik brek tangan. Dia berpaling kepada Adriansyah. Wajahnya serius. Senyumannya yang begitu murah, hilang entah ke mana.
“Apa kau buat ni Linda ? Puting beliung itu sedang menuju ke arah kita !” Adriansyah cemas.
“Kau inginkan kepuasan, bukan ? Keseronokan ? So, enjoy yourself.” Linda ketawa melihat Adriansyah yang cemas.
“Kau dah gila, Linda….” Adriansyah semakin kelam-kabut melihat Linda yang cukup tenang.

5) Untuk anak dara saya Suhana yang ramah dan ringan tulang.
Cerpen ‘Cinta di Hati Berlian’
“Umi kamu tak sanggup menyatakannya. Dia tidak sampai hati. Biarlah makcik yang beritahu Su. Sebenarnya, makcik juga tidak sampai hati. Tapi, makcik perlu juga memberitahu Su. Semuanya demi masa depan Su. Su sekarang sepatutnya sudah bersekolah. Sepatutnya Su sudah masuk darjah satu. Jadi, Su mesti bersekolah.” Makcik Lisa memberitahu keadaan sebenar.
“Saya tidak kisah. Saya memang mahu bersekolah. Saya mahu masuk ke darjah satu. Saya suka belajar.” Saya menyatakan pendirian saya kepada makcik Lisa.
“Bukan itu saja. Su kena pindah. Su tidak boleh tinggal di sini lagi. Hati Berlian untuk mereka yang berumur 6 tahun dan ke bawah saja. Su kena pindah ke rumah anak yatim yang satu lagi.” Makin risau saya mendengar kata-kata makcik Lisa.
“Kenapa pula saya mesti pindah ? Saya tinggal sini sebab umi kerja di sini. Saya bukan penghuni tetap Hati Berlian. Saya anak umi. Saya ikut umi bekerja di sini. Sebab itu saya di sini.” Saya menerangkan kepada makcik Lisa.
Makcik Lisa diam seketika. Dia membetulkan rambut saya. Air matanya bergenang. Saya tambah keliru.
“Su… Su memang penghuni Hati Berlian. Su bukan anak umi. Umi tak pernah berkahwin. Su cuma anak angkat umi. Su anak yatim. Ibu dan bapa Su meninggal dalam satu kemalangan jalanraya sewaktu Su masih berusia dua bulan. Su penghuni paling muda di sini waktu itu.” Makcik Lisa tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menangis teresak-esak.
Saya tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh makcik Lisa itu. Saya mahu mendengar penjelasan dari mulut umi sendiri. Saya berlari keliling Hati Berlian mencari umi. Saya melaung nama umi sekuat hati. Saya mencari di segenap ruang dan sudut. Di mana umi bersembunyi ? Akhirnya, saya letih dan terduduk. Saya meraung sekuat hati saya.
Seharian saya tidak melihat umi dan Cinta. Daripada siang saya menunggu, hingga ke malam. Makcik Lisa tidur di Hati Berlian malam itu. Makcik Lisa tidur bersama saya. Dia juga tadinya membantu saya mengemaskan semua barang-barang saya. Makcik Lisa juga memeluk saya sambil tidur. Saya tidak juga kesejukan malam itu.
Pagi esoknya, umi dan Cinta masih tidak pulang. Pakcik Kadok sudah menunggu dengan keretanya. Setelah bersedia, saya masih tidak naik kereta. Saya masih menunggu umi dan Cinta. Tapi menurut makcik Lisa, umi tidak akan muncul selagi saya tidak pergi. Umi tidak sanggup melihat saya pergi. Jadi, rupa-rupanya malam itulah kali terakhir saya bertemu umi. Malam itulah kali terakhir umi mengucup saya. Malam itulah kali terakhir saya tidur dalam kehangatan kasih sayang umi. Saya faham. Saya bersalaman dengan semua penghuni Hati Berlian. Sheila dan Syafiq menangis teresak-esak. Makcik Lisa cuba menahan tangisannya. Bibirnya terketar-ketar. Matanya merah berair.
“Su, belajar rajin-rajin. Biar Su jadi anak umi yang mampu membanggakannya.” Makcik Lisa mencium dan memeluk saya erat-erat.
Saya cuma mengangguk-angguk dan tersenyum. Tidak setitispun air mata saya jatuh. Saya cukup tenang pagi itu. Pakcik Kadok membantu saya menyimpan beg pakaian saya. Apabila kereta mula berjalan, makcik Lisa berlari ke dalam rumah Hati Berlian. Dia tidak sanggup melihat pemergian saya. Anak-anak Hati Berlian lainnya, berpelukan sesama mereka. Kereta Pak Kadok keluar dari kawasan Hati Berlian. Di luar kawasan rumah itu, terpampang papan tanda ‘Rumah Anak-Anak Yatim Hati Berlian’ yang kali pertama saya lihat. Saya juga mendapat tahu daripada pakcik Kadok, sebab rumah itu dinamakan dengan nama ‘Hati Berlian’. Sebenarnya, itu adalah nama pengasas rumah itu iaitu Hatimah dan Haji Berlian. Keduanya telah meninggal dunia. Merekalah ibu dan bapa umi.

