Wednesday, June 24, 2009

KENGKAWAN LAMA.....

Bila dah tak ada keje nak buat, mulalah rasa gatal nak buat macam-macam. So, mari kita main teka-teka nak...heheheee....

*slot ini hanya gurauan semata-mata, tidak berniat untuk membangkitkan nafsu shahwat sesiapa...

Inilah pemenang hero rumaja tahun 2009...
comfirmlah....comfirmlah.....

Macam lebih comel pulak cikgu upik dengan idung macam tu ek...
cikgu upik da' hot daddy

Hayooo.... ni lepas kena tinju ka?
cikgu jason da' ajk surau....

Memang ratu NILAM...Nak tengok wajah cikgu roniza lepas di grooming? Jap ek..
ckg roniza da' membacaamalanmulia
Tapi, selepas di grooming...
Meletup, kan? Nasib baiklah saya dah bertunang....heheheee...

Ya habibi ya maulana...
Uztaz Azizi da' ahlah wal sahlan

Ini dia gadis mesir yang digelar 'Black Beauty Queen' semengkek
Ustajah rugayah da' ayat-ayat cinta

Ni memang gambar seorang model sebab suami dia ni cameraman.
cikgu aishah da' flatwoman

Walaupun dah pindah, sempat saya snap gambar dia sebelum dia meninggalkan semengkek dulu.
cikgu ahya da' baru beranak girl...

Cak pong...cak pong... ewah, cak pong... cak pong... mai menari...
cikgu salama da' umah tepi pagar

Tak berani nak edit lebih-lebih. Takut kena panah petir...
ustazah siti da' wanita melayu terakhir

MUHAMMAD.... LARIK.....
cikgu rohainiyati da' manisnyasenyumanmu

For sure kalau tanduk bola, outside gi padang sebelah.
cikgu tahir da' kepala desa ranggu

Patutlah ramai dapat 'A' subjek Pengajian Am...
cikgu azmi da' penghulu king fook

Wajah ini sesuai diletakkan di poster CINTAILAH ALAM SEKITAR ANDA...
cikgu tiak da' world peace

Inilah rupanya kalau pemain bola se[ak handalan dunia mengidap penyakit beguk tahap kritikal. Sapu nila empat belas ketul pun tak pandai baik kalau macam ni.
cikgu saleh da' footballholic

Wakakakaaaaa... sapa sangka saya dapat jugak kenakan mamat tarzan ni. Yelah, biasanya orang tengok dia hensemkan... Sekarang tengok versi cute. Huk aloh...
cikgu julpikar da' tarzan bombalai

So, sapa-sapa yang terkena tu, mintak maap jelah ek. Saja jer nak gurau senda. Dulu depan mata, boleh la kacau-kacau. Sekarang dah jauh, kacau dari jauh jelah... Sori ek....
Salam, nun dari Balung Indera Pokok Klapak Sawit...

MARI MAIN KEJAR-KEJAR DENGAN CITA-CITA

CITA-CITA, APAKAH SEKADAR ‘C.I.T.A.-.C.I.T.A’ ?

Saya pernah terfikir, siapakah yang mencipta perkataan CITA-CITA ? Perkataan apa yang dicipta dulu, CINTA atau CITA-CITA ? Apakah kedua-dua perkataan itu saling diilhamkan antara satu dengan lain ?
Setiap daripada kita mempunyai cita-cita. Paling tidak pun, hampir setiap daripada kita. Cita-cita tersemai hasil daripada beberapa faktor. Antaranya, persekitaran. Kalau dah memang tinggal dekat dengan kem askar, pegi sekolah naik trak askar, mungkin bercita-cita untuk menjadi askar.

Faktor mak-bapak pun boleh jadi juga. Mak-bapak doktor, maka anak pun mula simpan niat jadi doktor. Sebabnya, memang dah dari kecil kita akan nampak bapak kita ni sebagai seorang hero. Mak kita pulak, sentiasa betul. Kalau tak pun kerana pekerjaan mak bapak, mungkin juga sebab mak-bapak yang cita-citanya tak kesampaian. Maka, anak digalakkan dari kecil untuk kononnya menyambung cita-cita mereka.
Lain halnya dengan saya. Sejak kecil saya melihat plan yang dikerjakan oleh ibu dan pakno (bapa tiri saya) yang dibawa balik ke rumah. Kadang-kadang, saya diminta membantu ibu mengerjakan kertas plannya. Saya dibayar entah berapa kupang untuk mewarnakan jalan dengan warna merah, longkang dengan warna biru, etcetra… Saya teramat benci membuat kerja itu biarpun tak pernah merungut. Saya syak, ibu mahu saya bekerja dalam bidang itu. Seperti ibu, pakno dan ayah.

Sangkaan saya ternyata tidak meleset. Ibu beriya-iya memanta saya mengisi borang sekolah vokasional lepas tingkatan 3. Dia mahu saya mengambil bidang lukisan kejuruteraan. Padahal, saya isi bidang pertanian. Hik-hik-hik… dan tak dapatlah pulak.
Lepas SPM, saya disuruh mengambil kursus autocad. Saya pergi. Dengan penuh semangat waja dan iltizam, saya pergi. Tapi, sehari saja iaitu kelas pengenalan autocad. Itu pun, saya nak termuntah dah dalam kelas.
ITU BUKAN CITA-CITA SAYA !!!!!!!!!!!! SO ? APA ?

Sejak kecil, saya ada cita-cita yang pelik. Kata oranglah. Saya pulak, kata cita-cita kawan saya yang pelik. Ada kawan nak jadi saintis, pakar kaji bintang, pakar kaji purba, dan saya kata… PELIKNYA…. Tapi, mereka kata saya lebih pelik sebab saya nak jadi pengarah filem.

