Wednesday, March 4, 2009

ARTIKEL YANG TAK PERNAH DIHANTAR DAN DISIARKAN DI MANA-MANA

MANA SILAPNYA SASTERA TERPINGGIR
Oleh : Moh Azam Rezali

Suatu masa dulu, sastera begitu gah. Sastera dan kesusasteraan. ‘Su’ itu indah, ‘sastra’ itu kitab. Jangan pernah kita terlupa, kitab suci Al-Quran diturunkan dalam bentuk puisi di mana ketika itu, manusia ‘majnun’ dengan syair. Malah, karya-karya sastera dibacakan sebelum sesuatu angkatan perang itu pergi bertempur bagi membakar semangat waja. Sastera menjadi katalis kebangkitan semangat juang. Malah, Rasulullah S.A.W sendiri menggalakkan penyair Islam menulis puisi menyaingi penyair jahiliah dan menyalurkan perasaan bersemangat jihad serta nilai-nilai Islam.

Tidak terhad dengan itu, di dalam karya kesusasteraan Parsi dan Urdu, syair yang disebut na’t yang ditulis dalam pelbagai gaya bahasa seperti rubai, masnawi dan ghazal, merupakan saluran puji-pujian kepada Rasulullah S.A.W. Malah, Imam Syafie sendiri menghasilkan karya-karya sastera berlandaskan Islam dan gemar mengembara untuk mendapat ilham dan meningkatkan kecintaan kepada Allah S.W.T. Jelas, karya-karya sastera telah lama mendidik kita sejak akar umbi lagi. Masyarakat Melayu sendiri dipandang tinggi kerana nilai budi yang pada dasarnya terdidik oleh asas sastera yang kuat.

Jangan pertikaikan bahawa syair, pantun dan lagu-lagu dodoi pernah mencanting kehidupan masyarakat Melayu desa. Cerita-cerita rakyat dan hikayat, pernah menjadi dendang hiburan Awang Batil, pelipurlara. Cerita-cerita hantu dan binatang, pernah menghiasi seputar hari-hari indah zaman trzadisional kanak-kanak. Semua ini menjadi agen mendidik anak-anak muda secara tidak formal satu ketika dulu. Malah, lebih daripada itu, karya garapan sang pujangga pernah mengangkat maruah satu-satu bangsa. Tidak harus dipertikaikan bahawa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pernah terhutang budi dengan pujangga yang menggarap karya, menonjolkan Melaka ditunjangi tiang-tiang yang gagah perkasa daripada kelahiran sultannya, panglimanya, senjatanya dan kerajaan yang bukan calang-calang, hasil intuisi pujangga bestari.

Jika disingkap kembali sejarah kesusasteraan Malaysia, tidak seharusnya ia menjadi begitu terpinggir dan dipandang sepi. Entah di mana silapnya, tiba-tiba kita terhakis segala keperibadian yang pernah dicambahkan oleh benih sastera. Pandang saja sekeliling kita. Anak-anak muda begitu kasar dan menakutkan. Jati diri mereka begitu rapuh hingga mudah memakai apa saja budaya luar yang hinggap di bahu mereka. Dan sastera, terus dipandang dengan ekor mata sahaja. Di manakah silapnya ? Siapakah yang harus bertanggung jawab ? Apakah kita ingin menunggu semakin ramai remaja membunuh diri kerana kekosongan nilai di dalam jiwa mereka ? Haruskah kita mengakui, masanya hanya akan tiba setelah makin ramai remaja yang tercedera akhlaknya ? Zaman kita mengejar kemajuan, adalah zaman parah para remaja yang lali dan leka melayan nafsu berkiblatkan Barat. Remaja-remaja inikah yang akan menggantikan pucuk kepimpinan negara ?

Beberapa negara maju pernah melupakan sastera seketika di kala mengejar kemajuan. Lalu, apabila mereka mula tersedar yang mereka telah berdosa mengabaikan kemanusiaan hingga mengheret anak-anak muda ke jurang yang canggih tetapi busuk, mereka berpatah kembali. Mula mencari semula sisa-sisa sastera yang masih tinggal. Apakah kita ingin mencontohi mereka ? Contoh sudah di depan mata. Tidak perlu menunggu kita mengalaminya sendiri.

Sebenarnya, pucuk pimpinan negara kita telah lama sedar akan perihal ini. Jika tidak, masakan mata pelajaran sastera masih bertapak di sekolah-sekolah. Malah, lebih daripada itu, sastera mula dijawibkan untuk diajar di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000. Malah, terawal daripada itu, cerpen, novel dan pelbagai karya klasik telah diperkenalkan kepada para pelajar sedari 1987. Namun, sebagaimana diperkatakan tadi, entah di mana silapnya, sastera masih tersisih dan belum mampu mendidik sahsiah pelajar dalam erti kata sebenarnya.

Segala-galanya dimulakan dengan mentaliti di bangku sekolah. Sejak berbelas tahun dahulu (atau mungkin lebih dari itu) masyarakat Malaysia telah melabelkan kelas sastera sebagai ‘kelas hujung’ atau kelas pelajar lemah. Dalam konteks tersebut, pelajar-pelajar yang terpaksa memilih aliran selepas menamatkan tingkatan tiga dan akan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat, harus menerima hakikat bahawa jika diri mereka lemah, jangan ada impian untuk belajar sains tulen atau akaun walau pun itu telah menjadi minat mereka. Dan jika ada pelajar cemerlang, walau pun amat meminati sastera, sudah tentu tidak mahu memasuki ‘kelas hujung’, malah tidak akan digalakkan oleh guru dan pihak pentadbir sekolah juga. Maka hasilnya, para pelajar calon SPM yang berada di tingkatan empat akan dipecah-pecahkan tanpa demokrasi.

Tinggallah pelajar-pelajar malang yang kurang berjaya dalam PMR untuk meneruskan perjuangan di kelas sastera. Malangnya, ada yang langsung tidak minat membaca atau masih merangkak pembacaan mereka. Cuba kita bayangkan, bagaimana pelajar yang tidak meminati sastera harus mempelajari mata pelajaran ini ? Malah, ada pelajar yang terlalu lemah dan kurang mampu membaca, atau berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu turut ‘dicampakkan’ ke kelas sastera. Bagaimana pelajar yang lemah membaca, ingin menamatkan sesebuah novel dan antologi ? Maka terhasillah pelajar-pelajar gagal dalam SPM yang asalnya belajar di kelas sastera. Kemudian, beramai-ramai pula masyarakat melabel sastera sebagai ‘tidak ada masa depan’ ekoran penilaian awal terhadap pelajar-pelajar yang gagal dalam SPM ini. Salah siapa ?

Tidak keterlaluan jika disifatkan ‘orang-orang kuat sastera’ sebagai kurang kuat mempertahankan sastera. Cuba kita lihat bagaimana ‘orang-orang kuat sains’ menjaga kualiti mereka. Hanya pelajar terbaik dapat merasa menjadi pelajar sains. Begitu juga ‘orang-orang kuat matematik’. Jika tidak, masakan perjuangan mereka untuk menyerapkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan matematik dan sains diterimapakai di seluruh negara. Lihat bagaimana perjuangan mereka. Guru-guru yang mengajar matematik dan sains dibekalkan dengan komputer bimbit dan LCD serta elaun khas kerana mengajar dalam Bahasa Inggeris. Sepatutnya, mata pelajaran sastera amat memerlukan alat bantu belajar bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dari sudut penyampaiannya. Sastera bukan setakat perlu dibaca. Malah perlu didengar, dilihat dan dirasa. Perlu praktikal dan penghasilan. Lihat bagaimana mata pelajaran sains dan matematik tidak lagi menjadi mata pelajaran yang membosankan hasil dari kecanggihan teknologi yang digunakan. Itu semua hanya terhasil dengan perjuangan ‘orang-orang kuat sains dan matematik’. Ke mana perginya perjuangan ‘orang-orang kuat sastera’ ? Kenapa mereka tidak memperjuangkan, hanya pelajar yang berbakat dan benar-benar berminat saja untuk berada di aliran sastera. Siapakah yang harus memperjuangkan perkara ini ? Siapakah ‘orang-orang kuat sastera’ ? Atau tidak pernah ada ‘orang kuat’ dalam dunia sastera ?

Adalah lebih baik sebenarnya jika pelajar dibenarkan membuat pilihan mereka sendiri. Pelajar adalah pelanggan utama Kementerian Pelajaran. Mereka membayar yuran sekolah dan peperiksaan awam. Oleh itu, bebaskanlah mereka membuat pilihan mengikut minat dan kemahuan mereka. Mana mungkin seseorang yang aktif himisfera orang kirinya dipaksa belajar menggunakan himisfera otak kanan. Boleh jadi, pelajar yang lemah membaca dan kurang berjaya dalam peperiksaan kerana subjek-subjek membaca, lebih memihati dan berdaya mempelajari matematik. Mungkin mereka lebih berpotensi dan meminati ‘dunia angka’. Maka seharusnya, pelajar-pelajar ini dilatih dan diajar dalam aliran yang sepatutnya untuk membentuk masa depan mereka daripada memaksa mereka membuat apa yang mereka tidak mampu.

Sukatan pelajaran sastera khususnya KOMSAS juga harus dianalisis semula. Tidak salah malah sangat baik bagi semua pelajar mempelajari sastera demi melahirkan anak bangsa yang berjati diri. Namun, jika KOMSAS ini sekadar menjadi penyeri dalam pembelajaran, maka ianya kelihatan agak kurang praktikal. Adalah lebih baik sekiranya KOMSAS dikeluarkan daripada mata pelajaran Bahasa Melayu dan menjadi mata pelajaran wajib tunggal. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu tidak boleh dicampuradukkan kerana ianya adalah dua elemen yang berbeza dan ada percanggahannya. Universiti Pendidikan Sultan Idris pernah tidak membenarkan pelajar-pelajar dari kursus Pendidikan Kesusasteraan Melayu mengambil minor bagi subjek Bahasa Melayu dan begitu juga sebaliknya.

Jika difikirkan, tindakan itu sememangnya relevan. Malah, sepatutnya kursus Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu berada dalam dua fakulti yang berbeza. Sastera adalah seni. Sastera tidak mempelajari bahasa. Apa yang dipelajari adalah keindahannya. Sama seperti pelajaran seni visual yang mempelajari arca, lukisan, kolaj, alatan melukis dan bermain dengan warna. Sama seperti pelajaran muzik yang mempelajari notasi, harmoni, ensamble, vokal dan bermain dengan alat muzik. Sastera juga begitu. Mempelajari puisi, cerpen, novel, drama, kritkan dan bermain dengan bahasa. Paling tidak, para pelajar tidak lagi keliru dengan hukum sastera dan Bahasa Melayu. Benda yang salah dan tidak dibenarkan dalam Bahasa Melayu, adakalanya menjadi satu gaya bahasa yang tinggi nilai estetikanya dalam sastera. Maka jika dua pelajaran ini dipecahkan dan diajar oleh dua guru yang berbeza, tidak akan wujud lagi kekeliruan di pihak pelajar mahu pun guru.

Sebenarnya, tidak mudah mengajar sastera. Tetapi apa yang berlaku di sesetengah sekolah, ianya menjadi mudah setelah guru yang mengajar mata pelajar sastera mempermudahkan dan mengambil mudah proses pengajaran dan pembelajaran bagi subjek tersebut. Tidak boleh dipersalahkan guru seratus peratus, sebenarnya. Terdapat guru sastera yang bukan dari opsyen sastera, diminta mengajar mata pelajaran tersebut oleh pihak pentadbir sekolah. Alasan mereka mudah; sastera bukan susah untuk diajar. Apa yang menyedihkan, perkara ini bukan untuk sementara. Biar pun pada mulanya guru yang bukan opsyen tersebut cuma menjadi ‘bidan terjun’. Akhirnya ada yang menjadi ‘bidan sepenuh masa’. Biar pun ada guru dengan opsyen sastera masuk mengajar di sekolah tersebut, mereka hanya diminta mengajar subjek yang kekurangan guru. Perkara ini akan terus berlarutan jika pihak pentadbir tidak peka akan perihal ini. Maka, wujudlah guru sastera alias ‘pengejar sukatan pelajaran’ tanpa tahu apa yang dipelajari.

Pelajar sastera tentu mengaku pernah belajar sastera, tetapi tidak pernah mendengar cara membaca syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya. Seharusnya, guru sastera perlu berilmu dan berbakat dalam bidang sastera untuk mengajar sastera. Sama seperti guru muzik harus berbakat muzik untuk mengajar muzik. Mengajar sastera bukan sekadar ‘chalk and talk’. Malah lebih dari itu. Teks drama harus dipentaskan atau setidak-tidaknya dilakonkan di dalam kelas. Mengajar sastera tidak semudah menelaah buku ulasan. Mengajar karya SN Noordin Hassan bukan semudah membaca buku rujukan. Malah apa yang menyedihkan, ada guru sastera yang tidak pernah membaca novel yang diajar kerana tidak berminat membaca novel. Tidak kurang ada yang pening dengan ‘Jangan Bunuh Rama-rama’ dan ‘Malam Ini Penyu Menangis’ kerana gagal menafsif setiap yang tersirat. Perkara ini tetap akan terus berlaku sekiranya bukan guru yang selayaknya mengajar sastera, terpaksa mengajar sastera. Ramailah pelajar sastera yang akan tersesat kerana ‘ajaran sesat’ yang diajar kepada mereka.

Seperkara lagi yang menyebabkan sastera dipandang rendah adalah potensi untuk lulus amat mudah. Mungkin kerana tahap pelajar yang mengambil mata pelajar sastera itu sendiri menyebabkan soalan yang digubal hanya ‘setakat mampu’ dijawab sahaja. Seharusnya, standard soalan perlu dipertingkatkan. Percayakan anda sekiranya diberitahu, anda tidak perlu membaca teks-teks sastera untuk lulus. Apa yang perlu cuma buku rujukan yang melambak di pasaran. Ada guru sastera sendiri yang mengakui, soalan sastera untuk STPM sama mudahnya dengan soalan sastera SPM. Apa yang ditanya hanyalah perkara-perkara dasar yang bersifat luaran dan tidak memerlukan kreativiti sastera. Seharusnya, STPM setaraf diploma.

Amat wajar sekali bagi calon-calon beraliran sastera STPM, untuk mahir membuat ulasan atau kritikan terhadap sesuatu karya berdasarkan aliran dan teori kesusasteraan yang telah dipelajari. Tetapi ini tidak berlaku bagi calon-calon sastera STPM. Akibatnya, apabila mereka melangkah ke universiti dan terpaksa bersaing pula dengan pelajar-pelajar lepasan diploma yang telah lebih jauh ilmunya, pasti menjadi satu persaingan yang sukar. Paling tidak, pelajar diploma sastera, didedahkan dengan praktikal. Begitulah seharusnya juga bagi STPM demi menyamatarafkan level mereka. Seharusnya peratus subjek sastera bagi peperiksaan awam tidak kira SPM mahu pun STPM turut dipecahkan bagi praktikal. Sekurang-kurangnya, pelajar akan punya lebih inisiatif untuk melibatkan diri dalam aktiviti sastera, tidak kiralah dari segi penghasilan karya sastera, pementasan drama, kritikan atau pun persembahan puisi sama ada tradisional mahu pun moden. Barulah pelajar sastera mampu menjadi pelajar berkualiti yang mampu menjadi pelapis bagi sasterawan yang sedia ada. Lalu, bolehlah kita memasang kembali angan-angan untuk memenangi Anugerah Nobel dalam bidang sastera.

Lihat bagaimana negara jiran kita memartabatkan sastera. Didikan secara tidak formal seperti kewujudan filem popular remaja ‘Ada Apa Dengan Cinta’ dan ‘Tentang Dia’ telah sedikit sebanyak menarik minat pelajar memesrai sastera. Orang-orang sastera di sana juga nampaknya bukan calang-calang berjuang dan mempertahankan sastera. Karyawan mereka bukan setakat melahirkan karya untuk kelompok mereka sendiri saja. Malah turut terjun ke dunia sosial anak muda. Barangkali, apa yang diutarakan di sini lebih kepada perkara-perkara yang nampak remeh. Namun, perkara inilah sebenarnya yang menjadikan sastera begitu terpinggir. Memang tidak boleh dipertikaikan, kita mempunyai barisan sasterawan yang berbakat dan hebat. Namun, kita harus melihat dari perspektif awal yang menjadi akar umbi. Sastera harus dipelihara dan disemai sedari di bangku sekolah agar nanti akan ada penyambung warisan sastera dan tidaklah sastera terus terpinggir.

Tuesday, February 17, 2009

BANDOENG-YOGYA,AKU PENGEMBARA...

Saya selalu bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang. Segala-galanya. Malah, saya sangat perlu bersyukur dengan akar umbi saya – seorang pengembara. Tentu saya tidak akan ada jika arwah moyang (bapa arwah datuk sebelah ibu saya) tidak datang mengembara dari Burma, atau arwah datuk (bapa arwah opah sebelah ibu saya) tidak datang mengembara dari Tanah Kerinci, atau arwah bapa nenek dan arwah datuk (sebelah ayah saya) tidak datang mengembara dari Sumatera. Kerana penghijrahan merekalah, maka saya dapat menjadi rakyat di negara yang indah permai bernama Malaysia... Dirgarhayu Tanah Airku....

Saya pengembara. Jika saya tidak kembara, sudah tentu SMK Tawau tidak punya guru bernama MOH AZAM REZALI dengan segala kekurangan dan keburukan, ada juga yang ternampak kebaikannya saya di sini. Dan saya kembara lagi. Kembara-kembara kecil, sebelum saya mengembara dalam erti kata sebenar. Dan akhirnya, saya akan berhenti juga nanti. Nanti. Tapi tidak sekarang.
Terimbau kata-kata Tengku Cahaya - HIDUP INI KEMBARA 1000 LARA BAGI MANUSIA BERKELANA MENGUTIP KEINSAFAN DIRI DI SETIAP TERMINAL DESTINASI.
Hayati kembara di hujung 2008 : LCCT - BANDOENG - YOGYA - LCCT.



di belakang itu, Tanggupan Perahu. Kawah gunung berapi aktif yang cukup indah. Tapi tidak boleh mampir ya. Gasnya beracun.



Saya dalam perjalanan turun ke sebuah kawah. Lihat pohon-pohon di belakang saya. Kelihatan hitam deh sulfur. Indah bukan...?



Saya semakin menghampiri kawah. Kira2 100 meter saja lagi. Bau sulfur semakin mencucuk hidung.



Akhirnya, setelah menuruni lurah lebih 30 minit, sampai juga ke kawah.



Memang sedap diurut kaki dengan tenaga Sunda. Tambahan lagi, sambil dicuci dengan air panas asli gunung merapi. Lega sekali. Sambil dipicit, saya turut dilumur lumpur gunung merapi.



Taraaa......



Sini tempat mandi air panas. Yang bestnya, pengunjung boleh memilih untuk mandi di kolam, atau bilik khas yang lebih privacy. Teka, saya mandi kat mana ???



Tempat yang sama. Kalau korang datang ke sana, comfirm korang jumpa katak yang sama versi kemek belakang atau berwarna biru akibat sesak nafas.



Saya di depan gedung fesyen ternama di Bandoeng, RUMAH MODE. Tempat ini memang mempunyai kelas yang tersendiri. 5 bintang untuk RUMAH MODE.


Ramai sangat orang Malaysia kat sini. Saya rasa macam berada di Paris.



Jika di KL saya selalu sedaya upaya mencari kedai yang tak berapa nak ada kelas untuk lunch atau diner, order seminimum mungkin asal kenyang, dan resultnya, lepas makan saya akan kata - MAHALNYA... Kat Bandoeng, saya makan di tempat yang ada bintang, order sebanyak mungkin hingga masuk ke tahap 'melantak' dan resultnya, lepas makan saya akan kata - EH, BANYAK NI JER KENA BAYAR ?



SHOPPING...SHOPPING...SHOPPING.... KENAPALAH TAK BERDUIT SANGAT NI...


KRISMAS DI BANDUNG. Saya di PARIS VAN JAVA.


PARIS VAN JAVA maksudnya KOTA PARIS DI BUMI JAWA.



Kini di Yogya. Gue lagi nongkrong sambin nungguk hidangan sama teman2. Paling kanan, Mas Adip, supir yang bawain kami putar Yogya sampai ke Solo. Kami waktu ini lagi mauk ke Borubudur. Tapi maaf deh, gue lagi ga ambil gambar di sana.



Orang Jawa sangat rajin bertani. Setiap inci tanah digunakan sebaik mungkin.



"MARILAH KITA KAWIN LARI..." Saya di sebuah gedung perak. Yogya terkenal dengan produk peraknya.



Pernah nggak menonton filem Pasir Berbisik lakonan si jelita Dian Sastro dan seniwati ibu Christine Hakim ? Adegan untuk lokasi Kampung Pasir Putih itu dibikin di sini. Pantai Parang Tritis. Pasirnya sangat seni. Saya boleh lihat pasirnya sentiasa bergerak-gerak ditiup angin, bagai memang pasir itu sedang menghantar isyarat komunikasi kepada kita. Tapi awas, ada pantang larang di sini. Tak boleh memakai pakaian berwarna hijau. Konon, bimbang diculik penjaga lautan. Sudah tentu saya tidak berani mencuba. Teringat dialog dalam filem Pasir Berbisik. "Semoga angin mempertemukan kita kembali".



Juga supir di Yogya saya lupa namanya. Asli Bandoeng. Orang Sunda. Kini menetap di Yogya.



Kembara 8 hari akhirnya tamat juga. Saya harus pulang dulu lewat Lapangan Terbang Antarabangsa Yogya. Saya pasti kembali. Benar deh...

Sunday, February 15, 2009

APA YANG PENTING BUKANLAH DESTINASI. TAPI PERJALANAN...



Entri ini sebenarnya dah basi. Dah berkulat, dan dah lemau. Lama betul tak berkesempatan menulis blog. Bila ada masa, malas pulak nak menulis. Ini kisah yang berlaku tahun lepas. Hujung tahun lepas. Waktu tu, saya menjaga SPM. Boring pula bila ada banyak masa lompang di tengah-tengah exam tu. Saya menjaga di SMK Pasir Putih.

(ini salah sorang calon yang saya jaga. Kabil namanya. Adik kepada Nastasia, ex-student SEMENGKEK yang sama2 bikin onar dgn saya dulu)

Saya merancang pengembaraan. Saya pelawa anak-anak saya ikut bersama. “Ke mana ?” Tanya mereka. “Apa yang penting bukanlah destinasi, tapi perjalanan...” Jawab saya dengan kekwat.


Saya mula terbangkan duit sebanyak beberapa ratus (bagi saya yang tak berapa berduit ni, banyak la tu) untuk maintainence ipa (Nama keretaku. Cute, kan?). Yang very the paling tak best giler, saya terjerat dalam komplot seorang rangka manusia bernama Keril da’ Pah Paloh Weh. Saya terpaksa ‘menjoinventure’ untuk mereka cerita yang kengkononnya dia dan kengkawannya terlibat untuk membantu saya yang membantu kawan saya yang membantu sekolahnya untuk membantu pelajar-pelajar yang terlibat dalam kem motivasi. Ya Allah, bantulah aku... Bestnya lagi, kengkononnya, kem motivasi tu kat Sandakan. Nasib baiklah bapanya bomba. Kalau polis, sorrylah saya nak ajak. Apatah lagi kalau army. For sure saya kena long gun, big gun, machine gun, bom.... !!! inilah Keril yang dimaksudkan. Sesiapa terjumpa, hubungi balai bomba terdekat...

Selain Keril, anggota yang terlibat mengikut aku membikin onar adalah Epan the Iron Man. Epan, family dia tak ada halangan. Agaknya, mungkin sebab mak, bapak dan kakak dia dah kenal saya kot. So, dorang pun mula percaya la dengan kredibiliti, kreativiti dan kismisdalamroti seorang guru hensem bernama CIGU AJANG. thn dpn besi dalam kaki Epan akan dikeluarkan. Time tu kita kaya raya. Boleh jual sama kedai recyle. Heheheee...

Anggota pembikin onar seterusnya adalah Wong da’ Susu Cap Gantung....(kalau tak paham, duduk diam-diam). Wong pulak, tah la. Dia ni macam bebas sikit nak gi mana pun. Eloklah tu, kalau family dah percaya, jangan pulak nak hilangkan kepercayaan tu.

Wong berbaju hitam. Sengaja gemar berpakaian gelap untuk menyembunyikan sesuatu yang jelas kelihatan jika berbaju putih.


ini adalah manusia, bukan jerangkung. Ingat, juga bukan tiang letrik. Inilah Azman yang turut menyertai gerakan onar ini. (Teka gambar. Cari benda tersembunyi - gitar)

Kami bertolak agak lewat. Hari dah gelap pun. Nak ke Kunak pulak dulu. Maklumlah, Azman (Mantagap) ada di kampungnya di sana bersama dengan mamaknya yang menetap di KL dan balik untuk bercuti seketika. Ipa buat hal dalam perjalanan. Dua kali brek kereta tetiba macam sangkut waktu jalan kat Balung sekali, dan dah masuk Kunak area kilang-kilang kelapa sawit tu. Nasib baiklah dua kali tu jer ipa buat hal (ipa memang sporting). di salah sebuah kedai di Kunak. Pemilik kedai mungkin sempat memandang serong kepada kami sebab muka sorang-sorang macam pencuri Maggi.

Lepas ambik Azman kat Kunak (sempat jugalah aku jumpa mamak dan unclenya), kami terus ke Semporna ikut jalan baru yang memang the sunyi berabis tak hingat. Mata saya pulak, time tu lah nak nampak macam-macam. Tak payahlah saya cerita nampak apa kat tepi jalan yang gelap dan sunyi tu. Tapi, dengarkanlah dulu lagu ini, dendangan Misa Kurma.... PULANGKAN CINTA HATIKU...YANG ENGKAU MUSNAH... TANPA RELAKU....(comfirmlah bukan species2 Cik Ponti tu yang saya nampak...)
di jalan inilah... Cuma gambar ini, keesokan harinya. Siang haridi mana kami berpatah balik setelah beralam di Semporna. Azman saya benarkan memandu sebab jalan baru ni tak banyak kereta dan saya teringin bagaimana rasanya duduk dalam kereta yang dipandu ala2 rancangan Fear Factor

Sampai kat Semporna, kami terus jer ke floating. Saya betul-betul rasa lemah. Maklumlah, semangat dah terbang jap tadi. Saya terus jak lelap bila dapat marabbah di atas tilam semi-empuk kat floating tu. Dorang semua, keluar jalan-jalan. Ke depan Hotel Sea Fest kata dorang. Saya tak peduli. Saya betul-betul nak tidur sebab esok nak memandu jauh. Jauh sesangat. Saya sempat berpesan supaya dorang membawa anak kunci pintu chalet tu supaya tak perlulah saya mencelikkan mata bila dorang balik dari berwiri-wara tu. Tapi... murid-murid, ini gambar apa? Ya...inilah floating...
‘Tuk-tuk-tuk...’ bunyi ketukan di pintu waktu aku memang sedang enak berkrim diminati ramai terlena diulit air-cond versi lama ala-ala zaman Firaun punya air-cond. SAPA PULAK MENGACAU DAUN NI.... Memang sentap gila-babas la. Dorang lupa bawak kunci rupanya. TIDAXXXXXXXX............ Dah la saya ni kalau kena kacau tidur, jangan harap nak tidur balik. Apa lagi, terus kami ber’sandwich’ dinihari itu.

GAMBAR-GAMBAR DI FLOATING SEMPORNA...






Esoknya, kami meneruskan perjalanan ke Lahad Datu, lunch di sana. Perjalanan ke LD agak bahaya juga. Jalan sempit. Sempit-sempit pun, kami sempat berangan jadi kump rock kapak bergambar tepi jalan.



Lepas zohor, terus ke Telupid. Jauh gak. Sempat jugalah lenguh kaki. Mulanya saya plan nak ke Sandakan. Tapi, bila dah dekat nak sampai simpang Sandakan, intuisi ni rasa macam nak menjejak kenangan silam pulak di Telupid. Saya pernah tour ke Telupid once upon a time a go....Saya bawa mereka ke rest house yang ‘hunted’ di mana saya pernah bermalam dulu. Tapi, nasib tidak menyebelahi kami. Akhirnya, kami bermalam di Jabatan Hutan Telipud. Ada hostel yang best kat sana dan tentulah murah. Sapa nak bermalam kat Telupid yang tak ada apa-apa tu kalau tak murah. Tapi, Jabatan Hutan Telipud tu memang best giler. Cantik sangat. Ada tasik dan pondok-pondok tempat lepak. Kami pun malam tu apa lagi, melalak sakal la diiringi petikan gitar Wong.









Sebelum tu, kami diner makan mee goreng kat sebuah restoran mamak. Mee goreng kat situ memang sedapnya luar biasa. Terasa rempah karinya. Saya ingatkan selera saya yang sedarah dengan Divya Mala (dan Fazir ting 6 Iltizam hehehee...) ni saja yang suka kari-kari mamak ni. Rupa-rupanya, semua kata mee kat situ sedap.


Esok paginya, sekali lagi kami pekena mee mamak tu sebelum berangkat ke Ranau. Tujuan kami, poring... Tapi, sempat juga bergambar dalam perjalanan.




Memula, kami mandi kat kolam air sejuk sebab kolam air panas semuanya penuh oleh pengunjung-pengunjung yang berpusu-pusu merebut kolam untuk merendam alias merebus telur sendiri. Jadi, kami mandi saja di kolam air sejuk yang membuatkan kami ‘kekecutan’. Sampai nak bercakap pun tak ada mood. Sedangkan saya yang berlemak-berkrim ni pun menggeletar dan hampir terkancing gigi kesejukan, bayangkanlah nasib Azman, macamana. Jangan lupa juga memikirkan masa depan Keril pada waktu itu. Apa nasib tulang-temulang mereka berdua ? Nah, bagaimana pula dengan Epan yang agak kebesian ? Tidak nyilukah dia? Cuma Wong yang tersenyum-senyum maintain. Tentu dalam fikirannya... “Yesss, akhirnya susu suam bakal bertukar menjadi susu sejuk.”




Kami tak lama berbadakberendam di situ. Kami ke air terjun di atas poring. Bestnya, tak ada orang kat situ. So, apa lagi, kami berdatukmaharajalela la kat situ. Sempat lunch nasi kuning bagai yang saya beli di pekan Telupid tadi.







Lepas tu, kami turun semula dan berendam di kolam air panas. Mulanya, saya sorang jer yang berendam kat kolam tu. Budak-budak tu semuanya malu-malu khinzir nak join. Tapi, setelah saya ber’trap’ macam best sesangat kat situ, sorang-sorang masuk juga. Siap ala-ala tak nak balik lagi.




Dari Ranau, kami berpatah balik. Sempat diner mee goreng best yang sama kat Telupid sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya, Sandakan. Percayakah anda, setelah hampir 6 tahun saya di Sabah, inilah kali pertama saya menjejak Sandakan yang jaraknya cuma beberapa jam dari Tawau ? Percayalah...


Sebenarnya, saya tak enjoy sangat kat Sandakan ni. Saya tak berapa suka dengan title ‘bandaraya’ yang agak baru diterima Sandakan. Saya lebih suka daerah yang tak berapa pesat. Maklumlah, saya kan KLian... Tapi, saya enjoy betul dengan hotel tempat kami menginap. Hotel Tulip namanya. Sebab ? Murah dan sangat berbaloi.





Lepas Sandakan, kami singgah di tepi Sungai Kinabatangan. Sebenarnya, saya dah penat sangat. So, bergambar jap.






Then, ke Kunak kejap sebab Azman terpaksa buat adegan ‘jejak kasih’ dengan mamaknya memandangkan mamaknya yang tercinta akan pulang ke KL esok dan Azman pula mahu mengikut saya pulang ke Tawau. Ada airmata yang gugur ke bumi bersama hujan lebat yang turun pada malam itu.

Perjalanan ini, mungkin biasa saja bagi saya sebab saya pernah mengalami perjalanan yang jauh lebih berliku dari ini. Tapi, saya tetap menghargai biar sesimple manapun perjalanan ini, kerana setiap perjalanan ada ceritanya yang tersendiri. Mungkin perjalanan ini akan menjadi permulaan kepada anak-anak muda yang berempat ini. Mereka kelihatan begitu naif untuk bergelar pengembara. Tapi saya percaya, mereka akan cepat betah menarikan rentak kehidupan ini kerana hidup ini sendiri adalah perjalanan yang tidak pernah kita tahu destinasinya. Tidak perlu terlalu memikirkan destinasi, kerana perjalanan itu sendirilah yang lebih penting...