Saya telahpun menceritakan kisah ini pada hampir setiap kelas yang saya ajar di SMK Tawau. Malah, saya sempat membuat satu slot khas waktu Kem Seni Budaya SMK Tawau semata-mata untuk menceritakan kisah ini kepada para peserta.
Tak tahulah mereka semua masih ingat atau tidak. Saya sendiri pernah melupakan cerita ini setelah Tengku Cahaya menceritakannya kepada saya satu masa lalu. Kemudian, saya berusaha mengingatinya kembali dan berjanji, takkan pernah melupakan cerita ini lagi.
Awal tahun hari tu, anak angkat saya, Rijan datang menghampiri saya dan meminta saya menceritakan semula cerita tersebut. Mungkin dia juga pernah seperti saya. Mendengar, melupakan, dan cuba mengingati semula. Sama seperti saya dan Tengku Cahaya cuma bezanya, Rijan tidak pula berjanji untuk tidak melupakan cerita ini lagi.
Hari ini, saya mahu menceritakannya semula...Begini...Satu hari selepas hujan di awal petang, ada seorang pemuru yang asyik memburu. Tidak ada lain dalam fikirannya selain dari hari buruan yang bakal diperolehnya pada hari itu. Dia berjalan dan terus berjalan sepertimana hari-hari biasa, untuk memburu.
Dalam tak sedar, rupa-rupanya pemburu itu sedang diintip oleh seekor harimau.Apa lagi, kali ini harimau itu pula yang memburu pemburu itu. Dia lari sekuat-kuatnya. Harimau semakin mengejar. Mujur si pemburu sempat melihat sebuah telaga yang berada berhampirannya.
Apa lagi, segera dia terjun ke dalam telaga itu dan mujur, dia sempat berpaut pada akar yang terjuntai di dalam telaga itu. Harimau iu mengelilingi mulut telaga dan sesekal menjenguk ke bawah. Pemburu sangat takut. Sesekali harimau itu mengaum dengan kuat kerana perutmya sudah begitu lapar dan dia terbayangkan nikmatnya meratah daging manusia.
Si pemburu melihat ke bawah pula. Di lantai telaga, ada seekor ular besar yang sudah bersedia mengangakan mulutnya sambil lidahnya terjelir-jelir.
Pemburu tambah ketakutan. Di atas harimau, di bawah ular. Dia terbayangkan dirinya, apakah menjadi makanan salah satu daripada haiwan ganas itu. Si pemburu akhirnya tersedar, ada lubang rahsia di dinding telaga itu. Lubang rahsia itu mampu membawanya keluar dari telaga tersebut. Ya, hanya dengan masuk ke dalam lubang rahsia itulah dia dapat menyelamatkan diri daripada harimau dan ular.
Si pemburu menghampiri lubang rahsia tersebut. Dia ingin mnyelamatkan dirinya. Namun, dia menangguhkan niatnya apabila terlihat, di dada lubang rahsia itu terdapat sarang labah-labah yang sangat cantik. Tambahan pula, percikan air hujan yang masih bergantungan melakat di dada sarang labah-labah, kelihatan cukup indah dan berwarna-warni disuluh cahaya matahari. Si pemburu benar-benar terpegun.
Pemburu menangguhkan niatnya untk masuk ke lubang rahsia. Dia terasa rugi jika sarang labah-labah yang indah itu dimusnahkan. Dia cukup terpukau dengan keindahan sarang labah-labah yang bersifat sementara itu.Namun, pemburu tidak sedar. Akar tempat dia berpaut, menjadi semakin rapuh. Ada dua ekor tikus sedang mengacip akar yang dipautnya. Akar tersebut menjadi semakin genting.
Harimau masih kelaparan dan berlegar-legar di atas sana. Ular masih menjelir-jelirkan lidahnya yang bercabang. Tikus masih terus megacip akar tempat si pemburu berpaut hinga menjadi semakin genting dan genting. Manakala pemburu, masih terpukau dengan keindahan dunia.
Anak-anak, kitalah pemburu itu. Pemburu yang sentiasa sibuk mengejar urusan dunia. Harimau itu adalah maut yang sentiasa mengejar kita. Perigi, adalah lubang kubur kita. Ke situlah kita akhirnya nanti. Ular, adalah siksa kubur yang menanti kita kerana kelalaian kita sendiri. Akar adalah keimanan yang telah kita bentu dengan acuan sendiri. Tikus adalah masa yang sentiasa menunggu kita.Lubang rahsia adalah pintu agama. Jika kita melangkah dan memilih agama, kita pasti akan selamat. Dan sarang labah-labah adalah dunia yang cantik, tetapi bersifat sementara. Fikir-fikir dan renung-reungkanlah...
No comments:
Post a Comment