Ingat lagi, cikgu dalam kelas pernah cakap ‘BANYAK DUIT AWAK, NAK JADI PENGARAH FILEM…’ dan saya boleh cakap, yang keluarkan duit tu, penerbit. Bukan pengarah. Sentap cikgu tu bila saya lebih tahu sedangkan waktu tu saya baru darjah 5.
Saya pun tak tahu mana saya dapat pendedahan segala bagai tu. Saya bukan dari keluarga orang filem. Yang saya tahu, detiknya bermula bila Pakno bawa saya dan Een (adik saya) menonton Superman 4. Waktu tu saya dalam darjah 3@4 kot…

Waktu remaja, saya nak sangat jadi AZIZ M. OSMAN. Saya berangan sesangat bila tengok filem XX-Ray, XX-Ray 2, Scoop, Femina, Fantasia… Tapi saya langsung tak minat filem-filem Senario dia. Dan saya minat balik filem dia yang berjudul Baginda… Hoi, bukan sebab dia ambik saya berlakon, ya. Tapi, saya suka memang filem tu sampai saya jadi guru pun salam satu sebabnya adalah filem tu la.

Bila saya menonton Selubung, saya trus jatuh cinta dengan Shuhaimi Baba. Terus jadi fanatik gila. Ringgit Kasorga pun buat saya tambah menyintai Shuhaimi Baba. Tapi, serious saya tak minat filem-filem pontianak dia.

Bila saya masuk Sinaran Pasport Kegemilangan dengan bebudak Slumber masa tahun 1995, saya dah rasa yang saya mengikut trek yang betul untuk menjadi pengarah filem. Tambah lagi bila dapat berlakon filem Baginda masa saya form 5. Diperkukuhkan lagi bila lepas SPM, saya melangkahkan kaki ke akademi seni. Dan, lepas tamat, saya plan nak belajar filem di Universiti Gajah Mada, Indonesia. Tiba-tiba, time tu pulak sebok2 reformasi kat Indonesia. Maka, kami (graduan akademi seni) dinasihati supaya menyambung pelajaran di Malaysia saja.

Entahlah. Apakah saya silap langkah bila ke UPSI…? Ya, saya rasa saya tersilap langkah. Setelah kematian arwah Opah yang ingin benar melihat saya menjadi guru, dan teman-teman yang pernah menyokong saya tetapi pergi buat selamanya (Arwah Anas, Arwah Nik…), semangat saya seakan padam. Saya ikut saja alur nasib saya di samping berusaha membakar semangat menjadi guru.

Sewaktu di SMK Tawau, saya masih menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pengarah filem. Sewaktu saya diumumkan sebagai pemenang utama (saya dapat tempat ke-3 dan tiada pemenang tempat pertama dan ke-2. 5 yang lain, pemenang saguhati) Pertandingan Penulisan Skrip Drama Televisyen anjuran Finas (2005), ada wakil dari Keris Motion Picture (sebuah konsortium gabungan beberapa penierbit filem) menghubungi saya dan bertanya samada saya berminat untuk ditaja oleh mereka, belajar di sekolah filem. Saya sangat berdebar. Teman baik saya ketika itu, Dzulfikar, mendorong saya untuk pergi. Katanya, saya akan menyesal jika tak pergi. Tapi, saya buat sekali lagi kesilapan bodoh kerana menolak juga tawaran itu.

Saya menjalani kehidupan sebagai guru seperti biasa. Pelajar-pelajar saya adalah penawar paling mujarab untuk saya melupakan seketika luka meninggalkan cita-cita. Tapi, bila saya bersendirian, hantu cita-cita itu kembali memomoki saya. Kembali saya resah dan gelisah. Kembali saya terfikir, saya mahu menjadi pengarah filem. Tapi bagaimana ? Saya berada jauh di sini. Di bumi Tawau yang damai.

Tahun lalu, seorang pelajar saya yang saya lihat sangat berpotensi bernama Frankie, terbang melanjutkan pelajaran ke ASWARA hasil nasihat saya. Dan seorang lagi, berpaling tadah. Namanya Alif. Saya yakin dia amat berpotensi. Malangnya, dia berhenti form 6 untuk ke politeknik dalam bidang Kejuruteraan Perkapalan. Apabila dia pulang sesekali cuti semester, dia sentiasa meluahkan kekesalan dan resahnya kerana jauh terpesong dari cita-cita. Ini membuatkan hantu cita-cita saya tambah memomoki malah mentertawakan saya. Saya jadi makin resah dan gelisah.

Lalu, kini saya ditawarkan pangkat Pegawai Pengurusan Hal Ehwal Pelajar di IPGM Kampus Tawau. Ramai mengucapkan tahniah dan kata mereka, saya memang berpotensi. Saya pejamkan mata dan terima saja tawaran ini. Kini saya di kerusi ini. Bergelar pegawai. Kata mereka, saya sedang melalui sebuah jalan yang akan menemukan saya sebuah pintu untuk menjadi seseorang yang cukup berpangkat dalam bidang pendidikan. Ada aku kisah ????????

Kebelakangan ini, saya resah lagi. Sampaikan tunang saya sendiri saya tak layan sangat. Kesian dia. Saya terus diburu cita-cita saya. Ya, saya sedang melalui jalan ini. Jalan yang kata mereka amat bertuah dan baik untuk saya. Sebenarnya, pintu yang mereka katakan itu, yang akan saya temui itu, adalah pintu yang bakal membawa saya lebih jauh meninggalkan cita-cita saya. Saya harus berpatah balik.

Kini, saya sedang menaip resume, untuk dihantar ke mana-mana institusi atau syarikat berkenaan di Kuala Lumpur. Saya mahu kembali. Saya akan berusaha sejerih mungkin untuk mengejar cita-cita saya kembali. Jika anda membaca blog ini, tolong doakan saya….
Lihat resume saya, bukankah saya sepatutnya di sana?????????????


RESUME
Nama : Moh Azam bin Rezali
Umur : 30 tahun
Tarikh Lahir : 08 Oktober 1979
Tempat Lahir : Kuala Lumpur
Pendidikan : - Sijil Pelajaran Malaysia
- Diploma Seni Penulisan Kreatif, Institut Teknologi Seni Malaysia
- Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pendidikan Kesusasteraan Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pencapaian / Penglibatan (Bidang Penulisan Kreatif)
1) Tempat Kedua Sayembara Mengarang Puisi Sempena 50 Tahun Merdeka Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (2008).
2) Hadiah Utama Pertandingan Penulisan Skrip Drama Televisyen Anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (2005).
3) Tempat Ketiga Peraduan Formula Malaysia Kategori Mengarang Cerpen (IPT) Anjuran Kerajaan Malaysia (2000).
4) Tempat Ketiga Pertandingan Menulis Cerpen Kanak-Kanak Bertemakan Alam Sekitar Anjuran Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (2000).
5) Hadiah Sastera Siswa Kategori Cerpen (Dewan Siswa) Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (2000).
6) Hadiah Penghargaan Pertandingan Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-IX Kategori Drama Pentas Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yayasan Pelajaran Islam Malaysia (2000).
7) Hadiah Penghargaan Cerpen Kanak-Kanak Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Mobil Oil Malaysia (1998).
8) Dilantik Sebagai Panel Penulis Penerbitan Landasan Pelangi (2008).
9) 2 Karya Dibicarakan dalam Diskusi Karya Eceran MPR – DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Prof. Madya Dr. Othman Puteh (Cerpen) dan Editor Berita Harian A. Rahim Abdullah (Esei) pada 11 Februari 2000.
10) Mantan Peserta Minggu Penulis Remaja Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1999).

Pencapaian / Penglibatan (Bidang Teater)
1) Pengarah dan pelakon teater ‘Topeng’ dipentaskan di Tanjung Malim, Bota Kanan dan Ipoh (Perak), Tawau (Sabah), dan Melaka.
2) Pengarah, penulis skrip dan pelakon teater ‘Hari Raya Selamat’ dipentaskan di Melaka.
3) Pengarah, penulis skrip dan pelakon teater ‘Barbeku’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak) dan Kota Kinabalu (Sabah).
4) Pengarah dan penulis skrip teater ‘Pentas Hayati’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
5) Pelakon dan penulis skrip teater ‘Dalam Balai Cinta’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
6) Pelakon dan penulis skrip drama tari ‘Seni Junjungan’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
7) Pelakon teater ‘Orang Licin’ dipentaskan di Tanjung Malim (Perak).
8) Pelakon teater ‘Mahkamah’ dipentaskan di Melaka.
9) Pelakon bangsawan ‘Dendam Sri Kandi’ dipentaskan di Taman Budaya Perlis.
10) Penulis skrip teater ‘Redah Daerah Berdarah’ dipentaskan di Kota Kinabalu (Sabah).

Pencapaian / Penglibatan (Bidang Kejurulatihan)
1) Jurulatih Pasukan Pantun Negeri Sabah ke Peringkat Kebangsaan (2008).
2) Jurulatih Peserta Pidato LHDN Negeri Sabah ke Peringkat Kebangsaan (2008).
3) Jurulatih Kumpulan Puisi Lagu Daerah Tawau ke Peringkat Negeri (2007 dan 2009).
4) Jurulatih Dikir Barat Daerah Tawau ke Peringkat Negeri (2007).
5) Jurulatih Deklamasi Puisi Daerah Tawau ke Peringkat Negeri (2008).

Penglibatan Lain.
1) Berlakon dalam filem ‘Baginda’ terbitan Grand Brilliant, 1996.
2) Finalis Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3, 1995.
3) Finalis Sinaran Pertiwi terbitan TV3, 2002.
4) Pengacara Majlis Penyampaian Cek dan Makan Malam program ‘Bersamamu TV3’ di Tawau, 2007.
5) Mewakili Negeri Sabah dalam Pertandingan Nyanyian PSKPP Peringkat Kebangsaan, 2004.
6) Tempat Kedua dan Persembahan Terbaik dalam Pertandingan Nyanyian Gema Merdeka Peringkat Daerah Tawau Anjuran RTM Tawau, 2008.
7) Tempat Ketiga Pertandingan Dwi-Pilihan Antara Jabatan Peringkat Daerah Tawau Anjuran RTM Tawau, 2008

Monday, June 8, 2009

PROSES KREATIF MOH AZAM REZALI

Waktu saya masih anak-anak seawal 6 tahun, saya sudah pandai membaca. Saya tidak menduduki bangku sekolah tadika. Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang sibuk bekerja menyara saya dan adik, saya ketika itu cuma tinggal bersama arwah opah yang lumpuh manakala adik saya tinggal bersama jiran. Saya tidak mempunyai teman kerana dalam usia semuda itu, ibu kurang percaya saya berkawan dengan keadaan kami yang ‘terlalu berdikari’.

Memandangkan saya seorang yang sangat penakut dan suka berimaginasikan hantu, ibu mendidik saya dengan caranya yang tersendiri. Ibu meminjamkan saya dengan koleksi buku-buku kawannya. Koleksi tersebut adalah koleksi ‘Bercakap dengan Jin’ karya Tamar Jalis. Saya kira, didikan secara tidak langsung ibu tersebut telah berjaya mengikis sifat penakut saya selain menajamkan imaginasi dan menambahkan kemahiran membaca dan menulis saya.

Sewaktu saya berada di darjah 1, ibu membelikan novel kanak-kanak terjemahan iaitu koleksi ‘7 Penyiasat’, ‘5 Sekawan’ dan ‘Hardy Boys’. Novel sebegitu sememangnya popular dalam kalangan teman-teman di SRK Jalan Air Panas, Setapak ketika itu.

Saya begitu teruja dengan cerita-cerita penyiasatan sebegitu, hinggalah dalam tahun yang sama, ibu membelikan saya novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ karya Azizi Hj Abdullah sewaktu Hari Kantin SRK Jalan Air Panas. Bagi seorang kanak-kanak 7 tahun, tentu amat sukar bagi saya menikmati karya sebegitu. Mujur juga tidak lama selepas itu, drama televisyen ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ yang mengangkat naskhah novel tersebut ke kaca televisyen, banyak membantu saya.

