Wednesday, June 24, 2009

MARI MAIN KEJAR-KEJAR DENGAN CITA-CITA

CITA-CITA, APAKAH SEKADAR ‘C.I.T.A.-.C.I.T.A’ ?

Saya pernah terfikir, siapakah yang mencipta perkataan CITA-CITA ? Perkataan apa yang dicipta dulu, CINTA atau CITA-CITA ? Apakah kedua-dua perkataan itu saling diilhamkan antara satu dengan lain ?
Setiap daripada kita mempunyai cita-cita. Paling tidak pun, hampir setiap daripada kita. Cita-cita tersemai hasil daripada beberapa faktor. Antaranya, persekitaran. Kalau dah memang tinggal dekat dengan kem askar, pegi sekolah naik trak askar, mungkin bercita-cita untuk menjadi askar.

Faktor mak-bapak pun boleh jadi juga. Mak-bapak doktor, maka anak pun mula simpan niat jadi doktor. Sebabnya, memang dah dari kecil kita akan nampak bapak kita ni sebagai seorang hero. Mak kita pulak, sentiasa betul. Kalau tak pun kerana pekerjaan mak bapak, mungkin juga sebab mak-bapak yang cita-citanya tak kesampaian. Maka, anak digalakkan dari kecil untuk kononnya menyambung cita-cita mereka.
Lain halnya dengan saya. Sejak kecil saya melihat plan yang dikerjakan oleh ibu dan pakno (bapa tiri saya) yang dibawa balik ke rumah. Kadang-kadang, saya diminta membantu ibu mengerjakan kertas plannya. Saya dibayar entah berapa kupang untuk mewarnakan jalan dengan warna merah, longkang dengan warna biru, etcetra… Saya teramat benci membuat kerja itu biarpun tak pernah merungut. Saya syak, ibu mahu saya bekerja dalam bidang itu. Seperti ibu, pakno dan ayah.

Sangkaan saya ternyata tidak meleset. Ibu beriya-iya memanta saya mengisi borang sekolah vokasional lepas tingkatan 3. Dia mahu saya mengambil bidang lukisan kejuruteraan. Padahal, saya isi bidang pertanian. Hik-hik-hik… dan tak dapatlah pulak.
Lepas SPM, saya disuruh mengambil kursus autocad. Saya pergi. Dengan penuh semangat waja dan iltizam, saya pergi. Tapi, sehari saja iaitu kelas pengenalan autocad. Itu pun, saya nak termuntah dah dalam kelas.
ITU BUKAN CITA-CITA SAYA !!!!!!!!!!!! SO ? APA ?

Sejak kecil, saya ada cita-cita yang pelik. Kata oranglah. Saya pulak, kata cita-cita kawan saya yang pelik. Ada kawan nak jadi saintis, pakar kaji bintang, pakar kaji purba, dan saya kata… PELIKNYA…. Tapi, mereka kata saya lebih pelik sebab saya nak jadi pengarah filem.

Ingat lagi, cikgu dalam kelas pernah cakap ‘BANYAK DUIT AWAK, NAK JADI PENGARAH FILEM…’ dan saya boleh cakap, yang keluarkan duit tu, penerbit. Bukan pengarah. Sentap cikgu tu bila saya lebih tahu sedangkan waktu tu saya baru darjah 5.
Saya pun tak tahu mana saya dapat pendedahan segala bagai tu. Saya bukan dari keluarga orang filem. Yang saya tahu, detiknya bermula bila Pakno bawa saya dan Een (adik saya) menonton Superman 4. Waktu tu saya dalam darjah 3@4 kot…

Waktu remaja, saya nak sangat jadi AZIZ M. OSMAN. Saya berangan sesangat bila tengok filem XX-Ray, XX-Ray 2, Scoop, Femina, Fantasia… Tapi saya langsung tak minat filem-filem Senario dia. Dan saya minat balik filem dia yang berjudul Baginda… Hoi, bukan sebab dia ambik saya berlakon, ya. Tapi, saya suka memang filem tu sampai saya jadi guru pun salam satu sebabnya adalah filem tu la.

Bila saya menonton Selubung, saya trus jatuh cinta dengan Shuhaimi Baba. Terus jadi fanatik gila. Ringgit Kasorga pun buat saya tambah menyintai Shuhaimi Baba. Tapi, serious saya tak minat filem-filem pontianak dia.

