Monday, March 10, 2014

Moh Maher Anas bin Moh Azam


Kembali Berpijak di Bumi Nyata.

Sudah terlalu lama saya meninggalkan blog ini. Sebenarnya, kehidupan saya di Kuala Lumpur bukanlah seindah yang dibayangkan. Saya cuma mampu merancang, Yang Di Atas jua menentukan. Saya kembali ke tempat kelahiran saya, ibu kota Kuala Lumpur kerana status saya yang bergelar suami. Berkat perkahwinan itu, lahirlah putera hati yang saya namakan Moh Maher Anas. Anas, putih kulitnya. Ibarat kain putih yang tidak tercela.
Anas lahir pada 03 September 2010. Dia anak yang bijak. Antara perkataan awal yang mampu disebutnya sejak mula pandai menyebut adalah Allah. Boleh lihat di youtube. Search : Moh Maher Anas. Telah saya muat naik di situ.
Namun, apakan daya. Jodoh saya bersama umi Anas tidak panjang. Pada Syawal, bulan mulia 2013, telah berlakunya perkara paling dibenci oleh Allah. Iaitu perceraian antara saya dan umi Anas.
Jodoh kami tak panjang. Namun, kami kekal bersahabat demi anak kami. Dan benarlah, kita manusia hanya merancang. Allah jua yang menentukan...

Thursday, October 20, 2011

Jom baca puisi meh...

Puisi ini sebenarnya dah lama saya karang. Sejak di UPSI pada tahun 2002 kalau tidak silap. Dan kak Norana Ottoh tolong berikan judul 'Lalu Apa' sebab saya betul2 x tau nak letak tajuk apa. Tapi, waktu di Tawau, saya poskan puisi ini bersama 2 puisi yang lain ke DBP untuk Sayembara Puisi 50 Tahun Merdeka. Dah diantologikan pun, dalam antologi 'Bunga Kekasih'. Alhamdulillah, saya dapat tempat ke-2. Tapi, puisi 'Lalu Apa' itu saya ubah sedikit agar lebih patriotik dan tukar tajuknya menjadi - 7 Paku Dalam Genggaman. Harap sudi baca, ya...




TUJUH PAKU DALAM GENGGAMAN

Aku berdiri di depanmu dengan pakaian baru dan tercantik milikku
sambil kuhulurkan genggaman tangan kanan
yang terkandung bilah-bilah paku berjumlah tujuh.

“Lalu apa ?” kau mempersoal
“lalu apa ?!” kau makin meninggi suara
“lalu apa ?!!” kau mula tidak selesa
lantas menyalakan warna muka dan muncungmu makin mencuka.

Paku-paku di tangan kanan kualih ke genggaman kiri
dan lagaan tembaga itu melontarkan bunyi indah
bak lagu ‘Mayar Sewu’ alunan gamelan Terengganu.

Kuhunuskan paku pertama dan kunyatakan padamu
ia bakal memaku tiang seri sebagai pasak bumi
dan kata orang tua-tua, tiang itu nanti teguhnya tak terjangkau
tak mampu ditumbang badai, tak patah diherdik taufan.

Paku kedua kuhunus pula, nan kubenamkan nanti untuk melekapkan dinding
pada tiang seri dan dapatlah kumembentengi manusia-manusia yang mohon dilindungi,
dari petualang-petualang yang gemar menyerang di luar jangkauan.

Dan inilah paku ketiga, setelah kunaikkan kubah
akan kupakukan pula nun di atas sana menggapai awan dara
agar nanti meredupkan dari mara bencana
dan hukum alam yang dibenarkan Tuhan.

Kau ingin tahu pula dengan wajah ego dan bengismu
fungsi paku keempat
dan aku dengan wajah luhur melepaskan paku sebatang dari genggaman kananku tadi
bagai sehelai burung merpati ia jatuh ke bumi hingga sempat diiringi tajam pandangan
nah, di panahan matamu itulah nanti akan kuangkatkan lantai jati
kira-kira sedepa dari bumi dan di dada itulah kutusukkan paku ini.

Kini giliran paku kelima
jika aku tidak salah, mindamu telahpun meneka
bahawa lantai yang tinggi sedepa memerlukan sebatang pohon kukuh untuk kutebuk
menjadi tangga dan kupakukan di depan pintunya.

Perhatikan betul-betul apa akan kulakukan pula pada paku keenam ini
jangan terkejut kerana terbenamnya nanti menembusi tapak kaki
kerana aku perlu tegak, teguh berdiri di sini, di rumah ini
bagai pahlawan terbilang yang mendada dan merenung tajam
pada setiap tetamu yang datang.
Suasana tiba-tiba sepi
yang berbunyi, derap jantungku
dan yang berdengung, lafaz nafasku
sedang kau cuma mematung, merenung
mata bengismu bertukar kuyu
wajah taufanmu menjadi sepoi-sepoi
dan dengan cuma sedikit suara yang kini halus dan lembut
kau bertanya; “paku ketujuh untuk apa ?”

Kuhampirimu, dan sudah berani menentang matamu
kau kutawaf beberapa kali, dan menukar arah mengikut putaran jam
lalu kuberhenti, tepat dihadapanmu
kujabat tangan putihmu dengan telapak kasarku
dan kuserahkan paku terakhir kapadamu
buat kenang-kenangan.

Terima kasih, di atas kehadiranmu
menjajahku, dan masa pulangmu
kuiringkan paku ini, lambang semangatku
dan ketahuilah
aku tidak seperkasa ini menggenggam paku-paku
jika kau tidak hadir mendewasakanku.

Friday, October 14, 2011

cerpen ini saya ciptakan untuk anak angkat saya - Suhana Amil Basah.

CINTA DI HATI BERLIAN.
Oleh : Moh Azam Rezali.