Apabila saya sudah mempunyai ramai teman, sewaktu berada di darjah 4 atau 5, saya telah menulis skrip dan kami melakonkan skrip tersebut sewaktu bermain-main. Saya masih ingat, skrip pertama saya adalah berdasarkan sketsa yang saya tukil dari filem P. Ramlee ‘Masam-Masam Manis’. Kami bermain, berlakon dan tertawa bersama.

Sewaktu saya di bangku darjah 6, saya menghasilkan cerpen pertama yang berupa sebuah karangan. Segalanya dicetuskan oleh guru Bahasa Malaysia saya iaitu Cikgu Roselaili Ahmad. Cikgu Roselaili biasanya akan membacakan beberapa buah karangan setiap kali buku latihan siap disemak. Antara latihan karangan yang dibacanya adalah karangan yang cemerlang, dan karangan yang lemah. Selalunya karangan saya tidak dibaca kerana saya ‘asal buat’.

Namun, pada suatu hari, latihan karangan berdasarkan gambar-gambar ilustrasi dibaca oleh Cikgu Roselaili dan karangan yang paling lemah adalah karangan saya. Saya malu besar waktu itu kerana ditertawakan oleh teman-teman sekelas. Oleh itu, saya balas dendam dengan menghasilkan karangan yang terbaik sewaktu latihan karangan berikutnya.

Cikgu Roselaili meminta kami menulis karangan tentang peristiwa yang tidak dapat kami lupakan. Waktu itulah saya menulis cerpen pertama saya tentang hubungan kasih sayang antara cucu dan nenek. Tajuknya, ‘Nenda’. Ada pengaruh ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ dan sebahagian besar adalah berkaitan diri saya. Cikgu Roselaili membacakan karangan itu dan karangan-karangan saya selepas itu di dalam kelas. Ianya cukup merangsang saya untuk menghasilkan karangan yang baik.

Sewaktu di sekolah menengah, saya menulis puisi dan cereka untuk dibaca oleh teman-teman rapat. Beberapa kali juga saya sempat mementaskan sketsa dan drama sebabak di sekolah. Teman-teman di sekolah menengah cukup memberi galakan. Namun, saya tidak pernah yakin untuk menghantar karya saya ke mana-mana penerbitan meskipun ke majalah sekolah saya.

Hinggalah apabila saya melangkah melanjutkan pelajaran ke Akademi Seni, Allahyarham Prof. Madya Dr. Othman Puteh, pensyarah saya ketika itu, menghantar karya saya iaitu tugasan Penulisan Kreatif ke Dewan Siswa tanpa pengetahuan saya. Cerpen pertama saya yang tersiar itu adalah ‘Puteri Seri Jingga’ yang kemudiannya diterbitkan dalam antologi bersama ‘Klik-Klik’.

Arwah juga turut menghantar puisi saya berjudul ‘Kehidupan Ini’ ke Berita Harian dan sering menggalakkan saya menyertai beberapa pertandingan. Tekanan yang hebat di ASM saya kira sebagai katalis untuk saya menjadi penulis cerpen yang agak prolifik.

Saya memenangi beberapa pertandingan anjuran DBP sewaktu berada di akademi dan seterusnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Di UPSI, kesempitan kewangan memaksa saya menjadi ‘peniaga cerpen’ untuk teman-teman sekuliah dan senior sewaktu subjek Penulisan Cerpen. Namun, saya harus mengaku, saya masih gagal menghasilkan puisi dengan baik. Dalam diam saya mengagumi puisi tulisan seorang penulis 'bawah tanah', Suhaini Yusof.

Saya juga agak aktif menulis drama dan mementaskannya di UPSI. Malah, saya turut cuba-cuba menghasilkan drama televisyen untuk pertandingan. Alhamdulillah, saya bernasib baik. Namun, saya tahu skrip saya tidak mungkin diterbitkan sebagai drama televisyen. Saya pernah mencuba nasib dengan menghantar skrip yang memenangi pertandingan ke sebuah stesyen televisyen. Ternyata, naskhah saya ditolak bulat-bulat.

Selepas tamat pengajian, saya berkhidmat di Tawau. Saya gelarkan Tawau sebagai ‘Daerah Damai’. Tawau memang cukup damai bagi saya. Laut, pulau, sungai, hutan tua, dan gunung melahirkan satu kecintaan yang tidak terbatas.

Masyarakatnya yang tidak mengejar keduniaan, malah cukup tinggi nilai budi, menjadikan saya cukup selesa dan kagum untuk menjadi salah seorang dari mereka. Jati diri bangsa Bugis yang masih mempertahankan bahasa, adat, budaya dan tulisan mereka yang tersendiri (kelihatan seperti tulisan sanskrit dan jawi), serta ketinggian nilai kesenian masyarakat Bajau menjadikan saya hanyut dan begitu teruja.

Tawau, sebuah daerah tanpa tekanan. Tidak lebih dan tidak kurang (semua ada di Tawau, tetapi tidak banyak pilihan. Cth: bank, panggung wayang dan sebagainya). Saya jadi kurang prolifik tanpa tekanan. Namun, apa yang saya terkesan, saya menjadi seorang yang lebih akrab kepada puisi sejak berada di Tawau.

Kisah anak jalanan, masyarakat tanpa status kewarganegaraan yang sah, dan keharmonian masyarakat Tawau itu sendiri yang saya gauli dan fahami, terakam dalam puisi-puisi saya.

*seseorang meminta saya menulis tentang proses kreativiti saya dan ini yang saya hantar. boleh kan?

Friday, May 29, 2009

PERCAYA ATAU TIDAK...

PERCAYAKAH ANDA....

Masa saya study kat akademi seni dulu, ada kawan saya bernama usop yang pernah keje kat KFC KLIA (time tu baru dibuka). Dia cerita, masa KLIA baru nak dibuat, ada terjumpa kubur orang asli. Waktu mayat tu dikeluarkan, mayat tu yang memang dikebumikan sambil duduk, kelihatan menakutkan. Rambutnya panjang berjela dan kukunya tumbuh membelit badan (mayat tu pose berpeluk tubuh). So,dorang kebumikan kembali mayat tersebut dan terus tukar plan. Jadikan kawasan kubur itu macam taman dalam kaca. Saya selalu gak gi KLIA sejak keje kar Sabah ni, tapi tak pernah la nampak taman tu.

12 tahun kemudian, adik saya EEN keje kat KLIA. Dia jadi macam translator ke apa tah ke annauncer ke kot, untuk pelancong Arab. So, dia familiar la kat tempat internasional tu. Rupanya, taman yang dimaksudkan adalah kat tempat internasional tersebut. Sah-sah la saya tak pernah masuk situ. Yelah, kalau nak out pun, saya naik air asia kat LCCT.

Adik saya cerita, taman tu memang la tak boleh masuk, ala-ala taman larangan gitew. Tapi, ada tourist yang request nak masuk situ, nak ambik fresh air sebab kata dorang, ada pompuan kat dalam tu tengah lepak. Kadang2 siap mandi manda lagi. Adik saya tak pernah la nampak. Tapi, cerita tu memang ada kolerasi dengan cerita usop tu. Hinggalah one day, masa saya balik untuk Debat Guru kat Kedah, saya sempat tengok pameran KLIA. Kiranya, adalah gambar2 lama dan terbaru KLIA. So, saya sempat rakamkan semula gambar taman larangan tersebut di mana kata orang, jurugambar terambil secara tak sengaja gambar perempuan mistik yang dimaksudkan...

Saksikan gambar ini...


SEKARANG PERCAYA ???????

Tuesday, April 28, 2009

I LUV APRIL....

Ada beberapa sebab mengapa saya amat menyintai April. Ada beberapa peristiwa penting dalam hidup saya, berlaku di bulan April. Sebenarnya, saya ni sesangatlah lembab bab-bab mengingat tarikh-tarikh penting dalam hidup saya. Apatah lagi tarikh2 penting dalam hidup orang lain. Tak ada urusan aku nak ingat. Tapi, tarikh dalam April ni, saya akan ingat sampai mati, InsyaAllah...

14 April
Secara rasminya saya bergelar guru 6 tahun lalu. Waktu tarikh ni, saya telah menandatangani kontrak untuk bergelar guru yang akan mengajar di Sabah. Waktu tu di Hotel Pan Pasific Kuala Lumpur.

15 April
Keesokannya, kali pertama merantau jauh meninggalkan keluarga untuk bergelar guru dan kali kedua menjejakkan kaki ke tanah bertuah - Sabah (kali pertama untuk pementasan dekon BERBEKU). Di Hotel Promenade KK,saya menjalani minggu suaikenal sebagai guru. Tak sabar rasanya untuk mengetahui sekolah tempat saya berkhidmat. Saya dah 'mindset' untuk mengajar di kawasan pedalaman tanpa bekalan elektrik, dan hanya bersumberkan air sungai. kalau terpaksa naik helikopter untuk ke daerah itu lagi bagus. Saya dah bersedia mental dan fizikal. Saya mahu hidup susah. Tapi... dapat di Tawau la pulak. Syukur...

18 April
2003. Kali pertama menjejak kaki di Tawau. Saya terus meletak label daerah ini sebagai - DAERAH CINTA... (Hanya dua tempat yang saya pernah letak label. Satu lagi Yogyakarya - DAERAH BAHAGIA). Saya jatuh cinta pandang pertama dengan Tawau. Bandarnya di tepi laut. Yelah, di KL mana nak cari laut. Ops, ada... laut buatan di Sunway Lagoon. Penduduknya, makanannya, cara hidupnya, dan ketenangannya membuat saya benar-benar jatuh cinta.

01 April
2009. Saya lapor diri di IPGM Tawau. Saya beritahu Pn Juriah : MENERIMA TAWARAN INI, SAMA KECAMUKNYA SEPERTI PESALAH MENERIMA HUKUMAN MATI MANDATORI. Puan Juriah memujuk dan cuba menghalang saya. Tapi saya pergi juga. Bertemu semula mantan pengetua yang kini Pengarah di sini, Pn. Hjh Masni yang saya rindui. Dia masih cantik seperti dulu. Saya benar2 di persimpangan dilema. BERSEDIAKAH SAYA ? Bukan persolan bersediakan saya menjawat jawatan Pegawai Hal Ehwal Pelajar. Tapi, bersediakah saya meninggalkan profesyen perguruan yang telah menjadi darah yang mengalir di setiap urat dalam tubuh saya. Tapi, inilah cabaran. SAYA BERANI MENYAHUTNYA...

18 April
2009. Saya bertunang dengan CINTA setelah dia menerima lamarannya. Tapi, bukan bertunang secara adat. Pertunangan ini berupa perjanjian. Kami declair ia sebagai pertunangan. Bercincinkan kasih dan cinta. Tapi tiba2, mak Cinta mahu juga adakan majlis pertunangan mengikut adat istiadat Melayu. Ala, tak brutel la macam ni, makcik... Apapun, doakan saya dan Cinta disatukan Disember ini.

APRIL FOOL....
Ada juga yang menggelarnya April's Look Day atau April Mop. Di Scotland hari itu disebut April Gowk. Tapi, HEMPEDU itu, biar dengan apa nama sekalipun, tetap pahit. Ingatlah. Jangan sesekali kita menyambut April Fool xpecially orang2 Islam. Jangan main rai ajer tanpa tahu sejarahnya. April Fool sebenarnya adalah hari pahit bagi umat Islam di mana sebuah kehancuran telah berlaku.
Ianya merupakan sebuah episod sejarah pahit dalam keruntuhan Islam Sepanyol pada tahun 1487 bersamaan 892H. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya
runtuh diserang tentera-tentera Kristian.
Penduduk-penduduk Islam diSepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam
rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian
bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan
orang-orang Islam dr Sepanyol.
Penduduk-penduduk muslim ini, diberitahu bahwa mereka boleh berlayar
keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan
mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh dipelabuhan.
Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu
penipuan, telah pergi keperlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang
dimaksudkan.
Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokan
harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan
menuju ke perlabuhan.
Pada masa inilah pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah
dan kemudian membakar rumah penduduk-penduduk Islam ini.
Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya dibakar.
Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum muslim dan membunuh
kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah
yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.
Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol
tetapi juga di serata dunia.
Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini
turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya
merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka
sendiri.
Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.
Kepada yang non-muslim. Bukan niat saya untuk menimbulkan sensitiviti agama. Saya bercerita tentang sejarah yang telah berabad dan berkurun lamanya. Kini sejarah telah tinggal sejarah untuk kita pelajari dan perbaiki. Kita telah hidup harmoni dan mencipta sejarah kita sendiri. Saya cuma mengingatkan diri saya sendiri dan teman-teman seagama dengan saya...Saya tetap sayang semua anak-anak saya tak kira apa agamanya.

Wednesday, March 4, 2009

ARTIKEL YANG TAK PERNAH DIHANTAR DAN DISIARKAN DI MANA-MANA

MANA SILAPNYA SASTERA TERPINGGIR
Oleh : Moh Azam Rezali

Suatu masa dulu, sastera begitu gah. Sastera dan kesusasteraan. ‘Su’ itu indah, ‘sastra’ itu kitab. Jangan pernah kita terlupa, kitab suci Al-Quran diturunkan dalam bentuk puisi di mana ketika itu, manusia ‘majnun’ dengan syair. Malah, karya-karya sastera dibacakan sebelum sesuatu angkatan perang itu pergi bertempur bagi membakar semangat waja. Sastera menjadi katalis kebangkitan semangat juang. Malah, Rasulullah S.A.W sendiri menggalakkan penyair Islam menulis puisi menyaingi penyair jahiliah dan menyalurkan perasaan bersemangat jihad serta nilai-nilai Islam.

Tidak terhad dengan itu, di dalam karya kesusasteraan Parsi dan Urdu, syair yang disebut na’t yang ditulis dalam pelbagai gaya bahasa seperti rubai, masnawi dan ghazal, merupakan saluran puji-pujian kepada Rasulullah S.A.W. Malah, Imam Syafie sendiri menghasilkan karya-karya sastera berlandaskan Islam dan gemar mengembara untuk mendapat ilham dan meningkatkan kecintaan kepada Allah S.W.T. Jelas, karya-karya sastera telah lama mendidik kita sejak akar umbi lagi. Masyarakat Melayu sendiri dipandang tinggi kerana nilai budi yang pada dasarnya terdidik oleh asas sastera yang kuat.

Jangan pertikaikan bahawa syair, pantun dan lagu-lagu dodoi pernah mencanting kehidupan masyarakat Melayu desa. Cerita-cerita rakyat dan hikayat, pernah menjadi dendang hiburan Awang Batil, pelipurlara. Cerita-cerita hantu dan binatang, pernah menghiasi seputar hari-hari indah zaman trzadisional kanak-kanak. Semua ini menjadi agen mendidik anak-anak muda secara tidak formal satu ketika dulu. Malah, lebih daripada itu, karya garapan sang pujangga pernah mengangkat maruah satu-satu bangsa. Tidak harus dipertikaikan bahawa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pernah terhutang budi dengan pujangga yang menggarap karya, menonjolkan Melaka ditunjangi tiang-tiang yang gagah perkasa daripada kelahiran sultannya, panglimanya, senjatanya dan kerajaan yang bukan calang-calang, hasil intuisi pujangga bestari.

Jika disingkap kembali sejarah kesusasteraan Malaysia, tidak seharusnya ia menjadi begitu terpinggir dan dipandang sepi. Entah di mana silapnya, tiba-tiba kita terhakis segala keperibadian yang pernah dicambahkan oleh benih sastera. Pandang saja sekeliling kita. Anak-anak muda begitu kasar dan menakutkan. Jati diri mereka begitu rapuh hingga mudah memakai apa saja budaya luar yang hinggap di bahu mereka. Dan sastera, terus dipandang dengan ekor mata sahaja. Di manakah silapnya ? Siapakah yang harus bertanggung jawab ? Apakah kita ingin menunggu semakin ramai remaja membunuh diri kerana kekosongan nilai di dalam jiwa mereka ? Haruskah kita mengakui, masanya hanya akan tiba setelah makin ramai remaja yang tercedera akhlaknya ? Zaman kita mengejar kemajuan, adalah zaman parah para remaja yang lali dan leka melayan nafsu berkiblatkan Barat. Remaja-remaja inikah yang akan menggantikan pucuk kepimpinan negara ?

Beberapa negara maju pernah melupakan sastera seketika di kala mengejar kemajuan. Lalu, apabila mereka mula tersedar yang mereka telah berdosa mengabaikan kemanusiaan hingga mengheret anak-anak muda ke jurang yang canggih tetapi busuk, mereka berpatah kembali. Mula mencari semula sisa-sisa sastera yang masih tinggal. Apakah kita ingin mencontohi mereka ? Contoh sudah di depan mata. Tidak perlu menunggu kita mengalaminya sendiri.

Sebenarnya, pucuk pimpinan negara kita telah lama sedar akan perihal ini. Jika tidak, masakan mata pelajaran sastera masih bertapak di sekolah-sekolah. Malah, lebih daripada itu, sastera mula dijawibkan untuk diajar di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000. Malah, terawal daripada itu, cerpen, novel dan pelbagai karya klasik telah diperkenalkan kepada para pelajar sedari 1987. Namun, sebagaimana diperkatakan tadi, entah di mana silapnya, sastera masih tersisih dan belum mampu mendidik sahsiah pelajar dalam erti kata sebenarnya.

Segala-galanya dimulakan dengan mentaliti di bangku sekolah. Sejak berbelas tahun dahulu (atau mungkin lebih dari itu) masyarakat Malaysia telah melabelkan kelas sastera sebagai ‘kelas hujung’ atau kelas pelajar lemah. Dalam konteks tersebut, pelajar-pelajar yang terpaksa memilih aliran selepas menamatkan tingkatan tiga dan akan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat, harus menerima hakikat bahawa jika diri mereka lemah, jangan ada impian untuk belajar sains tulen atau akaun walau pun itu telah menjadi minat mereka. Dan jika ada pelajar cemerlang, walau pun amat meminati sastera, sudah tentu tidak mahu memasuki ‘kelas hujung’, malah tidak akan digalakkan oleh guru dan pihak pentadbir sekolah juga. Maka hasilnya, para pelajar calon SPM yang berada di tingkatan empat akan dipecah-pecahkan tanpa demokrasi.

Tinggallah pelajar-pelajar malang yang kurang berjaya dalam PMR untuk meneruskan perjuangan di kelas sastera. Malangnya, ada yang langsung tidak minat membaca atau masih merangkak pembacaan mereka. Cuba kita bayangkan, bagaimana pelajar yang tidak meminati sastera harus mempelajari mata pelajaran ini ? Malah, ada pelajar yang terlalu lemah dan kurang mampu membaca, atau berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu turut ‘dicampakkan’ ke kelas sastera. Bagaimana pelajar yang lemah membaca, ingin menamatkan sesebuah novel dan antologi ? Maka terhasillah pelajar-pelajar gagal dalam SPM yang asalnya belajar di kelas sastera. Kemudian, beramai-ramai pula masyarakat melabel sastera sebagai ‘tidak ada masa depan’ ekoran penilaian awal terhadap pelajar-pelajar yang gagal dalam SPM ini. Salah siapa ?

Tidak keterlaluan jika disifatkan ‘orang-orang kuat sastera’ sebagai kurang kuat mempertahankan sastera. Cuba kita lihat bagaimana ‘orang-orang kuat sains’ menjaga kualiti mereka. Hanya pelajar terbaik dapat merasa menjadi pelajar sains. Begitu juga ‘orang-orang kuat matematik’. Jika tidak, masakan perjuangan mereka untuk menyerapkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan matematik dan sains diterimapakai di seluruh negara. Lihat bagaimana perjuangan mereka. Guru-guru yang mengajar matematik dan sains dibekalkan dengan komputer bimbit dan LCD serta elaun khas kerana mengajar dalam Bahasa Inggeris. Sepatutnya, mata pelajaran sastera amat memerlukan alat bantu belajar bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dari sudut penyampaiannya. Sastera bukan setakat perlu dibaca. Malah perlu didengar, dilihat dan dirasa. Perlu praktikal dan penghasilan. Lihat bagaimana mata pelajaran sains dan matematik tidak lagi menjadi mata pelajaran yang membosankan hasil dari kecanggihan teknologi yang digunakan. Itu semua hanya terhasil dengan perjuangan ‘orang-orang kuat sains dan matematik’. Ke mana perginya perjuangan ‘orang-orang kuat sastera’ ? Kenapa mereka tidak memperjuangkan, hanya pelajar yang berbakat dan benar-benar berminat saja untuk berada di aliran sastera. Siapakah yang harus memperjuangkan perkara ini ? Siapakah ‘orang-orang kuat sastera’ ? Atau tidak pernah ada ‘orang kuat’ dalam dunia sastera ?

Adalah lebih baik sebenarnya jika pelajar dibenarkan membuat pilihan mereka sendiri. Pelajar adalah pelanggan utama Kementerian Pelajaran. Mereka membayar yuran sekolah dan peperiksaan awam. Oleh itu, bebaskanlah mereka membuat pilihan mengikut minat dan kemahuan mereka. Mana mungkin seseorang yang aktif himisfera orang kirinya dipaksa belajar menggunakan himisfera otak kanan. Boleh jadi, pelajar yang lemah membaca dan kurang berjaya dalam peperiksaan kerana subjek-subjek membaca, lebih memihati dan berdaya mempelajari matematik. Mungkin mereka lebih berpotensi dan meminati ‘dunia angka’. Maka seharusnya, pelajar-pelajar ini dilatih dan diajar dalam aliran yang sepatutnya untuk membentuk masa depan mereka daripada memaksa mereka membuat apa yang mereka tidak mampu.

Sukatan pelajaran sastera khususnya KOMSAS juga harus dianalisis semula. Tidak salah malah sangat baik bagi semua pelajar mempelajari sastera demi melahirkan anak bangsa yang berjati diri. Namun, jika KOMSAS ini sekadar menjadi penyeri dalam pembelajaran, maka ianya kelihatan agak kurang praktikal. Adalah lebih baik sekiranya KOMSAS dikeluarkan daripada mata pelajaran Bahasa Melayu dan menjadi mata pelajaran wajib tunggal. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu tidak boleh dicampuradukkan kerana ianya adalah dua elemen yang berbeza dan ada percanggahannya. Universiti Pendidikan Sultan Idris pernah tidak membenarkan pelajar-pelajar dari kursus Pendidikan Kesusasteraan Melayu mengambil minor bagi subjek Bahasa Melayu dan begitu juga sebaliknya.

Jika difikirkan, tindakan itu sememangnya relevan. Malah, sepatutnya kursus Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu berada dalam dua fakulti yang berbeza. Sastera adalah seni. Sastera tidak mempelajari bahasa. Apa yang dipelajari adalah keindahannya. Sama seperti pelajaran seni visual yang mempelajari arca, lukisan, kolaj, alatan melukis dan bermain dengan warna. Sama seperti pelajaran muzik yang mempelajari notasi, harmoni, ensamble, vokal dan bermain dengan alat muzik. Sastera juga begitu. Mempelajari puisi, cerpen, novel, drama, kritkan dan bermain dengan bahasa. Paling tidak, para pelajar tidak lagi keliru dengan hukum sastera dan Bahasa Melayu. Benda yang salah dan tidak dibenarkan dalam Bahasa Melayu, adakalanya menjadi satu gaya bahasa yang tinggi nilai estetikanya dalam sastera. Maka jika dua pelajaran ini dipecahkan dan diajar oleh dua guru yang berbeza, tidak akan wujud lagi kekeliruan di pihak pelajar mahu pun guru.

Sebenarnya, tidak mudah mengajar sastera. Tetapi apa yang berlaku di sesetengah sekolah, ianya menjadi mudah setelah guru yang mengajar mata pelajar sastera mempermudahkan dan mengambil mudah proses pengajaran dan pembelajaran bagi subjek tersebut. Tidak boleh dipersalahkan guru seratus peratus, sebenarnya. Terdapat guru sastera yang bukan dari opsyen sastera, diminta mengajar mata pelajaran tersebut oleh pihak pentadbir sekolah. Alasan mereka mudah; sastera bukan susah untuk diajar. Apa yang menyedihkan, perkara ini bukan untuk sementara. Biar pun pada mulanya guru yang bukan opsyen tersebut cuma menjadi ‘bidan terjun’. Akhirnya ada yang menjadi ‘bidan sepenuh masa’. Biar pun ada guru dengan opsyen sastera masuk mengajar di sekolah tersebut, mereka hanya diminta mengajar subjek yang kekurangan guru. Perkara ini akan terus berlarutan jika pihak pentadbir tidak peka akan perihal ini. Maka, wujudlah guru sastera alias ‘pengejar sukatan pelajaran’ tanpa tahu apa yang dipelajari.

Pelajar sastera tentu mengaku pernah belajar sastera, tetapi tidak pernah mendengar cara membaca syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya. Seharusnya, guru sastera perlu berilmu dan berbakat dalam bidang sastera untuk mengajar sastera. Sama seperti guru muzik harus berbakat muzik untuk mengajar muzik. Mengajar sastera bukan sekadar ‘chalk and talk’. Malah lebih dari itu. Teks drama harus dipentaskan atau setidak-tidaknya dilakonkan di dalam kelas. Mengajar sastera tidak semudah menelaah buku ulasan. Mengajar karya SN Noordin Hassan bukan semudah membaca buku rujukan. Malah apa yang menyedihkan, ada guru sastera yang tidak pernah membaca novel yang diajar kerana tidak berminat membaca novel. Tidak kurang ada yang pening dengan ‘Jangan Bunuh Rama-rama’ dan ‘Malam Ini Penyu Menangis’ kerana gagal menafsif setiap yang tersirat. Perkara ini tetap akan terus berlaku sekiranya bukan guru yang selayaknya mengajar sastera, terpaksa mengajar sastera. Ramailah pelajar sastera yang akan tersesat kerana ‘ajaran sesat’ yang diajar kepada mereka.

Seperkara lagi yang menyebabkan sastera dipandang rendah adalah potensi untuk lulus amat mudah. Mungkin kerana tahap pelajar yang mengambil mata pelajar sastera itu sendiri menyebabkan soalan yang digubal hanya ‘setakat mampu’ dijawab sahaja. Seharusnya, standard soalan perlu dipertingkatkan. Percayakan anda sekiranya diberitahu, anda tidak perlu membaca teks-teks sastera untuk lulus. Apa yang perlu cuma buku rujukan yang melambak di pasaran. Ada guru sastera sendiri yang mengakui, soalan sastera untuk STPM sama mudahnya dengan soalan sastera SPM. Apa yang ditanya hanyalah perkara-perkara dasar yang bersifat luaran dan tidak memerlukan kreativiti sastera. Seharusnya, STPM setaraf diploma.

Amat wajar sekali bagi calon-calon beraliran sastera STPM, untuk mahir membuat ulasan atau kritikan terhadap sesuatu karya berdasarkan aliran dan teori kesusasteraan yang telah dipelajari. Tetapi ini tidak berlaku bagi calon-calon sastera STPM. Akibatnya, apabila mereka melangkah ke universiti dan terpaksa bersaing pula dengan pelajar-pelajar lepasan diploma yang telah lebih jauh ilmunya, pasti menjadi satu persaingan yang sukar. Paling tidak, pelajar diploma sastera, didedahkan dengan praktikal. Begitulah seharusnya juga bagi STPM demi menyamatarafkan level mereka. Seharusnya peratus subjek sastera bagi peperiksaan awam tidak kira SPM mahu pun STPM turut dipecahkan bagi praktikal. Sekurang-kurangnya, pelajar akan punya lebih inisiatif untuk melibatkan diri dalam aktiviti sastera, tidak kiralah dari segi penghasilan karya sastera, pementasan drama, kritikan atau pun persembahan puisi sama ada tradisional mahu pun moden. Barulah pelajar sastera mampu menjadi pelajar berkualiti yang mampu menjadi pelapis bagi sasterawan yang sedia ada. Lalu, bolehlah kita memasang kembali angan-angan untuk memenangi Anugerah Nobel dalam bidang sastera.

Lihat bagaimana negara jiran kita memartabatkan sastera. Didikan secara tidak formal seperti kewujudan filem popular remaja ‘Ada Apa Dengan Cinta’ dan ‘Tentang Dia’ telah sedikit sebanyak menarik minat pelajar memesrai sastera. Orang-orang sastera di sana juga nampaknya bukan calang-calang berjuang dan mempertahankan sastera. Karyawan mereka bukan setakat melahirkan karya untuk kelompok mereka sendiri saja. Malah turut terjun ke dunia sosial anak muda. Barangkali, apa yang diutarakan di sini lebih kepada perkara-perkara yang nampak remeh. Namun, perkara inilah sebenarnya yang menjadikan sastera begitu terpinggir. Memang tidak boleh dipertikaikan, kita mempunyai barisan sasterawan yang berbakat dan hebat. Namun, kita harus melihat dari perspektif awal yang menjadi akar umbi. Sastera harus dipelihara dan disemai sedari di bangku sekolah agar nanti akan ada penyambung warisan sastera dan tidaklah sastera terus terpinggir.