Bila saya masuk Sinaran Pasport Kegemilangan dengan bebudak Slumber masa tahun 1995, saya dah rasa yang saya mengikut trek yang betul untuk menjadi pengarah filem. Tambah lagi bila dapat berlakon filem Baginda masa saya form 5. Diperkukuhkan lagi bila lepas SPM, saya melangkahkan kaki ke akademi seni. Dan, lepas tamat, saya plan nak belajar filem di Universiti Gajah Mada, Indonesia. Tiba-tiba, time tu pulak sebok2 reformasi kat Indonesia. Maka, kami (graduan akademi seni) dinasihati supaya menyambung pelajaran di Malaysia saja.

Entahlah. Apakah saya silap langkah bila ke UPSI…? Ya, saya rasa saya tersilap langkah. Setelah kematian arwah Opah yang ingin benar melihat saya menjadi guru, dan teman-teman yang pernah menyokong saya tetapi pergi buat selamanya (Arwah Anas, Arwah Nik…), semangat saya seakan padam. Saya ikut saja alur nasib saya di samping berusaha membakar semangat menjadi guru.

Sewaktu di SMK Tawau, saya masih menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pengarah filem. Sewaktu saya diumumkan sebagai pemenang utama (saya dapat tempat ke-3 dan tiada pemenang tempat pertama dan ke-2. 5 yang lain, pemenang saguhati) Pertandingan Penulisan Skrip Drama Televisyen anjuran Finas (2005), ada wakil dari Keris Motion Picture (sebuah konsortium gabungan beberapa penierbit filem) menghubungi saya dan bertanya samada saya berminat untuk ditaja oleh mereka, belajar di sekolah filem. Saya sangat berdebar. Teman baik saya ketika itu, Dzulfikar, mendorong saya untuk pergi. Katanya, saya akan menyesal jika tak pergi. Tapi, saya buat sekali lagi kesilapan bodoh kerana menolak juga tawaran itu.

Saya menjalani kehidupan sebagai guru seperti biasa. Pelajar-pelajar saya adalah penawar paling mujarab untuk saya melupakan seketika luka meninggalkan cita-cita. Tapi, bila saya bersendirian, hantu cita-cita itu kembali memomoki saya. Kembali saya resah dan gelisah. Kembali saya terfikir, saya mahu menjadi pengarah filem. Tapi bagaimana ? Saya berada jauh di sini. Di bumi Tawau yang damai.

Tahun lalu, seorang pelajar saya yang saya lihat sangat berpotensi bernama Frankie, terbang melanjutkan pelajaran ke ASWARA hasil nasihat saya. Dan seorang lagi, berpaling tadah. Namanya Alif. Saya yakin dia amat berpotensi. Malangnya, dia berhenti form 6 untuk ke politeknik dalam bidang Kejuruteraan Perkapalan. Apabila dia pulang sesekali cuti semester, dia sentiasa meluahkan kekesalan dan resahnya kerana jauh terpesong dari cita-cita. Ini membuatkan hantu cita-cita saya tambah memomoki malah mentertawakan saya. Saya jadi makin resah dan gelisah.

Lalu, kini saya ditawarkan pangkat Pegawai Pengurusan Hal Ehwal Pelajar di IPGM Kampus Tawau. Ramai mengucapkan tahniah dan kata mereka, saya memang berpotensi. Saya pejamkan mata dan terima saja tawaran ini. Kini saya di kerusi ini. Bergelar pegawai. Kata mereka, saya sedang melalui sebuah jalan yang akan menemukan saya sebuah pintu untuk menjadi seseorang yang cukup berpangkat dalam bidang pendidikan. Ada aku kisah ????????

Kebelakangan ini, saya resah lagi. Sampaikan tunang saya sendiri saya tak layan sangat. Kesian dia. Saya terus diburu cita-cita saya. Ya, saya sedang melalui jalan ini. Jalan yang kata mereka amat bertuah dan baik untuk saya. Sebenarnya, pintu yang mereka katakan itu, yang akan saya temui itu, adalah pintu yang bakal membawa saya lebih jauh meninggalkan cita-cita saya. Saya harus berpatah balik.

Kini, saya sedang menaip resume, untuk dihantar ke mana-mana institusi atau syarikat berkenaan di Kuala Lumpur. Saya mahu kembali. Saya akan berusaha sejerih mungkin untuk mengejar cita-cita saya kembali. Jika anda membaca blog ini, tolong doakan saya….
Lihat resume saya, bukankah saya sepatutnya di sana?????????????


RESUME
Nama : Moh Azam bin Rezali
Umur : 30 tahun
Tarikh Lahir : 08 Oktober 1979
Tempat Lahir : Kuala Lumpur
Pendidikan : - Sijil Pelajaran Malaysia
- Diploma Seni Penulisan Kreatif, Institut Teknologi Seni Malaysia
- Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pendidikan Kesusasteraan Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pencapaian / Penglibatan (Bidang Penulisan Kreatif)
1) Tempat Kedua Sayembara Mengarang Puisi Sempena 50 Tahun Merdeka Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (2008).
2) Hadiah Utama Pertandingan Penulisan Skrip Drama Televisyen Anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (2005).
3) Tempat Ketiga Peraduan Formula Malaysia Kategori Mengarang Cerpen (IPT) Anjuran Kerajaan Malaysia (2000).
4) Tempat Ketiga Pertandingan Menulis Cerpen Kanak-Kanak Bertemakan Alam Sekitar Anjuran Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (2000).
5) Hadiah Sastera Siswa Kategori Cerpen (Dewan Siswa) Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (2000).
6) Hadiah Penghargaan Pertandingan Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-IX Kategori Drama Pentas Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yayasan Pelajaran Islam Malaysia (2000).
7) Hadiah Penghargaan Cerpen Kanak-Kanak Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Mobil Oil Malaysia (1998).
8) Dilantik Sebagai Panel Penulis Penerbitan Landasan Pelangi (2008).
9) 2 Karya Dibicarakan dalam Diskusi Karya Eceran MPR – DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Prof. Madya Dr. Othman Puteh (Cerpen) dan Editor Berita Harian A. Rahim Abdullah (Esei) pada 11 Februari 2000.
10) Mantan Peserta Minggu Penulis Remaja Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1999).

Pencapaian / Penglibatan (Bidang Teater)
1) Pengarah dan pelakon teater ‘Topeng’ dipentaskan di Tanjung Malim, Bota Kanan dan Ipoh (Perak), Tawau (Sabah), dan Melaka.
2) Pengarah, penulis skrip dan pelakon teater ‘Hari Raya Selamat’ dipentaskan di Melaka.
3) Pengarah, penulis skrip dan pelakon teater ‘Barbeku’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak) dan Kota Kinabalu (Sabah).
4) Pengarah dan penulis skrip teater ‘Pentas Hayati’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
5) Pelakon dan penulis skrip teater ‘Dalam Balai Cinta’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
6) Pelakon dan penulis skrip drama tari ‘Seni Junjungan’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
7) Pelakon teater ‘Orang Licin’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
8) Pelakon teater ‘Mahkamah’ dipentaskan di Melaka.
9) Pelakon bangsawan ‘Dendam Sri Kandi’ dipentaskan di Taman Budaya Perlis.
10) Penulis skrip teater ‘Redah Daerah Berdarah’ dipentaskan di Kota Kinabalu (Sabah).

Pencapaian / Penglibatan (Bidang Kejurulatihan)
1) Jurulatih Pasukan Pantun Negeri Sabah ke Peringkat Kebangsaan (2008).
2) Jurulatih Peserta Pidato LHDN Negeri Sabah ke Peringkat Kebangsaan (2008).
3) Jurulatih Kumpulan Puisi Lagu Daerah Tawau ke Peringkat Negeri (2007 dan 2009).
4) Jurulatih Dikir Barat Daerah Tawau ke Peringkat Negeri (2007).
5) Jurulatih Deklamasi Puisi Daerah Tawau ke Peringkat Negeri (2008).

Penglibatan Lain.
1) Berlakon dalam filem ‘Baginda’ terbitan Grand Brilliant, 1996.
2) Finalis Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3, 1995.
3) Finalis Sinaran Pertiwi terbitan TV3, 2002.
4) Pengacara Majlis Penyampaian Cek dan Makan Malam program ‘Bersamamu TV3’ di Tawau, 2007.
5) Mewakili Negeri Sabah dalam Pertandingan Nyanyian PSKPP Peringkat Kebangsaan, 2004.
6) Tempat Kedua dan Persembahan Terbaik dalam Pertandingan Nyanyian Gema Merdeka Peringkat Daerah Tawau Anjuran RTM Tawau, 2008.
7) Tempat Ketiga Pertandingan Dwi-Pilihan Antara Jabatan Peringkat Daerah Tawau Anjuran RTM Tawau, 2008

1 comment:

Unknown said...

as salam zam...aku mohon share gambar kau untuk blog aku k... leh promote gak blog kau nih.