Nama saya Suhana. Umi memanggil saya Ana. Ada juga di kalangan mereka di sini memanggil saya Su. Saya tidak kisah. Sesiapa boleh memanggil saya dengan apa-apa nama sekalipun. Su, ataupun Ana. Saya seolah-olah lahir di sini. Sebahagian besar hari saya, di sini. Ini kerana umi bekerja di sini sejak sekian lama. Di sini. Di Hati Berlian. Di Rumah Anak-Anak Yatim Hati Berlian. Malah, saya sendiri seperti telah menjadi salah seorang warga Hati Berlian ini.
Seingat saya, dalam hidup ini hanya ada saya dan umi. Dan anak-anak yatim di Hati Berlian ini. Dan makcik Lisa, dan pakcik Kadok. Hanya itu. Ayah, entah di mana. Dulu, saya sering bertanya umi. Tetapi, setiap kali saya bertanya, umi akan naik marah, kemudian menangis. Oleh itu, saya berhenti bertanya. Bukan kerana umi akan marah, tetapi kerana umi akan menangis.
Saya juga pernah bertanya umi, mengapa tempat ini dinamakan Hati Berlian ? Menurut umi, ini kerana berlian adalah batu yang paling cantik, dan paling keras. Aku sendiri tidak tahu, apakah sebab itu sebenarnya, atau umi sengaja mereka-reka cerita. Saya lebih membayangkan, ada seseorang yang bernama Berlian, membuka tempat ini. Orang yang baik hati dan penyayang. Orang yang kaya. Amat kaya. Kerana itulah kami boleh makan sedap setiap hari, dan umi, makcik Lisa serta pakcik Kadok boleh menerima gaji setiap bulan.
Makcik Lisa orangnya tegas dan garang. Saya sendiri jarang bertegur-sapa dengan makcik Lisa. Lagi pula, kerjanya selalunya di bahagian dapur. Makcik Lisa akan memasak dan membasuh pakaian anak-anak di sini. Malah, turut membasuh pakaian saya. Dana adakalanya, pakaian umi juga. Makcik Lisa tidak kisah. Walaupun dia garang, tetapi dia baik hati. Adakalanya apabila ada kejadian yang menyentuh hati, makcik Lisa senang untuk mengalirkan air mata. Namun, makcik Lisa akan segera melarikan diri, kerana dia tidak mahu orang melihatnya menangis. Makcik Lisa tinggal berhampiran dengan Hati Berlian. Oleh itu, dia akan pulang ke rumahnya lewat petang dan datang kembali pada waktu pagi.
Pakcik Kadok pula, seorang yang amat lucu dan periang. Dia sering mengacau saya dan kanak-kanak di sini. Kami senang dengannya. Kami gembira dengan cerita-ceritanya. Dengan gigi rongak dan perut buncitnya, setiap cerita akan menjadi lucu. Pakcik Kadok bekerja sebagai pemandu dan tukang kebun. Dia juga yang akan ke pasar setiap hari, membelikan bahan-bahan untuk dimasak dan segala keperluan. Pakcik Kadok mempunyai keretanya sendiri. Sebenarnya, pak Kadok bukan hanya bekerja di sini. Pak Kadok juga bekerja di sebuah lagi rumah anak-anak yatim. Rumah anak-anak yatim yang satu lagi itu, untuk kanak-kanak yang berusia lebih daripada 6 tahun, iaitu kanak-kanak yang sudah bersekolah. Manakala Hati Berlian, untuk anak-anak yatim yang berumur 6 tahun dan ke bawah. Ini bermaksud, sekiranya penghuni Hati Berlian sudah besar dan bersedia untuk disekolahkan, mereka akan dipindahkan ke rumah anak-anak yatim yang satu lagi.
Umi pula bekerja menguruskan semua anak-anak yatim di Hati Berlian. Umi yang akan melayan mereka. Bagi anak-anak yang masih kecil, umi terpaksa menyuapkan makanan setiap kali waktu makan, dan terpaksa juga menyucikan najis mereka setiap kali mereka membuang air. Malah, umi turut akan memandikan mereka 3 kali sehari. Adakalanya, makcik Lisa dan pakcik Kadok turut membantu. Tetapi, apabila tiba waktu malam, hanya umi yang akan menguruskan semua anak-anak di sini. Ini kerana, pakcik Kadok dan makcik Lisa akan pulang pada jam 6 petang. Hanya umi yang tinggal di sini. Mujurlah penghuni Hati Berlian sudah semakin kurang kerana belum ada anak yatim baru yang masuk, manakala anak yatim yang telah melepasi usia 6 tahun, akan dipindahkan ke rumah anak yatim yang satu lagi.
Peristiwa yang paling menyedihkan adalah waktu perpindahan itulah. Selalunya, mereka tidak mahu berpindah. Tetapi, terpaksa juga kerana akan masuk darjah satu. Rumah anak-anak yatim yang satu lagi lebih terjamin dari segi pendidikan. Ada guru yang sedia memberi kelas tambahan, dan tempatnya pula berhampiran dengan sekolah. Waktu perpindahan inilah dapat dilihat makcik Lisa menangis. Umi selalunya cukup tenang melepaskan mereka dibawa pakcik Kadok untuk dipindahkan.
Paling menyedihkan, adalah peristiwa tahun lepas sewaktu Syafikah hendak dipindahkan. Ini adalah kerana Syafikah mempunyai dua lagi adik di sini iaitu Sheila yang berusia 3 tahun dan Syafiq yang berusia setahun. Syafikah terpaksa berpisah dengan dua adik kesayangannya. Sebelum pergi, mereka bertiga berpeluk erat. Syafikah menangis teresak-esak sewaktu terpaksa berpisah dengan adik-adiknya. Syafiq meraung sekuat hati. Sheila pula cuma menenangkan Syafiq. Bukan setakat makcik Lisa, tetapi semua turut menitiskan air mata waktu itu termasuklah umi, pakcik Kadok, dan saya.
“Kak, jaga diri baik-baik. Jangan lupakan Sheila dan Syafiq.” Sheila berkata dalam suara yang tertahan-tahan.
“Kakak tak akan lupakan Sheila dan Syafiq. Jaga adik baik-baik, Sheila. Peluk bantal kakak kalau rindukan kakak….” Syafiqah sempat menasihati adiknya sebelum dibawa oleh pakcik Kadok.
Peristiwa itu memang sentiasa segar dalam ingatan saya. Saya tidak pernah lupakan kejadian sedih tersebut. Sejak itu, Sheila dan Syafiq telah saya anggap seperti adik saya sendiri.
“Ana, mari tidur…” Umi memanggil aku dengan nada suara yang paling perlahan sambil membuat isyarat tangan mengajak saya tidur.
Saya melihat sekeliling ruang tidur itu. Semua anak-anak Hati Berlian sudah lena. Saya segera mengekori umi. Tempat tidur kami paling hujung, tetapi masih dalam ruang tidur yang sama. Umi menyuruh saya membaca doa sebelum tidur. Umi tidak lagi perlu mengajar saya, kerana saya sudah hafal doa tersebut.
“Ana jangan nakal-nakal, ya. Dengar cakap umi, makcik Lisa dan pakcik Kadok. Anggap mereka juga seperti umi dan ayah Ana. Adik-adik di sini, anggap macam adik Ana sendiri. Ana mesti kena sayang semua orang.” Umi memberi nasihat.
Saya cuma mendengar. Nasihat ini sudah sering saya dengar, keluar dari mulut umi. Malah, saya tidak pernah melupakan setiap nasihat umi. Memang saya telah menganggap makcik Lisa seperti umi dan pakcik Kadok seperti ayah. Penghuni Hati Berlian juga, memang telah saya anggap seperti adik-adik saya. Jika dulu, seperti adik, abang dan kakak saya. Namun, setelah ramai berpindah ke rumah anak yatim yang lagi satu kerana usia telah meningkat, hanya saya yang paling tua di kalangan mereka. Jadi, sayalah kini kakak.
“Bila Ana dah sekolah nanti, belajar rajin-rajin. Belajar tinggi-tinggi. Nanti boleh jadi doktor. Boleh jaga umi bila umi dan tua. Bila umi sakit nanti, Ana boleh rawat umi.” Umi memberi nasihat seterusnya.
Saya tertidur dalam pelukan umi. Apabila saya tersedar keesokan harinya, umi sudah lama bangun. Dia menyiapkan sarapan bersama makcik Lisa. Anak-anak Hati Berlian lainnya masih belum sedar. Saya bangun perlahan-lahan dan terus ke dapur. Umi sedang membancuh susu sambil bercerita dengan makcik Lisa. Daripada perbualan mereka, saya mendapat tahu, seorang penghuni baru akan tiba. Umi memberitahu makcik Lisa, penghuni baru itu datang dari jauh. Pakcik Kadok telahpun dalam perjalanan untuk mengambil umi, untuk mendapatkan penghuni baru itu. Saya terfikir, mengapa umi harus ikut sama ? Tapi, saya tidak berani mengungkapkannya.
Pagi itu umi pergi dengan tergesa-gesa bersama pakcik Kadok, meninggalkan makcik Lisa sendirian. Makcik Lisa menguruskan segala-galanya hari itu dengan wajah bengisnya. Semua anak-anak Hati Berlian takutkan makcik Lisa. Makcik Lisa tidak penyayang dan keibuan seperti umi. Jika umi, kebiasaannya akan menyanyi sambil memandikan anak-anak Hati Berlian, tetapi tidak makcik Lisa. Dia lebih serius. Tidak langsung memanjakan anak-anak itu. Saya tahu makcik Lisa penat hari itu. Masakan tidak, hanya dia seorang yang menguruskan anak-anak itu.
Sudah lewat petang baru umi balik bersama pakcik Kadok. Umi mendukung penghuni baru itu. Masih kecil, nampaknya. Makcik Lisa kelihatan kecoh sedikit menyambut ketibaan umi. Tergesa-gesa dia mendapatkan anak itu, dan membawanya ke dalam. Mereka tidak mempedulikan saya yang daripada tadi sedangkan saya sudah berjam-jam menunggu mereka di halaman Hati Berlian ini. Saya terfikir, mengapa mereka begitu kecoh dan kelam kabut ?
Saya meninjau-ninjau bayi yabg dibawa oleh umi tadi. Makcik Lisa kelihatan begitu baik hati dan memanjakan anak itu. Namun, saya tidak dapat melihatnya dengan jelas. Tiba-tiba, umi ternampak saya. Umi melambai saya masuk. Saya masuk perlahan-lahan. Saya menghampiri anak itu. Kulitnya putih bersih, kepalanya terlentok-lentok dan matanya juling. Kata umi, dia cacat. Namanya Cinta. Seorang bayi perempuan. Saya bertanya umi, dari mana umi mengambil Cinta ? Umi enggan memberitahu.
Malam itu, seperti biasa umi menguruskan anak-anak Hati Berlian. Tetapi, saya benar-benar kena membantu. Kata saya, aku kena membantu menguruskan anak-anak Hati Berlian kerana saya sudah besar. Sudah boleh diharap. Sudah menjadi anak perawan. Umi tidak menyatakan, kerana umi perlu memberikan lebih masa dan tumpuan kepada Cinta. Setelah selesai semua anak-anak Hati Berlian tidur, umi masih melayan Cinta. Cinta masih belum tidur. Mungkin dia masih belum dapat menyesuaikan diri di tempat baru, fikir saya.
Saya menghampiri umi dan Cinta. Saya benar-benar telah mengantuk. Sangat mengantuk. Saya sengaja menguap beberapa kali di hadapan umi. Saya mahu umi tahu yang saya sedang mengantuk. Tapi, nampaknya umi masih tidak perasan. Umi masih tidak hiraukan saya yang sedang mengantuk. Mungkin saya perlu memberitahu umi sendiri.
“Umi, Ana dah mengantuk. Ana nak tidur.” Saya memberitahu umi.
“Pergilah tidur kalau nak tidur. Jangan tunggu umi.” Umi member arahan.
Saya agak tersentak dengan apa yang umi katakan. Jika sebelum ini, umi yang akan memanggil saya untuk menemaninya tidur, kali ini nampaknya saya terpaksa tidur sendiri. Mungkin umi akan datang selepas saya tidur, atau sebelum saya tidur. Saya cuba untuk bertahan. Hanya berbaring tetapi tidak tidur. Tentu umi akan datang setelah menidurkan Cinta. Namun, ternyata jangkaan saya meleset.
Saya bangun lebih awal pagi itu. Mungkin kerana kesejukan. Selalunya saya tidak begitu sejuk kerana umi akan memeluk saya. Badan umi yang panas, membantu memanaskan badan saya. Oleh itu, saya tidak akan merasa sejuk. Tapi, lain halnya pagi itu. Apabila saya terjaga, umi tiada di sisi saya. Saya terfikir, tidak mungkin umi di dapur menyiapkan sarapan. Hari masih terlalu awal. Makcik Lisa juga tentunya belum sampai. Saya berdiri dan memandang keliling. Hari masih gelap. Tapi, tentunya sudah pagi.
Saya berjalan mengelilingi ruang tidur itu. Dalam cahaya remang, saya dapat mengenal pasti setiap penghuni Hati Berlian. Saya berjalan perlahan-lahan. Apabila sampai di hujung, saya berhenti. Itu tempat tidur Cinta. Ada Cinta yang masih tidur, dan umi juga masih lena di sebelahnya. Saya cuma senyum. Saya berjalan kembali ke tempat tidur saya. Saya berbaring kembali. Hati saya berdebar-debar. Saya tidak tahu kerana apa. Apakah saya cemburu terhadap Cinta. Jangan. Janganlah begitu. Dia tidak bernasib baik, pujuk hati saya.
Rupa-rupanya, mulai hari itu saya benar-benar kena lebih berdikari. Umi lebih memberi tumpuan kepada Cinta. Makcik Lisa juga. Pakcik Kadok juga, apabila datang bertandang, pasti akan melayan Cinta. Mungkin saya sudah menjadi semakin besar. Mungkin saya tidak selayaknya dimanjakan lagi. Makcik Lisa tidak pernah menunjukkan muka bengisnya terhadap Cinta. Dia hanya tersenyum dan memanggil-manggil Cinta dengan suara yang sengaja dikecilkan.
Suatu hari selepas makan tengahari, semua penghuni Hati Berlian duduk di depan televisyen. Kebiasaannya, waktu sebegini, akan ada antara kami yang tertidur di hadapan televisyen. Adakalanya, saya sendiri. Umi juga pernah. Saya menghampiri umi. Dia sedang memangku Cinta. Mulanya saya bermain-main dengan Cinta. Namun, apabila umi mula memberi Cinta minum susu, saya tidak lagi bermain dengannya. Saya berbaring. Saya baring di atas riba umi. Namun, alangkah kecewanya saya apabila umi menolak saya.
“Pergilah baring di sana Ana. Umi rimas ni. Macam budak kecil pula…” Umi memarahi saya.
Saya benar-benar terguris. Itulah kali pertama umi menyatakan yang dia rimas dengan saya. Saya hampir menitiskan air mata sebenarnya. Tapi, saya lebih mengambil keputusan untuk tidur dan tidak memikirkannya. Salah saya juga. Saya yang sibuk nak bermanja walaupun umi sedang penat menguruskan Cinta. Saya tahu, Cinta bukan seperti anak-anak lain. Cinta perlukan lebih tumpuan. Bukan mudah menjaga Cinta. Rumit dan remeh. Semuanya perlu diberi perhatian.
Bangun daripada tidur, aku bermain badminton bersama Sheila dan Syafiq. Anak-anak lain, ada yang masih menonton televisyen, ada yang sedang bermain anak patung, dan macam-macam lagi. Sheila pandai juga bermain badminton. Beberapa kali dia berjaya memukul bulu tangkis yang saya hantar.
“Kak Su, jangan bagi bola laju…” Sheila merungut bila tidak dapat memukul bulu tangkis yang saya hantar.
“Eleh, nak salahkan Kak Su pula. Sheila yang tak pandai main.” Saya membalas.
Sememangnya Sheila dan anak-anak Hati Berlian lainnya memanggil saya Kak Su. Makcik Lisa dan Pakcik Kadok juga memanggil saya ‘Su’. Kadang-kadang, mereka memanggil nama penuh saya, Suhana. Hanya umi yang memanggil saya Ana.
Sheila terus berusaha mengejar bulu tangkis saya. Syafiq turut mengejar. Kononnya, membantu Sheila walaupun dia tidak pernah dapat menyambut bulu tangkis saya. Saya bermain hingga akhirnya saya berhenti kerana haus. Saya ke dapur. Saya terdengar umi dan makcik Lisa bercerita. Bunyinya agak tegang. Kedengaran seperti makcik Lisa memarahi umi.
“Sudah sampai masanya. Bila lagi kau nak tunggu ? Kau tak boleh berlengah lagi.” Makcik Lisa memarahi umi.
“Aku tidak sanggup, Lisa. Jangan desak aku. Jangan kau buat aku begini.” Umi membalas.
“Kau yang tidak boleh buat begini. Kau mesti lepaskan dia. Sudah sampai masanya.” Makcik Lisa makin mendesak.
“Aku sangat sayangkan dia, Lisa. Aku tak boleh berpisah dengan dia.” Umi mula menangis.
“Kau tidak boleh pentingkan diri sendiri. Ini peraturan. Kau mahu langgar undang-undang ?!” Makcik Lisa makin meninggi suara.
Umi tidak menjawab. Dia terus menangis. Saya lihat, makcik Lisa menjadi serba salah. Makcik Lisa kemudiannya memeluk umi. Saya hampir saja masuk dan bertanyakan apa sebenarnya terjadi. Makcik Lisa ternampak saya. Saya tergamam dan cepat-cepat melarikan diri.
Saya terfikir untuk datang kembali dan bertanya mengapa umi menangis. Tetapi, saya lupakan saja niat itu. Saya ke halaman semula. Saya tidak jadi minum air. Dalam kepala saya, asyik memikirkan tentang apa yang umi dan makcik Lisa tengkarkan. Andaian saya tidak lain. Tentu tentang Cinta. Siapa sebenarnya Cinta ? Dari siapa sebenarnya Cinta diambil ? Apakah umi dan pakcik Kadok menculik Cinta ? Tapi, mengapa ? Macam-macam persoalan yang berkecamuk di fikiranku. Lamunanku tersentak mendengarkan bunyi hon kereta pakcik Kadok. Semua anak-anak Hati Berlian mengelilingi pakcik Kadok apabila dia turun. Pakcik Kadok mendukung Syafiq.
“Anak-anak nak dengar cerita ?” Tanya pakcik Kadok disambut dengan sorakan anak-anak Hati Berlian.
Pakcik Kadok duduk di rumput. Kanak-kanak lain berkumpul di hadapannya. Saya turut enggan ketinggalan. Saya berlari menghampiri pakcik Kadok. Pakcik Kadok tentu ada cerita baru. Tentu lucu ceritanya.
“Pakcik nak cerita tentang anak katak dan ibunya. Tapi, sebelum pakcik bercerita, semua mesti tepuk tangan dulu.” Pakcik Kadok cuba menarik perhatian.
Semua kami bertepuk sekuat hati. Semua tidak sabar mendengar cerita pakcik Kadok. Setiap cerita pakcik Kadok, tidak pernah menghampakan. Sebelum ini, pakcik Kadok bercerita tentang musang dan ibu ayam. Sebelumnya, pemburu dan sarang labah-labah. Sebelumnya lagi, sang kancil dan buaya. Semuanya berjaya mengembirakan kami.
“Di dalam sebuah tempurung, tinggal anak katak dan ibunya. Mereka tidak pernah keluar dari tempurung itu. Ibu katak memberitahu anaknya, bahawa dialah yang terbesar di dunia ini. Tidak ada lagi binatang lain yang lebih besar daripada ibu katak. Pada satu hari iaitu hari jadi anak katak, ibu katak telah memberi peluang kepada anak katak untuk membuat apa saja permintaan. Lalu, anak katak meminta untuk mengembara keluar dari kawasan mereka. Ibu katak berkata ; ‘Baiklah, ibu benarkan. Tapi, satu hari saja. Jangan lama-lama.’ Anak katak pun keluarlah mengembara. ‘Toing… toing…’ Anak katak melompat.” Pakcik Kadok bercerita sambil membuat gaya anak katak melompat.
Semua ketawa. Sungguh lucu melihat pakcik Kadok dengan gigi rongak dan perut buncitnya.
“Anak katak berjalan masuk kampung. Dia terjumpa seekor binatang berbulu dan berekor panjang. ‘Tumpang tanya… siapa kamu ?’ Anak katak bertanya dengan sopan. ‘Oh, akulah kucing,’ jawab kucing. Anak katak sebenarnya terkejut kerana kucing lebih besar daripada ibu katak. Anak katak meneruskan pengembaraannya. Dia terjumpa seekor lagi binatang yang lebih besar daripada kucing. Binatang ini berjanggut dan makan rumput. Bunyinya begini; ‘Embekkkk….’ Anak katak bertanya dengan sopan. ‘Tumpang tanya… siapa kamu ?’ Apa jawabnya, anak-anak ?” Pakcik Kadok menguji kami.
“Kambing…” Kami menjawab serentak.
“Pandai… Anak katak berjalan lagi. Dia berjalan di tepi sawah. Kali ini, dia lebih terkejut. Ada seekor binatang yang lebih besar dari kambing. Badannya bulat, dan suka berkubang dalam lumpur. Anak katakpun bertanya lagi. ‘Tumpang tanya… siapa kamu ?’ Ha, itulah kerbau. Apabila hari hampir petang, anak katak hendak pulang ke rumah. Dia melalui jalan hutan. Kali ini, dia betul-betul terkejut. Dia terjumpa binatang yang sangat-sangat-sangat besar. Telinganya pun besar. Belalainya panjang, kakinya besar. Cuba teka, apa binatang itu ?” Pakcik Kadok menguji kami lagi.
“Gajah…” Kami menjawab.
“Apa ? Monyet ?” Pakcik Kadok berpura-pura tidak dengar.
“Gajah…” Kami menjawab dengan lebih kuat.
“Apa ? Harimau ?” Pakcik Kadok berpura-pura lagi.
“Gajah la pakcik…” Suasana mula menjadi bising.
“Oh, gajah... Pandai pun anak-anak. Selepas anak katak berjumpa gajah, dia pun pulang ke rumahnya di bawah tempurung. Ibu katak sedang menunggu dengan hati yang lega. Anak katak pun menceritakan tentang apa yang dijumpainya dalam pengembaraannya hari itu. ‘Saya jumpa kucing. Lebih besar daripada emak,’ kata anak katak. ‘Apa ? Cis… mustahil ada binatang lebih besar daripada aku.’ Ibu katak tidak berpuas hati. ‘Bukan kucing saja, mak. Malah, saya jumpa kambing. Lebih besar daripada kucing. Saya juga jumpa kambing. Lebih besar daripada kucing. Kemudian, saya jumpa kerbau. Lebih besar daripada kambing. Yang paling mengejutkan, saya jumpa gajah. Lebih besar dari semuanya.’ Anak katak memberikan penjelasan. Anak-anak, ada tak binatang lebih besar daripada gajah ?” Pakcik Kadok bertanya lagi.
“Tak ada…” Syafiq menjawab.
“Ada… ikan paus…” Jawab Sheila.
“Dinosaur lagi besar…” Saya pula menyampuk.
“Pandaipun. Pakcik sambung cerita, ya… Ibu katak tidak berpuas hati. ‘Bagaimana besarnya gajah tu ? Begini…?’ Ibu katak mengembungkan badannya. ‘Bukan… besar lagi, mak.’ Anak katak menjawab. Ibu katak mengembangkan lagi badannya. ‘Begini ?’ Tanya ibu katak lagi.
Semua ketawa berdekah-dekah melihat pakcik Kadok menggayakan cara ibu katak mengembungkan badannya.
“Ibu katak masih tidak berpuas hati. ‘Bukan mak. Besar lagi.’ Anak katak memberitahu. Ibu katak terus berusaha untuk tambah mengembungkan badannya. ‘Begini…?’ Tanya ibu katak. ‘Bukan mak. Besar lagi…’ Jawab anak katak. Ibu katak sudah tidak tahan lagi. Tapi, kerana rasa tercabar, dia terus juga mengembangkan badannya. ‘Begini… ???’ Tiba-tiba, ‘POMMM!!!’ Perut ibu katak pecah. Itulah akibatnya kerana terlalu meninggi diri.” Pakcik Kadok menamatkan ceritanya.
Semua menepuk tangan dan bergembira. Saya juga gembira. Kemudian, saya masuk ke ruang menonton televisyen. Hanya ada Cinta di situ. Mungkin umi ke tandas. Saya menghampiri Cinta. Perbalahan antara umi dan makcik Lisa tadi, kembali hadir dalam minda saya. Saya merenung Cinta. Cinta juga memandang saya. Tapi, pandangannya kosong. Cinta mengangkat tangannya. Tangannya menggapai-gapai ke arah saya. Saya mengangkat Cinta. Saya dudukkan dia. Dia merenung saya, tapi dahinya tidak berkerut. Lehernya terkulai. Tiba-tiba, dia mulai menangis. Saya terkejut. Cinta boleh menangis ? Kali pertama saya mendengar Cinta menangis. Saya sangka Cinta tidak mampu menangis. Saya senyum dan menyanyikan lagu untuknya. Dia terus menangis. Tidak lama, umi muncul dan meluru ke arah saya.
“Ana… Apa kau buat tu ?!!” Umi memarahi saya.
Umi merampas Cinta daripada saya. Kemudian, umi memukul tangan saya. Saya terkejut. Umi mendukung Cinta dan membawanya pergi. Saya tinggal sendirian di situ. Saya memegang tangan saya, tempat yang dipukul oleh umi tadi. Tidak sakit. Umi cuma memukul saya sikit saja. Tapi, umi tidak pernah memukul saya. Itu kali pertama. Air mata saya berlinang. Saya teresak-esak menangis. Saya cuba menahan esakan saya, tapi tidak mampu. Sakit dada saya kerana menahan esakan. Saya menangis bukan kerana sakit. Tapi, saya sedih.
Saya tidak menyertai makan malam bersama mereka semua. Saya betul-betul sedih. Umi datang memujuk. Tapi, saya tetap enggan. Saya tidur awal malam itu. Paling awal. Sebelum yang lain tidur. Setelah menguruskan yang lain-lain, saya terasa umi datang menghampiri saya bersama Cinta. Umi menggosok-gosok kepala saya. Saya terdengar umi teresak-esak. Tapi, saya tidak berani membuka mata. Umi mencium dahi saya. Terasa air matanya hangat membasahi wajah saya. Umi dahi saya. Terasa air matanya hangat membasahi wajah saya. Umi tidur di sebelah saya malam itu bersama Cinta. Untuk kesekian kalinya, umi tidur lagi di sebelah saya. Saya dapat rasakan kembali hangat tubuh umi dan bau harum rambutnya. Saya lena malam itu. Saya tidak akan kesejukan.
Pagi itu, umi dan Cinta tiada di sisi saya. Saya tidak tahu mereka ke mana. Saya bangun dan mencari mereka. Beberapa anak Hati Berlian juga sudah bangun. Umi dan Cinta tiada di ruang tidur itu. Tidak ada juga di halaman. Tidak juga di ruang menonton televisyen. Saya terus mencari mereka. Saya sudah melupakan peristiwa umi memukul tangan saya. Saya tahu umi tak sengaja.
Saya ke dapur. Ada makcik Lisa di situ. Dia terkejut melihat saya. Saya tersenyum dan bertanyakan umi serta Cinta. Makcik Lisa tidak menjawab. Sebaliknya, dia menyuruh saya duduk. Dia juga duduk. Mengadap saya. Saya jadi risau. Tentu ada sesuatu yang ingin dicakapkannya. Dalam hati saya masih tertanya-tanya, ke mana umi dan Cinta ?
“Su mendengar perbualan kami semalam, kan ? Apa yang kamu dengar ?” Makcik Lisa bertanya serius.
“Saya tidak mendengar semuanya. Saya tidak tahu.” Saya menjawab berhati-hati.
“Kamu fikir, apa yang kami bincangkan ?” Makcik Lisa bertanya lagi.
“Cinta ? Mungkin tentang Cinta. Betulkan makcik ?” Saya membuat andaian.
“Bukan tentang Cinta. Tapi tentang kamu.” Makcik Lisa menjelaskan.
Saya jadi hairan. Saya cuba mengingat kembali perbalahan mereka. Saya tambah gementar.
“Umi kamu tak sanggup menyatakannya. Biarlah makcik yang beritahu Su. Semuanya demi masa depan Su. Su sekarang sepatutnya sudah bersekolah. Sepatutnya Su sudah masuk darjah satu. Jadi, Su mesti bersekolah.” Makcik Lisa memberitahu keadaan sebenar.
“Saya tidak kisah. Saya memang mahu bersekolah. Saya suka belajar.” Saya menyatakan pendirian saya kepada makcik Lisa.
“Bukan itu saja. Su kena pindah. Su tidak boleh tinggal di sini lagi. Hati Berlian untuk mereka yang berumur 6 tahun dan ke bawah saja. Su kena pindah ke rumah anak yatim yang satu lagi.” Makin risau saya mendengar kata-kata makcik Lisa.
“Kenapa pula saya mesti pindah ? Saya tinggal sini sebab umi kerja di sini. Saya bukan penghuni tetap Hati Berlian. Saya anak umi. Saya ikut umi bekerja di sini. Sebab itu saya di sini.” Saya menerangkan kepada makcik Lisa.
Makcik Lisa diam seketika. Dia membetulkan rambut saya. Air matanya bergenang. Saya tambah keliru.
“Su… Su memang penghuni Hati Berlian. Su bukan anak umi. Umi tak pernah berkahwin. Su cuma anak angkat umi. Su anak yatim. Ibu dan bapa Su meninggal dalam satu kemalangan jalanraya sewaktu Su masih berusia dua bulan. Su penghuni paling muda di sini waktu itu.” Makcik Lisa tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menangis teresak-esak.
Saya tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh makcik Lisa itu. Saya mahu mendengar penjelasan dari mulut umi sendiri. Saya berlari keliling Hati Berlian mencari umi. Saya melaung nama umi sekuat hati. Saya mencari di segenap ruang dan sudut. Di mana umi bersembunyi ? Akhirnya, saya letih dan terduduk. Saya meraung sekuat hati saya.
Seharian saya tidak melihat umi dan Cinta. Daripada siang saya menunggu, hingga ke malam. Makcik Lisa tidur di Hati Berlian malam itu. Makcik Lisa tidur bersama saya. Dia juga tadinya membantu saya mengemaskan semua barang-barang saya. Makcik Lisa juga memeluk saya sambil tidur. Saya tidak juga kesejukan malam itu.
Pagi esoknya, umi dan Cinta masih tidak pulang. Pakcik Kadok sudah menunggu dengan keretanya. Setelah bersedia, saya masih tidak naik kereta. Saya masih menunggu umi dan Cinta. Tapi menurut makcik Lisa, umi tidak akan muncul selagi saya tidak pergi. Umi tidak sanggup melihat saya pergi. Jadi, rupa-rupanya malam itulah kali terakhir saya bertemu umi. Malam itulah kali terakhir umi mengucup saya. Malam itulah kali terakhir saya tidur dalam kehangatan kasih sayang umi. Saya faham. Saya bersalaman dengan semua penghuni Hati Berlian. Sheila dan Syafiq menangis teresak-esak. Makcik Lisa cuba menahan tangisannya. Bibirnya terketar-ketar. Matanya merah berair.
“Su, belajar rajin-rajin. Biar Su jadi anak umi yang mampu membanggakannya.” Makcik Lisa mencium dan memeluk saya erat-erat.
Saya cuma mengangguk-angguk dan tersenyum. Tidak setitispun air mata saya jatuh. Saya cukup tenang pagi itu. Pakcik Kadok membantu saya menyimpan beg pakaian saya. Apabila kereta mula berjalan, makcik Lisa berlari ke dalam rumah Hati Berlian. Dia tidak sanggup melihat pemergian saya. Anak-anak Hati Berlian lainnya, berpelukan sesama mereka. Kereta Pak Kadok keluar dari kawasan Hati Berlian. Di luar kawasan rumah itu, terpampang papan tanda ‘Rumah Anak-Anak Yatim Hati Berlian’ yang kali pertama saya lihat. Saya juga mendapat tahu daripada pakcik Kadok, sebab rumah itu dinamakan dengan nama ‘Hati Berlian’. Sebenarnya, itu adalah nama pengasas rumah itu iaitu Hatimah dan Haji Berlian. Keduanya telah meninggal dunia. Merekalah ibu dan bapa umi.
Perjalanan ke rumah anak-anak yatim yang satu lagi, mengambil masa hampir 4 jam. Jauh. Bukan dekat, sebagaimana kami diberitahu. Saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Ini janji saya. Saya mahu jadi orang yang berjaya, dan pulang ke Hati Berlian, untuk menemui umi saya.

Thursday, August 18, 2011

DI DUNIA YANG BARU

Aduh...lama benar tidak menulis di blog. usahkan hendak menulis, berkunjung pun tidak. malah saya sudah hampir terlupa yang saya mempunyai sebuah blog. cuma semalam, sewaktu di KLIH, bersama teman2 membina silibus untuk kelab kesenian seluruh Malaysia (saya bersama 2 teman lagi, membina silibus untuk kelab teater sekolah menengah), seorang teman, norlida memberitahu yang dia pernah membaca tulisan saya di blog. dan dia kata, dia menyukainya. waktu itulah teringat, ya, aku mempunyai sebuah blog. lantas saya membuka dan membaca semula.
memang banyak peristiwa penting yang tertinggal untuk saya masukkan ke blog ini. anta lain...kini saya telah bergelar pendidik kembali di SMK Wangsa Melawati dan saya telah kembali betah bergelar warga kota metropolitan kuala lumpur.
alangkah nikmatnya dapat kembali bergelar pendidik dan meninggalkan kerusi pegawai pengurusan hal ehwal pelajar ipg kampus tawau. bukan saya tidak suka tugas sebagai pegawai hep itu. suka...malah saya turut sedih waktu meninggalkan kerusi tersebut. tetapi, jiwa saya adalah pendidik. pendidik untuk pelajar-pelajar sekolah.
smk wangsa melawati, bagi saya sama saja dengan smk tawau. walaupun dari segi akademik dan ko-kurikulum, smk tawau jauh lebih baik (sewaktu saya di sana dulu) sehingga bergelar sekolah cemerlang peringkat kebangsaan kategori sekolah harian (bandar) 2009, namun persekitarannya hampir sama. smk wangsa melawati lebih lengkap dari byak segi. ada dewan yang besar dan ada juga dewan kecil serta dewan terbuka. byak aktiviti boleh dilaksanakan serentak.
pengetuanya, puan che aini juga sama seperti puan hjh juriah, mantan pengetua smk tawau dulu. mempunyai kecintaan yang kuat terhadap anak bangsanya. maka, aku menyanjungi keduanya.
dari segi pelajar, entahlah...walau ke mana aku pergi, aku tetap dikurniakan oleh Ilahi dengan satu anugerah...kasih sayang...aku sudah mempunyai anak-anak sendiri sekarang. sama macam di tawau dulu. dan kasih sayang itulah yang menambah kecintaan aku pada sekolah...dan kuala lumpur.
nampaknya, perlahan-lahan kuala lumpur mulai jinak denganku....
i luv u kuala lumpur...

Monday, September 7, 2009

SAYA DI 'TUNAS CIPTA'

Bulan lepas (Ogos), sebelum saya berangkat ke Tanah Suci, saya sempat dikirimi dengan majalah Tunas Cipta. Majalah ini tidak dipasarkan di Tawau (seperti kebanyakan majalah Dewan Bahasa yang lain). Cerpen saya; 'REDAH DAERAH BERDARAH' yang saya adaptasi dari skrip dekon saya yang menggunakan tajuk yang sama disiarkan di Tunas Cipta. Bagitu juga artikel mengenai saya ini. Kalau sudi, jemputlah baca...

Friday, August 7, 2009

TERKONANG SEMASA DOLU....

BILA MEMBELEK-BELEK BALIK FAIL-FAIL LAMA, SAYA TERBUANG MASA KEPADA KERATAN-KERATAN LAMA YANG SAYA SIMPAN. SUDAH LAMA SAYA TIDAK MEMBACANYA. SUDAH LEBIH 10 TAHUN IA TERBIAR DALAM FAIL TERSEBUT. SETELAH MEMBELEK-BELEK, SAYA TERSENTAK MEMBACA SATU STATEMENT YANG SAYA TUKIL DARI BERITA HARIAN INI...

LALU, API YANG DULUNYA HANYA BERSEMBUNYI DALAM SEKAM, KINI MULA MENJILAT PANGKAL HATI. PELUH SAYA MENGALIR. ADUH... SAYA SUDAH JAUH MENINGGALKAN SIMPANG CITA-CITA INI.


SAYA BELEK KEMBALI SETIAP KEPINGAN KERATAN-KERATAN ARTIKEL LAMA ITU. EH, PERNAH JUGA JADI COVER RUPANYA...
WAKTU NI SAYA MULA BERJINAK DENGAN DUNIA PENULISAN. ADA ANTARA MEREKA SUDAH BERADA DI PUNCAK DUNIA PENULISAN. TINGGI...TAK TERPANJAT OLEH SAYA. DAN SAYA ADA KENANGAN DENGAN SALAH SEORANG DI SITU...OPS, RAHSIA...BIARLAH SAYA SIMPAN SAJA.




INILAH WAJAH ANAK-ANAK HINGUSAN KUALA LUMPUR YANG MASIH SUCI (KETIKA ITU) DARI DAKI KOTARAYA. GIGIH MENGEJAR CITA BERBEKALKAN SATU MISI. PERCAYA TAK, KAMI BUKAN KAWAN BAIK DI SEKOLAH. MASING-MASING PUNYA KAWAN BAIK MASING-MASING. AJOY KAMCING IKHWAN, ANAS KAMCING ELYAS DAN SAYA DENGAN MAMAT. KAMI BERENAM BERGABUNG MASUK PERTANDINGAN LAGU INGGERIS DI SEKOLAH. KAMI BAWA LAGU 'WIND OF CHANGE'. MENANG. DAN INILAH SLUMBER. TAPI BILA ARWAH ANAS MENINGGALKAN KAMI, KAMI MEMBAWA HALUAN MASING-MASING. BETUL-BETUL BERPECAH DAN MUGA ANGIN MENCANTUMKAN KAMI KEMBALI. MAMAT DI WG MAJU DENGAN BISNES KEDAI MAKANNYA, ELYAS DENGAN BISNES KELUARGA DI SETAPAK, IKHWAN ENTAH DI MANA, AJOI DI PENANG SETELAH BERKELUARGA, AKU DI TAWAU, DAN ARWAH ANAS ABADI DI SISI TUHAN...



INI KERATAN AKHBAR PERTAMA YANG KELUAR TENTANG KAMI DALAM BERITA HARIAN. ABANG LIE(FADZLINIZA HJ ZAKARIA) PENERBIT DI TV3 MASIH KEEP IN TOUCH DENGAN SAYA WALAU DAH 14 TAHUN MASA BERLALU. SAYA TERINGIN BEKERJASAMA DENGAN DIA SEMULA. KAK JAI (JALENA REJAB) YANG JUGA SAYA KENALI WKTU SINARAN PASPORT, KINI DI GRAND BRILLIANT. DIA MENGALUKAN UNTUK MEMBANTU SAYA MEMANJANGKAN SKRIP SAYA JIKA SUDAH MASANYA SAYA INGIN MELANGKAHKAN KAKI SEMULA MENGEJAR CITA-CITA.



MEMANG BAIK PUNYA FESYEN SAYA WAKTU NI. KATA STUDENT2 SAYA - RAMBUT BELAH PANTAT. HAHAHAA... ORG SEMENANJUNG KALAU DENGAR MESTI MARAH SEBAB LAIN MAKSUDNYA. NASIB BAIK SAYA ORANG TAWAU..LALALAAA...



COP...COP... BUKAN SELAMBA LA. TAPI 'SLUMBER'. PALING BEST, WAKTU PROMO GUNA VOICE OVER AZNIL, DIA SEBUT 'SLUMBER' VERY THE ATTITUDE PUNYA SEBUTAN.



KAMI DI'HIGHLIGHT'KAN PADA SAYA SEBAB KAMI MUDA DAN FRESH. LAGIPUN, KAMI GABUNGAN 3 GENRE. AJOI - RAP, ARWAH ANAS - DANGDUT, SAYA - POP.



SEBENARNYA, AGAK TERKEJUT JUGA BILA KAMI SEBENARNYA ADA PEMINAT. RASA PELIK SANGAT WAKTU TU. YELAH, TIME TU MANALAH ADA AF, DAN LAIN-LAIN PERTANDINGAN TU. SO, AGAK LAKULAH JUGAK KAMI SAMPAI TERJEJAS JUGALAH PELAJARAN. HEHEHEEE...



INILAH TIKET MASUK KE FINAL. BUAT DI PWTC. MAK AI...SERAM SEJUK DIBUATNYA. TAMBAHAN PULA, PENTASNYA PENTAS ARENA. MAKNANYA, PENTAS BULAT DI TENGAH. PENONTON DI KELILING. PERNGACARA TIGA ORANG TU MEMANG BEST. TAPI, SEJAK SARINGAN, SEMI FINAL DAN FINAL, KAMI BERTUAH SEBAB BERGANDINGAN DENGAN PENGACARA YANG SAMA IAITU SYARIFAH NORHASLINDA (LYN).



MASA FINAL NI, KAMI MEMANG STRESS. DAH LA BARU LEPAS EXAM, DATANG LAMBAT KE HOTEL SEBAB EXAM TAK ABIS LAGI, HOTEL PULAK BERHANTU, DAN PALING MUDA PULAK TU. SO, KAMI BUAT BENDA YANG HAMPIR SAMA DENGAN SEMI FINAL. WAJIB LA KALAH. TAPI BESTNYA, KAMI NYANYI LAGU 'MALAM' BY SHADES. KUMPULAN SHADES PULAK DATANG TIME TU MENONTON KAMI. BERGEGAR LUTUT BILA TIME HABIS, SHADES DATANG DAN AJAK KAMI NYANYI SAMA-SAMA. HAYOOO....



JANGAN MARAH HA... WALAU KALAH, DAPAT JUGA PERSONAL COVERAGE OK. SAYA AMAT MENGHARGAI ARTIKEL YANG INI.



RUPANYA JODOH KAMI DENGAN AZIZ M.OSMAN MASIH ADA. YELAH, MASA SEMI FINAL DIA JADI JURI. KEMUDIAN DAPAT PULA BERLAKON DALAM FILEM ARAHAN DIA. KALAU NAK TAHU, KAMI TIDAK MENJALANI UJIBAKAT. KAMI TERUS DIAMBIL MASUK BERLAKON. PRODUCTION MANAGER, MAZLIN NORDIN (CIK INN / KINI PENERBIT MAJALAH 3) YANG CASTING KAMI KONON-KONONNYA. TAPI BORAK-BORAK JER. KAMI JUGA RAPAT DENGAN PENOLONG PENGARAH, AMINAH RAPOR (KAK AMY) YANG MASIH KEEP IN TOUCH SAMPAI SEKARANG.



INILAH POSTER FILEMNYA. BAGINDA. KALAU NAK TAHU, FILEM NI DIANGKAT SEBAGAI FILEM TERBAIK ANUGERAH SKRIN DAN BINTANG POPULAR 1999. WAKTU HARI MENANG ITULAH, KAMI BUKAN SEKADAR MENDAPAT BERITA GEMBIRA, TAPI BERITA SEDIH PEMERGIAN ALLAHYARHAM MOHD NASYRUL ILHAM BIN ABDUL MAJID (ANAS). SEJAK ITU, KAMI PATAH SEMANGAT. AL-FATIHAH...



TEAM BAGINDA SANGAT BEST. KAMI RAPAT MACAM ADIK BERADIK.



SEBENARNYA, SEBAB BAGINDA LA JUGA SAYA MULA MEMINATI PROFESYEN PERGURUAN.



BEST SANGAT DAPAT JOIN ARTIS2 POPULAR. YANG PENTING, DORANG MEMANG TAK SOMBONG. INGAT LAGI MASA LOUNCHING FILEM BAGINDA KAT 1 HOTEL TU, AJOI MAKAN PAKAI TANGAN SEBAB DIA KATA TAK SEDAP GUNA SUDU. TERUS AZEAN IRDAWATY PUN GUNA TANGAN JUGAK. DIA JUGA AJAK KAMI SAMA-SAMA GI SHOPPING KAT SOGO LEPAS CASHKAN CEK KAT BANK. DIA TAK MALU WALAUPUN KAMI SELENGE. JALIL HAMID, CHEF WAN, JAAFAR ON, JALALUDDIN HASSAN DAN LUISA CHONG PUN BEST. KAMI ASYIK KETAWA JER DENGAN LAWAK DORANG.



PENGURUS ARTIS (KAK JIHAN DAN KAK INA) PANGGIL SAYA 'GEISHA JEPUN' SETELAH SAYA DIPUTIHKAN BERSAMA BENJI DAN ABANG RAMAN TU. NAK TAHU, WALAUPUN MAKE-UP TU MACAM CONTENG2 JER, DEKAT SEJAM JUGAK DITONYOH MUKA TAU.



WAKTU DI LOKASI, KAMI MEMANG MELEKAT BERTIGA. DAH MACAM ADIK BERADIK. RINDU SANGAT DENGAN BENJI DAN ABANG RAMAN.


WAKTU ARTIKEL NI DITULIS, KAMI MEMANG NAK SERIUS DALAM BIDANG SENI NI. TAPI AKHIRNYA SETELAH ARWAH PERGI, KAMI JUGA PERGI MEMBAWA HALUAN MASING-MASING....



MASA DI UPSI, SAYA MASUK SINARAN PERTIWI PULA. ITUPUN SEBAB FAIZUL YANG BERIYA-IYA. SAYA MASUK ATAS DASAR PERSAHABATAN SAJA BIARPUN DAPAT JUGA KE PERINGKAT AKHIR.



SINARAN PERTIWI NI IDEA PAK LAH. FINAL DI SRI PENTAS 2 SHAH ALAM. YANG SANGAT BEST ADALAH SAYA MENYANYI LAGU YANG PALING SAYA MINAT IAITU 'MENTERA SEMERAH PADI' WAKTU SARINGAN DAN 'PERTIWI' WAKTU FINAL. LAGU 'PERTIWI' NI WAJIB DIHAFAL WAKTU MINGGU ORIENTASI SAYA DI AKADEMI SENI. SEBAB TU LA MEREMANG BULU ROMA BILA DENGAR LAGU TU.



HARAP BLOG NI BOLEH KEKAL LAMA. YELAH, BILA DAH TUA NANTI, KOT-KOT SAYA NAK BACA ARTIKEL NI SEMUA, DAN FAIL ARTIKEL NI SAYA DAH LUPA LETAK KAT MANA (YELEH, KALAU DAH TUA NYANYUK), BOLEH LA SAYA TENGOK BLOG NI BALIK DAN KATA... "KO TENGOK CU, VOGUE TAK ATOK DULU...." HEHEHEEEE...