6) Untuk anak saya, Jun yang cukup cemerlang dan baik budi.
Cerpen ‘Misteri Banglo Yamamoto’

Sepanjang perjalanan, Ziman masih kelihatan mengantuk. Dia berjalan lambat-lambat. Egie pula, hanya memeluk lengan Jun. Ternyata dia sangat takut melalui jalan itu. Dengan bantuan sinar bulan, Jun dapat melihat jarum jamnya. Sudah jam 11:35 malam. Di tangan kanannya, tergenggam erat kameranya. Apabila melalui jalan berhampiran hadapan banglo Yamamoto, Jun memperlahankan langkah. Egie menariknya agar terus berjalan pantas. Hanya Jun yang memerhati banglo tersebut.
Terdapat banyak tingkap pada banglo tersebut. Jun meneka-neka, tingkap yang dimaksudkan oleh Azarin. Mungkinkah tingkap terakhir, ataukah yang pertama ? Atau mungkin juga, tingkap yang di tengah-tengah. Jun sesekali berhenti dan Egie terus menariknya. Barulah Jun perasan yang banglo Yamamoto kelihatan sangat indah di waktu malam. Bulan purnama seakan-akan berada betul-betul di atas bumbungnya. Cahaya purnama yang melatari banglo Yamamoto memberikan kesan keindahan yang tersendiri. Namun, bagi sesetengah orang, pemandangan tersebut sebenarnya amat menakutkan.
Mereka terus berjalan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tangisan yang agak kuat. Begitu panjang dan meleret-leret. Ianya merupakan suara perempuan yang sedang merintih kesedihan. Semua terdiam dan berhenti berjalan. Mereka menoleh ke arah tingkap paling hujung di tingkat atas banglo Yamamoto. Tiada sebarang objek kelihatan. Tidak lama, muncul susuk tubuh seseorang di hadapan tingkap. Lengkap berpakaian serba putih dan berselendang. Mereka menjerit dan berlari sekuat hati.
Setelah beberapa meter berlari, Azarin meminta semua berhenti kerana Jun tidak bersama mereka. Azarin menoleh ke belakang. Kelihatan Jun masih berdiri memerhati objek di tingkap banglo Yamamoto. Azarin segera berpatah balik, menarik tangan Jun dan berlari. Mereka semua kelam-kabut berlari pulang ke rumah nenek.
Sesampai di rumah nenek, mereka masih menjerit-jerit. Egie sudah mula menangis. Cuma Jun yang kelihatan bersahaja. Datuk menyuruh mereka segera mandi. Menurut datuk, jika tidak mereka akan keteguran. Jun mulanya enggan kerana terlalu sejuk. Namun, setelah didesak, Jun mandi sedikit. Cuma tiga gayung. Mereka mengeletar kesejukan, ditambah dengan rasa takut kerana melihat sendiri hantu Melati di banglo Yamamoto. Setelah semua selesai mandi, mereka segera tidur.
Keesokan paginya, Jun segera melihat kembali gambar-gambar yang dirakamnya semalam. Bukan gambar perkelahan mereka di air terjun, tetapi gambar hantu Melati yang sempat dirakamnya sewaktu sepupu-sepupunya melarikan diri. Egie terjerit melihat gambar yang dirakamkan. Azarin dan Ziman menyertai Jun membelek gambar tersebut. Jun membesarkan objek dengan menekan butang zoom in.

No comments: