Monday, June 8, 2009

PROSES KREATIF MOH AZAM REZALI

Waktu saya masih anak-anak seawal 6 tahun, saya sudah pandai membaca. Saya tidak menduduki bangku sekolah tadika. Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang sibuk bekerja menyara saya dan adik, saya ketika itu cuma tinggal bersama arwah opah yang lumpuh manakala adik saya tinggal bersama jiran. Saya tidak mempunyai teman kerana dalam usia semuda itu, ibu kurang percaya saya berkawan dengan keadaan kami yang ‘terlalu berdikari’.

Memandangkan saya seorang yang sangat penakut dan suka berimaginasikan hantu, ibu mendidik saya dengan caranya yang tersendiri. Ibu meminjamkan saya dengan koleksi buku-buku kawannya. Koleksi tersebut adalah koleksi ‘Bercakap dengan Jin’ karya Tamar Jalis. Saya kira, didikan secara tidak langsung ibu tersebut telah berjaya mengikis sifat penakut saya selain menajamkan imaginasi dan menambahkan kemahiran membaca dan menulis saya.

Sewaktu saya berada di darjah 1, ibu membelikan novel kanak-kanak terjemahan iaitu koleksi ‘7 Penyiasat’, ‘5 Sekawan’ dan ‘Hardy Boys’. Novel sebegitu sememangnya popular dalam kalangan teman-teman di SRK Jalan Air Panas, Setapak ketika itu.

Saya begitu teruja dengan cerita-cerita penyiasatan sebegitu, hinggalah dalam tahun yang sama, ibu membelikan saya novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ karya Azizi Hj Abdullah sewaktu Hari Kantin SRK Jalan Air Panas. Bagi seorang kanak-kanak 7 tahun, tentu amat sukar bagi saya menikmati karya sebegitu. Mujur juga tidak lama selepas itu, drama televisyen ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ yang mengangkat naskhah novel tersebut ke kaca televisyen, banyak membantu saya.

Apabila saya sudah mempunyai ramai teman, sewaktu berada di darjah 4 atau 5, saya telah menulis skrip dan kami melakonkan skrip tersebut sewaktu bermain-main. Saya masih ingat, skrip pertama saya adalah berdasarkan sketsa yang saya tukil dari filem P. Ramlee ‘Masam-Masam Manis’. Kami bermain, berlakon dan tertawa bersama.

Sewaktu saya di bangku darjah 6, saya menghasilkan cerpen pertama yang berupa sebuah karangan. Segalanya dicetuskan oleh guru Bahasa Malaysia saya iaitu Cikgu Roselaili Ahmad. Cikgu Roselaili biasanya akan membacakan beberapa buah karangan setiap kali buku latihan siap disemak. Antara latihan karangan yang dibacanya adalah karangan yang cemerlang, dan karangan yang lemah. Selalunya karangan saya tidak dibaca kerana saya ‘asal buat’.

Namun, pada suatu hari, latihan karangan berdasarkan gambar-gambar ilustrasi dibaca oleh Cikgu Roselaili dan karangan yang paling lemah adalah karangan saya. Saya malu besar waktu itu kerana ditertawakan oleh teman-teman sekelas. Oleh itu, saya balas dendam dengan menghasilkan karangan yang terbaik sewaktu latihan karangan berikutnya.

Cikgu Roselaili meminta kami menulis karangan tentang peristiwa yang tidak dapat kami lupakan. Waktu itulah saya menulis cerpen pertama saya tentang hubungan kasih sayang antara cucu dan nenek. Tajuknya, ‘Nenda’. Ada pengaruh ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ dan sebahagian besar adalah berkaitan diri saya. Cikgu Roselaili membacakan karangan itu dan karangan-karangan saya selepas itu di dalam kelas. Ianya cukup merangsang saya untuk menghasilkan karangan yang baik.

Sewaktu di sekolah menengah, saya menulis puisi dan cereka untuk dibaca oleh teman-teman rapat. Beberapa kali juga saya sempat mementaskan sketsa dan drama sebabak di sekolah. Teman-teman di sekolah menengah cukup memberi galakan. Namun, saya tidak pernah yakin untuk menghantar karya saya ke mana-mana penerbitan meskipun ke majalah sekolah saya.

Hinggalah apabila saya melangkah melanjutkan pelajaran ke Akademi Seni, Allahyarham Prof. Madya Dr. Othman Puteh, pensyarah saya ketika itu, menghantar karya saya iaitu tugasan Penulisan Kreatif ke Dewan Siswa tanpa pengetahuan saya. Cerpen pertama saya yang tersiar itu adalah ‘Puteri Seri Jingga’ yang kemudiannya diterbitkan dalam antologi bersama ‘Klik-Klik’.

Arwah juga turut menghantar puisi saya berjudul ‘Kehidupan Ini’ ke Berita Harian dan sering menggalakkan saya menyertai beberapa pertandingan. Tekanan yang hebat di ASM saya kira sebagai katalis untuk saya menjadi penulis cerpen yang agak prolifik.

Saya memenangi beberapa pertandingan anjuran DBP sewaktu berada di akademi dan seterusnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Di UPSI, kesempitan kewangan memaksa saya menjadi ‘peniaga cerpen’ untuk teman-teman sekuliah dan senior sewaktu subjek Penulisan Cerpen. Namun, saya harus mengaku, saya masih gagal menghasilkan puisi dengan baik. Dalam diam saya mengagumi puisi tulisan seorang penulis 'bawah tanah', Suhaini Yusof.

Saya juga agak aktif menulis drama dan mementaskannya di UPSI. Malah, saya turut cuba-cuba menghasilkan drama televisyen untuk pertandingan. Alhamdulillah, saya bernasib baik. Namun, saya tahu skrip saya tidak mungkin diterbitkan sebagai drama televisyen. Saya pernah mencuba nasib dengan menghantar skrip yang memenangi pertandingan ke sebuah stesyen televisyen. Ternyata, naskhah saya ditolak bulat-bulat.

Selepas tamat pengajian, saya berkhidmat di Tawau. Saya gelarkan Tawau sebagai ‘Daerah Damai’. Tawau memang cukup damai bagi saya. Laut, pulau, sungai, hutan tua, dan gunung melahirkan satu kecintaan yang tidak terbatas.

Masyarakatnya yang tidak mengejar keduniaan, malah cukup tinggi nilai budi, menjadikan saya cukup selesa dan kagum untuk menjadi salah seorang dari mereka. Jati diri bangsa Bugis yang masih mempertahankan bahasa, adat, budaya dan tulisan mereka yang tersendiri (kelihatan seperti tulisan sanskrit dan jawi), serta ketinggian nilai kesenian masyarakat Bajau menjadikan saya hanyut dan begitu teruja.

Tawau, sebuah daerah tanpa tekanan. Tidak lebih dan tidak kurang (semua ada di Tawau, tetapi tidak banyak pilihan. Cth: bank, panggung wayang dan sebagainya). Saya jadi kurang prolifik tanpa tekanan. Namun, apa yang saya terkesan, saya menjadi seorang yang lebih akrab kepada puisi sejak berada di Tawau.

Kisah anak jalanan, masyarakat tanpa status kewarganegaraan yang sah, dan keharmonian masyarakat Tawau itu sendiri yang saya gauli dan fahami, terakam dalam puisi-puisi saya.

*seseorang meminta saya menulis tentang proses kreativiti saya dan ini yang saya hantar. boleh kan?

No comments: